06 Mei Nelayan Teluk Kumbar sokong PSI percaya masa depan lebih terjamin
Published by Berita Harian • 30/4/2023
BAYAN LEPAS: Disebalik bantahan demi bantahan terhadap Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) terdapat sekelompok nelayan yang optimis bahawa projek itu dapat mengubah kehidupan mereka ke arah masa depan yang lebih baik.
Nelayan dari Teluk Kumbar, Idris Ismail, 68, yakin PSI dapat memberi manfaat terutamanya kepada komuniti nelayan setempat dan beliau adalah antara individu terawal menyatakan sokongan terhadap projek berkenaan.
Bapa kepada tujuh anak itu bersyukur apabila dia bersama 19 nelayan lain menerima sebuah bot baharu secara percuma dari Oktober hingga Disember tahun lalu seperti dijanjikan pihak kerajaan negeri meskipun projek itu belum dimulakan.
“Bot itu harganya sekitar RM80,000 lengkap dengan peralatan sonar dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) memang jauh beza dengan bot yang saya gunakan selama 16 tahun lalu.
“Bot baharu ini lebih laju dan boleh bergerak lebih jauh sejam atau dua jam perjalanan pun tiada masalah dan dapat tangkap lebih banyak hasil tangkapan dan ada masanya dapat turun ke laut dua kali sehari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Idris berkata, dia dimaklumkan akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM20,000 selepas laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) projek itu diluluskan dan menyifatkan segala peluang yang diberi tidak harus dilepaskan.
“Saya ada terima bayaran awal RM500 jadi apabila kami dapat tahu tahu EIA lulus kami gembira dan ada harapan untuk dapat baki (wang) itu. Jujur cakap saya tidak sangka kerana sudah tunggu beberapa tahun dan kami juga ada masuk koperasi bawah PSI.
“Memang ada yang mengata kami macam-macam sampai bermasam muka dan tidak bertegur sapa kerana sokong PSI tetapi masing-masing ada prinsip,” katanya.
Seorang nelayan wanita dari Balik Pulau Fajinah Jaafar, 62, dia bukannya menyokong PSI secara membuta tuli dan sudah mempertimbangkan segala aspek dengan niat untuk mengubah nasib diri dan keluarganya.
Fajinah yang menyokong Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) menunjukkan bot yang diperoleh secara percuma yang diberi pihak kerajaan negeri di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau dekat sini. – Foto Aminah Yusof
“Ada yang kata kami tali barut, pengkhianat tulis perkara yang menyakitkan hati di Facebook bagi saya kepada yang nak bantah terpulanglah…malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri kata kerajaan sedia mendengar.
“Saya sendiri antara yang turut membantah pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah tetapi projek itu jalan juga mula-mula memang hasil laut kurang lepas tiga tahun ia siap ikan kembali banyak dan kawasan bawah jambatan menjadi rebutan kerana di situ lubuk ikan seperti siakap dan jenahak,” katanya.
Justeru, ibu tunggal itu yakin projek PSI akan membawa limpahan rezeki kepada komuniti nelayan dan keluarga mereka dan dia sebelum ini hanya menggunakan bot terpakai bersyukur menerima bot baharu selain berpeluang mengikuti kursus jurumudi secara percuma tahun lalu.
“Kos lesen ini bukan murah mencecah RM2,000 kalau mahu ambil sendiri dan dan pada usia sebegini saya rasa tidak terlambat jika saya ingin mencuba bidang baharu sebagai jurumudi selain menjadi nelayan untuk menambah pendapatan,” katanya.
“Baru-baru ini kami juga terima bantuan pukat bernilai RM1,000 jika dicampur semua jumlah bantuan yang telah dan bakal kami terima cecah RM100,000,” katanya yang sudah menjadi nelayan lebih 30 tahun.
Isu PSI kembali hangat diperkatakan apabila Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Rabu mengumumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan laporan (EIA) bagi projek berkenaan dengan menetapkan 71 syarat yang perlu dipenuhi menerusi surat bertarikh 11 April lalu.
Projek membabitkan tambakan laut besar-besaran dan pembinaan tiga pulau buatan itu mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa mengancam ekosistem marin.
Idris yang menyokong Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) menunjukkan bot yang diperoleh secara percuma yang diberi pihak kerajaan negeri di Teluk Kumbar di sini, hari ini. – Foto Aminah Yusof
No Comments