Latest News
PTMP Map
PSI
 

P Pinang mungkin terus bangunkan LRT jika PSR tak dapat dijalankan

P Pinang mungkin terus bangunkan LRT jika PSR tak dapat dijalankan

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today • 01/12/2021 • 02:20 pm

Laluan LRT sepanjang 19km dengan 30 stesen yang bermula dari Bayan Lepas dianggarkan menelan belanja RM8.5 bilion.

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk membina laluan transit aliran ringan (LRT) secara berasingan daripada pelan induk pengangkutan terdahulu jika projek tiga pulau tidak mendapat kelulusan kawal selia.

 

Sebelum ini, projek tiga pulau yang dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) sepatutnya menampung projek LRT dengan tanah daripada pulau tebus guna akan dijual.

 

Laluan LRT sepanjang 19km dengan 30 stesen yang bermula dari Bayan Lepas itu dianggarkan menelan belanja RM8.5 bilion.

 

Bagaimanapun, kelulusan untuk menjalankan projek itu dibatalkan oleh pengawal selia alam sekitar susulan rayuan oleh nelayan pada September.

 

Exco Zairil Khir Johari memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menjemput syarikat atau konsortium yang berminat untuk menjalankan projek LRT itu mengemukakan cadangan jika kelulusan bagi PSR terus ditangguhkan.

 

“Namun saya tekankan, ini sedang dikaji dan tertakluk kepada dapatannya.

 

“Kerajaan negeri kekal komited dengan projek PSR, Lebuhraya Pan Island Link 1 dan Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang,” katanya.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) mengenai rancangan kerajaan negeri berhubung projek LRT itu jika PSR gagal dijalankan.

 

Terdahulu, Zairil berkata, halangan kelulusan bagi PSR berpunca daripada isu-isu teknikal membabitkan pelan struktur negeri.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung pembatalan kelulusan itu dan pada masa sama membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan baharu daripada Jabatan Alam Sekitar (DoE).

 

Dr Afif Bahardin (PN-Seberang Jaya) bertanya sama ada negeri itu berisiko langsung tidak dapat menjalankan projek PSR jika permohonan bagi kelulusan baharu difailkan.

 

Zairil berkata, permohonan baharu itu hampir sama dengan yang dikemukakan sebelum ini, cuma perbezaannya adalah turutan penambakan tiga pulau itu.

 

Katanya, Pulau A (selatan landasan lapangan terbang) akan dibina terlebih dahulu, berbanding Pulau B yang diluluskan sebelum ini (selatan Teluk Kumbar).

 

Kerajaan negeri beranggapan Pulau A lebih penting kerana dapat menampung lebih banyak kawasan perindustrian yang amat diperlukan di negeri itu, katanya.

 

H’ng Mooi Lye (PH-Jawi) bertanya sama ada adil negeri lain boleh menjalankan kerja-kerja penambakan dengan mudah tanpa masalah, seperti Melaka dan Johor.

 

Zairil berkata, alasan yang diberikan bagi pembatalan kelulusan itu sebenarnya langsung tidak boleh diterima.

 

“Keputusan itu boleh dianggap sebagai satu ketidakadilan terhadap Pulau Pinang,” katanya.

 

Beliau bertanya sama ada pengawal selia yang sama telah meneliti pelan struktur negeri membabitkan projek lebuh raya dan kerja penambakan di Melaka dan Johor.

 

“Kita bukan mempertikaikan undang-undang, tetapi yang dipersoalkan adalah layanan dwistandard, pemangsaan terhadap Pulau Pinang, walaupun kita mematuhi segala (syarat) yang diperlukan,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.