18 Ogo Nelayan PSR mula terima bantuan bot dan enjin baru lebih moden
Published by Buletin Mutiara • 13/08/2022
TELOK AIR TAWAR – Seramai empat nelayan dari kawasan projek tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR) mula menerima bantuan bot bot lebih moden berukuran 27 kaki berserta enjin berkapasiti tinggi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bertempat di Fibra Marine Manufacturing and Trading dekat Padang Benggali, di sini semalam.
Ahmad Zakiyuddin berkata, pemberian bot dan enjin baru tersebut merupakan salah satu manfaat di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dirangka khas untuk nelayan yang terlibat dalam pembangunan PSR.
Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyempurkan gimik penyerahan bit danenjin baru kepada empat nelayan di kawasan PSR yang layak.
“Empat orang penerima pertama ini adalah sebahagian daripada 20 nelayan yang dikena pasti terjejas secara langsung susulan projek PSR yang mana mereka akan mendapat bot dan enjin baru secara berfasa.
“Manakala baki 16 bot lagi akan disiapkan dan diserahkan kepada nelayan yang layak pada hujung bulan ini atau bulan hadapan (September).
“Bot yang diserahkan ini adalah berukuran 27 kaki dan enjin Yamaha berkuasa kuda100HP atau enjin Mercury berkuasa kuda 90HP dan dilengkapi dengan peralatan moden seperti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta sonar dan robot,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan empat bot pertama kepada nelayan terlibat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd.(PIC), Dato’ Seri Farizan Darus; Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd.,Azmi Mohamad serta Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Zahidah Abdul Jalil.
Rupa bentuk bot baru.
Ahmad Zakiyuddin berkata bot baru tersebut direka bentuk oleh Juru runding Marin iaitu Aaira Marine Consultant and Service yang dilantik untuk memastikan spesifikasi, ciri-ciri keselamatan dan ruang yang disediakan adalah memenuhi keperluan nelayan.
“Salah satu ciri yang penting adalah penggunaan gabus pada bahagian lantai di bawah dek untuk mencegah bot daripada karam selain berfungsi sebagai pelampung sekiranya bot dimasuki air,” ujarnya sambil menambah bahawa setiap bot tersebut mampu membawa muatan sehingga satu tan.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa pembuatan bot untuk nelayan lain yang layak akan dijalankan selepas projek PSR menerima kelulusan penuh yang membolehkan proses menambakan dimulakan.
“Setakat ini, Kerajaan Negeri masih menunggu kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar,”jelasnya lagi.
Suhaimi Abas.
Salah seorang penerima, Suhaimi Abas, 52, dari Pengkalansungai Batu ketika ditemui Buletin Mutiara meluahkan rasa syukur dan gembira setelah menerima bantuan bot dan enjin daripada Kerajaan Negeri.
“Saya mengambil keputusan untuk memanfaatkan tawaran daripada Kerajaan Negeri kerana projek PSR tetap akan dijalankan.
“Oleh itu, saya fikir rugi sekiranya para nelayan tidak mengambil peluang ini yang mana saya lihat ia memberi banyak kebaikan kepada para nelayan di kawasan sekitar projek berkenaan,” katanya.
Suhaimi berkata, sebelum ini beliau hanya menggunakan bot berkapasiti rendah yang hanya mampu mencapai sejauh 12 batu sahaja iaitu dari Sungai Batu ke Tanjung Piandang.
“Dengan bot baru ini kami boleh pergi lebih jauh untuk mendapatkan hasil tangkapan,”katanya yang mula menerima lesen nelayan sejak tahun 2012.
Seorang lagi penerima, Mat Isa Mat Noor, 64, dari Permatang Tepi Laut turut meluahkan rasa gembira dengan bot dan enjin yang lebih moden diterima beliau.
“Saya sangat berpusat hati dengan reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan yang ada pada bot malah, saya sendiri melihat bagaimana mereka membina bot-bot baru ini.
“Selain itu, bot ini juga lebih besar kerana bot lama saya kecil dan terlalu padat yang menyebabkan saya sedikit sukar untuk melakukan kerja-kerja menangkap hasil laut,”katanya yang kali terakhir membeli bot pada tahun 2004 dengan harga RM12,000.
Ahmad Khamis, 76, juga dari Permatang Tepi Laut turut meluahkan rasa teruja apabila menerima bantuan bot baru tersebut bagi menggantikan bot lama beliau yang berusia lebih 17 tahun.
“Saya bekerja sebagai nelayan sudah 50 tahun dan hanya mampu menukar bot sebanyak dua kali sahaja kerana harga bot baru sangat mahal
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap nasib nelayan-nelayan yang terjejas dengan membekalkan bot baru yang lebih moden,” ujarnya.
Yeoh Teong Chye.
Nada sama turut disuarakan oleh seorang lagi penerima, Yeoh Teong Chye, 60, dari Teluk Kumbar.
“Saya sudah bawa bot selama 40 tahun dan kali terakhir saya membeli bot baru adalah pada tahun 2002 dengan hargaRM20,000.
“Sekarang bot itu sudah usang dan saya bersyukur bantuan Kerajaan Negeri beri adalah tepat pada masanya,” katanya yang merupakan bapa kepada empat vahaya mata.
Teks & Gambar: SUNARTI YUSOFF
No Comments