01 Dis P. Pinang kaji kemungkinan RFP untuk bina LRT tahun depan
Diterbitkan oleh Astro Awani • 01/12/2021 • 06:10 pm
Zairil Khir Johari berkata, rancangan itu akan diteruskan sekiranya projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri tergendala. – Facebook
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang sedang mengkaji kemungkinan untuk membuka permintaan untuk cadangan (RFP) tahun depan untuk mempelawa syarikat atau konsortium yang berminat membina projek Transit Aliran Ringan (LRT) negeri.
Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari berkata, rancangan itu akan diteruskan sekiranya projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri tergendala.
“Kerajaan negeri yakin PSR akan dilaksanakan tapi projek ini tergendala, kami sedang mengkaji kemungkinan untuk membuka RFP tahun depan bagi menjemput syarikat atau konsortium yang berminat untuk membina LRT.
“Ini adalah juga untuk menawarkan apa-apa model perniagaan yang boleh dipertimbangkan untuk membina LRT ini sebelum PSR dapat dijalankan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) yang bertanya berkenaan rancangan kerajaan negeri sekiranya projek PSR tidak dapat dilaksanakan.
Sementara itu Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) mengemukakan soalan tambahan sama ada penyerahan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) kali kedua kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberi risiko kepada kerajaan negeri untuk tidak dapat kelulusan untuk projek PSR.
Zairil berkata pindaan yang dibuat ke atas laporan EIA kali kedua ini tidak banyak dan cuma membabitkan turutan pembinaan pulau.
“Kelulusan EIA yang diberikan pada kali pertama adalah untuk Pulau B dibina dahulu, namun sekarang kerajaan negeri beranggapan bawah Pulau A adalah lebih penting kerana ia adalah kawasan perindustrian yang baharu dan sangat diperlukan kerana kawasan perindustrian yang sedia ada di Batu Kawan dan Bayan Lepas sudah penuh,” katanya.
— BERNAMA
Sorry, the comment form is closed at this time.