10 Jun Nelayan temui kehidupan baru
Diterbitkan oleh Sinar Harian • 10/06/2021
Pekerjaan sebagai nelayan bukan asing bagi masyarakat di selatan Pulau Pinang. Inilah satu-satunya pekerjaan tradisional mereka untuk mencari rezeki meskipun sedar ia kerja yang bahaya dan mencabar.
Malah, tekanan hidup memaksa mereka bergantung kepada bantuan kerajaan atau pekerjaan sambilan untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.
Ada nelayan yang terpaksa menukar pekerjaan demi kehidupan yang lebih stabil dan lebih selamat demi kebaikan diri dan keluarga. Pembangunan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) mengubah segalanya, ikuti kisah beberapa orang nelayan dari selatan Pulau Pinang yang kini bekerja dalam projek
berkenaan.
Nur Adam Ifwat Anuar, 23, yang membesar dalam sebuah keluarga nelayan di Teluk Kumbar mula membantu datuknya Idris Ismail, 66, menangkap ikan sejak usia remaja lagi.
Semasa berusia 18 tahun, Nur Adam dan datuknya hampir tergadai nyawa dalam satu kejadian ribut petir di laut. Sejak itu, Idris berharap cucunya mendapat pekerjaan yang lebih selamat.
“Ribut itu satu pengalaman ngeri buat kami. Ombak yang kuat cukup untuk membelah bot menjadi dua. Ketika itu, saya berfikir saya dan Adam akan hanyut.
“Apabila saya mendengar tentang projek PSR mencari pekerja dalam kalangan anak tempatan, saya minta Adam mendaftar. Saya bersyukur Adam dapat kerja di situ,” kata Idris.
Kini lebih setahun Nur Adam berkhidmat sebagai pembantu operasi menerusi projek PSR.
Pengalamannya sebagai nelayan dan pemahamannya terhadap kawasan sekitar selatan Pulau Pinang membantu kerjayanya yang melibatkan pemantauan pencemaran di sungai berhampiran tapak PSR.
Kerjaya turut merangkumi pengambilan sampel air sungai dan membantu operasi harian Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan di Gertak Sanggul yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurut Nur Adam, dia gembira dengan pendapatan bulanan yang stabil termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Malah, pekerjaan tetap itu juga membolehkannya memohon pinjaman bank.
“Tanpa slip gaji dan pendapatan tetap, sukar untuk nelayan membuat pinjaman bank. Dulu, nak berhutang dengan bank pun tidak layak. Sekarang saya boleh beli motor dan rumah,” katanya yang baru bertunang.
Nur Adam
Idris
Pendapatan kecil
Samsuar Hasshim, 43, turut berkongsi pengalaman serupa. Dia yang berasal dari Teluk Kumbar menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun. Pekerjaan itu telah menyara keluarganya lebih 25 tahun.
Samsuar membesarkan empat orang anak yang berusia tiga hingga 18 tahun dengan pendapatannya yang kecil dan tidak menentu.
“Saya tidak mampu menyimpan duit selepas membeli barang dapur, makanan dan keperluan sekolah. Apa yang dapat ibarat hanya cukup-cukup makan..
“Memang mencabar, tetapi yang lebih mencabar adalah risiko yang saya hadapi setiap kali turun ke laut. Apabila berlaku ribut, saya tak tahu apa nasib saya,” ceritanya. Seperti Nur Adam, kehidupan Samsuar juga kini lebih baik sejak mendapat kerja sebagai pembantu operasi di projek PSR lebih setahun yang lalu.
“Kini saya boleh mula menabung untuk hari-hari tua. Kalau dulu, memang tak mungkin boleh menyimpan. Saya juga ada caruman KWSP,” katanya. Samsuar juga berharap anak-anaknya boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik apabila mereka dewasa kelak dan tidak perlu menjadi nelayan.
“Saya yakin dengan adanya pembangunan PSR, mereka akan mendapat lebih banyak peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan.
“Projek PSR ini ada SIMP (Pelan Pengurusan Impak Sosial) yang menawarkan program tuisyen percuma, skim pendidikan dan latihan kepada anak nelayan yang berminat,” katanya sambil memberitahu anak sulungnya kini sedang mengikuti program diploma vokasional.
Samsuar lega pendapatannya kini lebih terjamin.
Bertarung nyawa
Kisah hampir lemas ketika menjadi nelayan telah mengubah nasib Mohd Noor Ismail, 38. Dia yang mesra dikenali sebagai Mat, mula mengikut bapanya Ismail Ahmad, 67, ke laut sejak usia remaja.
Selepas hampir lemas lebih 15 tahun lalu, Mat terus berhenti menjadi nelayan. Mat terjatuh ke dalam laut apabila bot yang dinaikinya dipukul ombak kuat.
“Pada masa itu, ombak memang kuat. Bapa balingkan tali untuk saya pegang. Bapa tidak berhenti menjerit pada masa itu. Kalaulah tali terlepas dari tangan, saya mungkin dah tak ada,” ceritanya.
Selepas Mat berhenti menjadi nelayan pada usia 23 tahun, Mat melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi pekerja kilang dan pemandu lori sehingga ditamatkan perkhidmatannya.
Mat kemudian menganggur selama enam bulan sebelum berjaya mendapat kerja sebagai pembantu operasi dalam projek PSR.
“Semasa menganggur memang pengalaman pahit bagi saya kerana tiada keupayaan untuk menyara keluarga,” kata Mat yang mempunyai tiga orang anak berusia 11, sembilan dan setahun lebih.
Dia bersyukur dan berharap keadaan akan bertambah baik apabila projek berjalan supaya masa depan anak-anaknya lebih cerah.
“Saya mahu mereka belajar tinggi dan dapat pekerjaan baik. Anak sulung saya bercita-cita menjadi doktor,” katanya.
Sementara itu, bapanyaIsmail Ahmad, 67, pula mula menjadi nelayan dalam usia 40an. Sebelum itu, dia berkhidmat sebagai tentera selama 15 tahun. Walaupun pernah menjadi askar, dia akui kehidupan sebagai nelayan lebih mencabar dan sukar kerana pendapatan tidak stabil.
“Bayangkan ada ketika turun ke laut seekor udang pun tak dapat. Tapi nak buat macam mana, tiada pilihan kena teruskan kerja,” katanya. Selepas menjadi nelayan selama lebih 20 tahun, Ismail mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan di PPSN Permatang Damar Laut lima tahun lalu.
Sejak itu, dia tidak lagi mengharungi lautan bergelora untuk mencari nafkah. Dia juga berdoa agar pembangunan PSR akan berjalan dengan lancar supaya generasi akan datang mendapat manfaat dari segi pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Harapan saya agar projek PSR ini berjalan baik demi masa depan anak cucu kami di sini,” katanya.
Mohd Noor yang lebih dikenali sebagai Mat (kiri) bersama bapanya Ismail.
Sorry, the comment form is closed at this time.