Latest News
PTMP Map
PSI
 

MRT3, LRT Bayan Lepas bakal rangsang industri pembinaan

MRT3, LRT Bayan Lepas bakal rangsang industri pembinaan

Published by Berita Harian • 3/7/2023

Industri pembinaan dijangka pulih menjelang enam bulan terakhir 2023 – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan dijangka kembali stabil pada separuh kedua 2023 apabila momentum aliran kerja semakin meningkat dengan pelancaran projek infrastruktur mega dan pembangunan yang besar seperti MRT3, LRT Bayan Lepas, Pulau Pinang Selatan A (PSI) serta pembesaran lapangan terbang Subang dan Pulau Pinang.

 

Penganalisis PublicInvest Research, Chin Li Shan, berkata langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai projek awam yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 akan turut membantu industri pembinaan kembali berdaya saing.

 

“Syarikat dengan kejuruteraan khusus atau keupayaan khusus berupaya mencatatkan pengukuhan dengan lebih baik dalam tempoh ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Penganugerahan kontrak bagi projek MRT3 dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini selepas semakan kos oleh kerajaan disiapkan.

 

Projek LRT Bayan Lepas yang dianggarkan bernilai RM4.5 bilion pula adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan Pulau Pinang (PTMP), bakal menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Tanjung Bungah.

 

Sementara itu, projek PSI diumum akan diteruskan dengan keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon dikecilkan daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

 

Li Shan berkata, harga bahan binaan yang tidak menentu dan kekurangan tenaga buruh juga dijangka kembali beransur pulih walaupun industri masih berdepan dengan harga bahan seperti simen dan keluli yang tinggi.

 

Sehubungan itu, beliau berkata PublicInvest Research percaya prestasi pendapatan industri pembinaan akan lebih baik dalam suku tahun akan datang.

 

Katanya, hal ini kerana kos pembinaan mulai stabil di samping peningkatan kecekapan kerja yang membawa kepada kemajuan pengebilan projek yang lebih tinggi.

 

“Kemajuan pengebilan daripada projek baharu juga akan membantu mengukuhkan margin kerana projek yang lebih baharu cenderung untuk memperoleh margin yang lebih baik berbanding projek lama berpunca daripada harga bahan utama,” katanya.

 

Li Shan berkata, secara keseluruhannya, prestasi industri pembinaan pada suku pertama lalu adalah di bawah jangkaan kerana kebanyakan syarikat pembinaan merekodkan pendapatan yang rendah.

 

Beliau berkata, industri itu masih dibelenggu oleh peningkatan kos pembinaan dan penyusutan buku pesanan, dengan persekitaran persaingan yang semakin sengit.

 

Katanya, bilangan kontraktor G7 selepas pandemik meningkat hampir dua kali ganda pada 2021, walaupun jumlahnya berkurangan sedikit pada 2022.

 

“Namun, kami percaya pendapatan industri akan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam suku tahun akan datang.

 

“Kami optimis terhadap pemulihan industri menjelang enam bulan terakhir ini,” katanya.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!