13 Jun Memperkaya hidupan laut di kawasan projek PSI
Published by Utusan Malaysia • 14/5/2023
PROF. DATUK DR. AILEEN TAN (kiri), PROF. DATUK DR. ZULFIGAR YASIN (tengah) dan DR. N. GOPINATH.
DENGAN kerja-kerja projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dijangka bermula hujung tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut melaksanakan beberapa kajian berkaitan marin bagi melindungi khazanah laut di kawasan tersebut.
Kajian itu dikendalikan di bawah Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) yang sama pentingnya dengan projek tambakan seluas 930 hektar (2,300 ekar) di kawasan perairan selatan Pulau Pinang tersebut.
PEOM melibatkan aktiviti seperti pelabuhan tukun tiruan dan unjam (FAD), pelepasan benih ikan dan udang, pembinaan garis pantai mesra alam di sepanjang kawasan yang ditambak, kajian kesan pencemaran bunyi bawah laut terhadap kehidupan marin dan banyak lagi.
Kajian itu disyaratkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada keperluan kelulusan projek dan komitmen pengurusan jangka panjang dalam memastikan serta meningkatkan taraf hidup golongan nelayan setempat walaupun mereka tetap boleh meneruskan pekerjaan mereka semasa penambakan.
Walaupun Kerajaan Negeri telah mengurangkan jumlah keluasan projek dari 1,821 hektar (4,500 ekar) ke 930 hektar susulan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, program-program PEOM tetap berjalan mengikut rancangan untuk membantu merangsang stok hidupan laut dan meningkatkan kawasan pesisir pantai sekali gus mewujudkan habitat baharu ikan dan hidupan marin lain dalam memastikan sektor perikanan tempatan kekal mampan.
Pada Disember 2020 dan Januari 2022, beberapa saintis terkemuka dan berpengalaman dalam bidang perikanan dan marin telah dilantik bagi menjalankan kajian tersebut. Mereka terdiri daripada Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Aileen Tan; penyelidik marin, Prof. Datuk Dr. Zulfigar Yasin serta pakar akuakultur dan perikanan daripada firma Fanli Marine and Consultancy, Dr. N. Gopinath.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, para saintis itu berkongsi usaha penyelidikan yang dijalankan mereka serta pandangan saintifik mereka berhubung projek tambakan laut PSI itu secara keseluruhannya.
CEMACS
MINGGUAN: Boleh Dr. terangkan bidang kajian yang dilakukan CEMACS di bawah PEOM?
AILEEN: CEMACS menjalankan kajian berkaitan tukun tiruan dan pembiakan ikan serta udang. Tujuan tukun-tukun tiruan ini dilabuhkan adalah bagi mewujudkan ekosistem marin buatan untuk hidupan laut seperti ikan dan spesies marin yang tinggal di zon benthik (dasar laut) dan spesies pelagik seperti sotong. Kita mahu tukun tiruan ini menarik organisma laut dengan menyediakan habitat alternatif buat spesies-spesies ini.
Kajian berkaitan tukun tiruan ini bertujuan menentukan kawasan laut yang sesuai untuk menempatkan tukun-tukun tersebut. Apabila kita melabuhkan tukun tiruan dan unjam (FAD) di sesuatu lokasi, kita mahu memastikan ia berjaya. Kita tidak boleh sekadar mengandaikan ikan-ikan akan tertarik dan hidup di kawasan tukun tiruan yang dilabuhkan tersebut.
DR. AILEEN Tan melakukan kajian dalam makmal di CEMACS di Teluk Bahang.
Dalam kajian mengenai pembiakan ikan dan udang, terdapat dua perkara yang perlu kita lihat. Pertamanya adalah menentukan sama ada kawasan rancangan tambakan laut itu merupakan kawasan sumber utama benih ikan dan udang atau kawasan transit serta apa yang akan berlaku kepada ikan dan udang apabila projek tambakan laut di kawasan itu bermula. Seterusnya, kita perlu melihat kepada kawasan alternatif lain dan menentukan sama ada ikan dan udang boleh hidup atau membiak dengan lebih baik di kawasan baharu ini berbanding habitat asal mereka.
Ini merupakan antara perkara yang perlu kita ketahui berbanding hanya menuding jari atau sekadar membuat andaian. Kajian sains akan memberikan kita data, fakta dan gambaran untuk kita menyediakan model dan rancangan yang baik untuk masa depan.
Dua komponen ini perlu dilakukan dengan seberapa pantas dan CEMACS diberi setahun setengah untuk melengkapkan kedua-dua kajian tersebut. Sebagai seorang saintis, saya berharap hasil kajian itu nanti boleh memberikan kita jawapan dan cadangan tentang bagaimana kita dapat melangkah ke depan dalam mengimbangi keperluan pembangunan dan perlindungan terhadap alam sekitar sekali gus memastikan kajian tersebut memberi impak yang bermakna.
Adakah inisiatif ini dapat membantu mengurangkan impak PSI dan bagaimana caranya?
ZULFIGAR: Kita akan mengkaji bagaimana dua projek penyelidikan ini boleh digunakan untuk meningkatkan lagi sumber hidupan marin di perairan selatan Pulau Pinang.
Dalam kajian melibatkan tukun tiruan, kita tidak mempunyai banyak tukun di perairan selatan Pulau Pinang. Kebanyakan yang ada terletak agak jauh iaitu di Pulau Kendi. Dengan inisiatif meletakkan tukun tiruan ini kelak, kita berharap dapat membantu mewujudkan kawasan sumber perikanan di kawasan ini.
Rancangan kita ketika ini adalah untuk meletakkan tukun tiruan ini ke dalam laut dan melihat perkembangannya serta bagaimana tukun tiruan ini dapat meningkatkan sumber hidupan marin. Kita juga perlu mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk tukun-tukun tiruan ini berfungsi secara semula jadi dengan optimum.
Ia juga adalah sama dalam kita melabuhkan unjam (FAD). Satu-satunya produktiviti yang dapat saya lihat adalah peningkatan pembiakan sotong di kawasan-kawasan tertentu. Kita berharap dengan meletakkan tukun tiruan dan unjam ini ke dalam laut, ia juga dapat mewujudkan habitat baharu kepada ikan, ketam dan organisma marin lain di kawasan terbabit seterusnya menyokong ekosistem laut.
Adakah terdapat contoh kejayaan terhadap inisiatif ini?
ZULFIGAR: Pelabuhan tukun tiruan telah dilakukan secara meluas di perairan negara serta laut antarabangsa. Tukun tiruan berbeza digunakan untuk meningkatkan hasil hidupan marin yang berbeza di kawasan-kawasan tertentu.
Jadi, tidak ada alasan mengapa kita tidak boleh melakukan perkara sama di perairan selatan Pulau Pinang. Kita yakin dengan usaha ini dan kemampuan meningkatkan kekayaan hasil laut di kawasan tersebut. Persoalannya adalah sebanyak mana peningkatan kekayaan hasil laut itu yang boleh dicapai.
Sumber ikan akan bergantung kepada jenis tukun tiruan dan seberapa pantas ia dapat disemulajadikan atau menjadi ‘matang’ dengan pertumbuhan batu karang dan alga di permukaan struktur tersebut. Ini adalah penting untuk memastikan tukun tiruan itu mampu menarik organisma marin.
Pelepasan benih ikan dan udang juga telah dilakukan sebelum ini, namun apa yang lebih penting adalah untuk menentukan spesies yang mampu bertahan dan hidup sehingga usia dewasa atau matang. Untuk itu, kita perlu menjalankan kajian awal berhubung jenis ikan dan udang yang boleh dibiakkan di kawasan ini.
Kebanyakan perkara ini telah dilakukan di perairan darat seperti di sungai, tasik dan takungan air. Meskipun kajian kami melibatkan ekosistem marin tetapi secara prinsipnya ia adalah sama. Kami mahu melihat bagaimana pembiakan ikan dan udang itu dapat dioptimumkan supaya kita dapat hasil yang lebih baik.
Sejauh mana kemampanan inisiatif ini dan kenapa sekitar Pulau Kendi dijadikan tumpuan?
ZULFIGAR: Kita perlu menyedari pemantauan terhadap tukun dan unjam tiruan ini akan menjadi faktor utama kepada perancangan kita yang seterusnya. Sebagai contoh, tukun tiruan mengambil masa beberapa bulan untuk bernaturalisasi (menjadi semula jadi). Ciri-ciri dan sifatnya juga akan berubah apabila tukun tiruan ini berkembang dalam laut.
Pelabuhan tukun tiruan di Pulau Kendi telah dijalankan sejak lebih 30 tahun lalu dan kita telah melihat bagaimana struktur dan ciri-ciri tukun tiruan itu berubah. Jadi, kita berharap kajian ini akan turut menunjukkan perubahan seperti itu. Ini akan membantu kita mempromosikan sumber hidupan laut di kawasan itu selain memberikan panduan untuk kita pelajari dan menambah baik keadaan laut di perairan selatan Pulau Pinang.
Pada pandangan saya, kita perlu mencari lokasi terbaik untuk menjalankan kajian dan yang dapat memberikan kita peluang kejayaan yang lebih tinggi. Sudah tentu jika kita meletakkan tukun tiruan di Pulau Rimau, kita juga akan dapat melihat peningkatan produktiviti utama dan sekunder di kawasan itu. Tetapi kita mempunyai peluang yang lebih baik di Pulau Kendi disebabkan kedalaman dan keadaan kualiti air yang lebih baik di kawasan ini.
Apa pandangan CEMACS terhadap PEOM, berdasarkan kepakaran dan tanggungjawabnya?
AILEEN: Pada pandangan saya, PEOM adalah tepat pada masanya. Secara peribadi, saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara maritim perlu melakukan lebih banyak kajian berasaskan marin. Ketika ini, kajian lebih tertumpu kepada daratan dan terlalu sedikit yang kita tahu mengenai kawasan laut dan pesisir pantai kita.
Apabila melibatkan pembangunan, kita juga perlu melakukan kajian sebelum, semasa dan selepas pembangunan itu kerana tidak ada penyelesaian yang dapat memenuhi semua peringkat pembangunan ini. Selain itu, pemantauan berterusan juga perlu dilakukan, tidak hanya bagi tempoh lima atau enam tahun kerana impak daripada pembangunan itu hanya dapat dilihat selepas tempoh tersebut. Jika kita mahu projek ini dilaksanakan dengan berkesan dan berjaya, maka komitmen berterusan diperlukan bagi memastikan kita menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.
Kita tidak hanya bercakap tentang kerja-kerja tambakan laut, tetapi berkenaan faktor antropogenik dan perubahan iklim. Kita perlu sangat sensitif terhadap perkara ini dalam usaha kita memenuhi kehendak pembangunan dan komuniti. Adalah lebih baik untuk bekerjasama supaya situasi menang-menang dapat dicapai dalam melaksanakan projek mega seperti ini.
Secara peribadi saya beranggapan kita memerlukan keseimbangan kerana sebagai sebuah negara membangun, Malaysia memerlukan pembangunan. Persoalannya adalah bagaimana pembangunan itu dapat dilaksanakan dengan bijak dan mampan. Inilah sebabnya kenapa CEMACS terlibat dalam kajian PEOM ini. Rangka projek ini juga dengan jelas memperlihatkan keseriusan dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan perlindungan terhadap alam sekitar.
Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang unik. Kita mempunyai banyak agenda dan dasar-dasar hijau. Saya percaya Pulau Pinang memimpin dalam aspek ini dan Pulau Pinang akan melakukan yang terbaik dalam mengimbangi pembangunan dan melindungi kemampanan alam sekitarnya. Sebagai saintis, saya berharap penyelidik seperti kami dapat mencari jawapan dan menyediakan pilihan atau alternatif untuk membantu mewujudkan masa depan yang lebih baik.
FANLI
Boleh jelaskan apa penyelidikan yang dijalankan Fanli di bawah projek PSI?
GOPINATH: Kajian itu melibatkan:
* Perbandingan biodiversiti makrobentos di kawasan tambakan laut dengan kawasan tambakan lain di pantai barat Semenanjung Malaysia.
* Kajian penambahbaikan ekologi garis pantai.
* Kajian kesan pencemaran bunyi terhadap ikan.
* Kajian pergerakan udang.
Boleh jelaskan lebih lanjut berkenaan kajian penambahbaikan garis pantai?
GOPINATH: Tembok di sekeliling pulau PSI adalah tembok batu sepanjang kira-kira sembilan kilometer dan mampu menarik semula habitat laut sebelum ini jika kita dapat menanam tumbuhan marin di sekitar kawasan ini.
Jadi, kajian ini memfokuskan kepada usaha meningkatkan pembangunan dan kepelbagaian habitat pada struktur tembok batuan di pulau tersebut. Kita masih di peringkat cadangan dan perlu membangunkan infrastruktur bersesuaian yang boleh merangsang pertumbuhan pokok dan tumbuh-tumbuhan pada tembok penahan tersebut. Kita masih belum dapat memastikan sejauh mana kejayaan kajian ini, namun kita akan mengenal pasti tumbuh-tumbuhan marin yang merupakan sebahagian habitat pantai tempatan yang konsisten dengan persekitaran laut sedia ada.
Bagaimana dengan kajian pergerakan udang?
GOPINATH: Kajian ini yang diminta oleh Jabatan Perikanan menumpukan kepada potensi corak pergerakan udang seperti udang putih besar, udang kaki merah, udang putih kecil, udang jinga dan udang kulit keras berhubung dengan pergerakan benih udang ini di perairan selatan Pulau Pinang iaitu di sekitar kawasan tambakan laut PSI dan kawasan-kawasan di luar tapak projek ini.
Data semasa menunjukkan pergerakan udang ini adalah dalam arah timur-barat, iaitu bergerak dari kawasan paya bakau yang berperanan sebagai tapak pembiakan (nurseri) ke arah kawasan pesisir luar laut yang lebih dalam iaitu di mana spesies membiak. Anak benih udang yang terhasil berhijrah ke arah hutan paya bakau untuk membesar menjadi udang dewasa. Tidak ada bukti yang menunjukkan pergerakan benih udang ini berlaku ke arah utara-selatan.
Selain itu, dari segi sejarahnya, kawasan pesisir pantai berhampiran tapak PSI juga tidak pernah menjadi tapak pertumbuhan hutan paya bakau. Maka, kawasan ini tidak boleh menjadi tapak kepada pembiakan udang seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.
Bagaimanapun, kajian yang kita lakukan akan menyediakan beberapa pencerahan berhubung perkara ini. Kita masih di peringkat awal serta masih mengumpul data untuk meningkatkan pemahaman kita berhubung sumber udang ini. Kita menjangkakan kajian ini dapat disiapkan pada September ini. Hasil kajian ini kelak akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan dalam menentukan langkah seterusnya yang boleh diambil.
Bagaimana pula dengan kajian impak pencemaran bunyi?
GOPINATH: Kita sekarang berada pada peringkat kajian garis dasar. Kita telah menganalisis data-data awal yang akan kita gunakan sebagai asas untuk menentukan sama ada terdapat perubahan pada tahap kebisingan di bawah laut di sekitar perairan selatan Pulau Pinang kesan daripada kerja-kerja tambak laut.
Impak pencemaran bunyi ini memberi kesan yang berbeza terhadap hidupan laut yang berbeza. Sesetengah spesies marin mungkin tidak terkesan dengan bunyi bising seperti sesetengah spesies hidupan laut lain (sebagai contoh ikan lumba-lumba). Data yang diperolehi nanti akan memberikan kita gambaran yang jelas dan membolehkan kontraktor projek memastikan kerja-kerja tambak laut yang dilakukan dapat disesuaikan dalam mengawal tahap pencemaran bunyi di dalam laut.
Berdasarkan pengalaman Fanli, adakah terdapat mana-mana projek tambakan yang melakukan banyak kajian seperti PSI ini?
GOPINATH: Ia adalah sesuatu yang di luar kebiasaan untuk sesebuah projek tambakan laut mempunyai beberapa kajian seperti ini. Namun, ia tidak bermakna kajian seperti ini bukan keperluan. Lebih banyak kajian yang dilakukan, lebih banyak manfaat yang bakal diperoleh negara kerana kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan projek tambakan laut dan kesannya terhadap ekosistem marin supaya langkah-langkah yang diperlukan dapat diambil.
Barangkali sebelum ini, projek tambakan laut lain tidak dipantau dengan begitu rapi dan teliti. Tetapi projek PSI boleh dijadikan penanda aras kepada rancangan projek tambakan laut lain pada masa depan. Kajian-kajian serupa mungkin boleh dilaksanakan untuk projek tambakan lain kelak. – UTUSAN
No Comments