01 Nov Nelayan Kawasan Selatan P.Pinang Diseru Daftar KKPPSB, Nikmati Manfaat Inisiatif Samudera
GEORGE TOWN, 25 Okt (Bernama) — Nelayan kawasan Selatan di Pulau Pinang yang berkelayakan diseru supaya berdaftar sebagai anggota Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) bagi membolehkan mereka menikmati manfaat yang ditawarkan.
Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri Fahmi Zainol berkata ia termasuk peluang kerjasama masa depan dalam projek seperti akuakultur dan pemasaran makanan laut melalui Inisiatif Samudera, yang bertujuan menjamin pendapatan mampan kepada nelayan sambil memberi pulangan dividen kepada ahli koperasi.
“Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 yang diadakan baru-baru ini, KKPPSB telah mengisytiharkan dividen lima peratus kepada ahlinya sebagai bukti usaha koperasi dalam memberikan nilai tambah kepada komuniti nelayan,” katanya dalam kenyataan sempena majlis perasmian pejabat baharu KKPPSB di Bayan Lepas hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua KKPPSB berkata jumlah keahlian koperasi setakat September lepas adalah 1,366 dengan 368 daripada mereka merupakan nelayan, sementara pendaftaran untuk anggota kategori 2 dan 3 dari kalangan masyarakat dan agensi telah ditutup, namun pendaftaran masih terbuka untuk nelayan berkelayakan di kategori 1.
Sementara itu Fahmi berkata 98 tekong dari Unit Permatang Tepi Laut telah menerima bot dan enjin baharu di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek Pulau Silikon dan penyerahan akan diteruskan kepada tekong di Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar serta Gertak Sanggul mengikut turutan pendaftaran.
— BERNAMA
No Comments