Latest News
PTMP Map
PSI
 

Menteri puji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang galak penggunaan pengangkutan awam

Menteri puji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang galak penggunaan pengangkutan awam

Published by Buletin Mutiara • 1/3/2023

GEORGE TOWN – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memuji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan subsidi tahunan kira-kira RM13 juta untuk menggalakkan penduduk lokal dan pengembara antarabangsa menggunakan perkhidmatan bas awam percuma di laluan terpilih sekitar negeri ini.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 1 Mac 2023.

 

“Saban tahun, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) memperuntukkan kira-kira RM13 juta untuk pengangkutan bas awam sahaja.

 

“Pulau Pinang merupakan negeri yang paling banyak membiayai kos pengangkutan awam (melalui peruntukan tahunan daripada) Kerajaan Negeri.

 

“Tidak banyak Kerajaan Negeri yang sanggup mengeluarkan pembelanjaan besar untuk pengangkutan awam; juga bekerjasama dengan agensi kita (iaitu Rapid Penang),” jelasnya.

 

Beliau memberitahu bahawa kementeriannya akan berusaha untuk menambah bilangan bas Rapid Penang bagi menyokong usaha menggalakkan penggunaan bas awam di negeri ini.

 

“Yang pasti, Rapid Penang (milik syarikat berkaitan kerajaan Prasarana Malaysia Berhad) akan memberi tumpuan untuk menyediakan lebih banyak bas awam untuk rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya.

 

Buletin Mutiara difahamkan sejak 1 September 2019, Kerajaan Negeri memperkenalkan ‘Pas Mutiara’ iaitu seperti pas perjalanan tanpa had My50 di Lembah Klang, untuk sistem pengangkutan bersepadu bas Rapid Penang dan RapidFerry di Pulau Pinang.

 

Itu, tidak termasuk usaha berperingkat Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 dengan mewujudkan perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) dan BEST (Bridge Express Shuttle Transit) di laluan-laluan tertentu sekitar bahagian pulau dan Seberang Perai.

KETUA Menteri (depan, kanan) dan Anthony Loke Siew Fook (depan, kiri) dalam majlis taklimat khas berkaitan, sebelum mengadakan sidang media di Komtar pada 1 Mac 2023.

Sementara itu, Siew Fook turut mengulas mengenai cadangan pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dari George Town ke Bayan Lepas yang mana kebiasaannya projek pembinaan dan pengoperasian sistem pengangkutan awam negara yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui syarikat bertujuan khas (SPV) tertentu adalah secara ‘off balance sheet financing’.

 

“Sama ada melalui Prasarana Malaysia Berhad atau MRT Corp., kedua-dua (SPV) merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melaksanakan projek tersebut iaitu dengan adanya jaminan (pembiayaan pembangunan) daripada Kerajaan (Persekutuan) melalui penerbitan bon (korporat) dan sebagainya.

 

“Setakat ini, hanya RTS (Rapid Transit System) di Johor Bharu ke Singapura sepanjang 4 kilometer (km) dibiayai oleh Kementerian Pengangkutan sendiri, projek itu dibiayai melalui peruntukan pembangunan (di bawah Kementerian Pengangkutan).

 

“Justeru, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) mungkin perlu memohon terus kepada Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, untuk melihat sama ada Kerajaan Persekutuan boleh membiayai projek ini (LRT), sama ada melalui SPV Kerajaan Negeri (iaitu Penang Infrastructure Corporation)…atau dua entiti releven yang lain iaitu MRT Corp. dan Prasarana Malaysia Berhad,” ulasnya lanjut.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya tiada masalah sekiranya Kerajaan Persekutuan hari ini mahu mengambil alih serta membiayai projek LRT George Town – Bayan Lepas bagi menangani masalah kesesakan trafik pada waktu puncak di Pulau Pinang.

 

“Jadi, kini kita (Kerajaan Negeri) tidak tahu mana-mana syarikat yang dijemput untuk RFP (Permintaan untuk Cadangan) ini sanggup atau mampu untuk mengeluarkan pembiayaan pembangunan untuk melaksanakan projek (LRT) ini.

 

“Tetapi, kalau ada jaminan (Kerajaan Persekutuan) dan sebagainya, seperti apa yang diperoleh sebelum ini, maka kita (Kerajaan Negeri) minta nasihat daripada Kerajaan Persekutuan untuk jalan penyelesaian seterusnya untuk negeri Pulau Pinang sekiranya ini meneruskan projek ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!