Latest News
PTMP Map
PSI
 

Masih tunggu EMP, kerja tambak laut tunda lagi ke hujung Mei, awal Jun

Masih tunggu EMP, kerja tambak laut tunda lagi ke hujung Mei, awal Jun

Diterbitkan oleh Utusan Malaysia • 11/04/2021 • 07:05pm

AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman menunjukkan pelan tambakan laut perairan selatan sewaktu menaiki bot meninjau tapak tambakan itu di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

GEORGETOWN: Jangkaan kerja-kerja tambak laut bagi projek di perairan selatan negeri ini (PRS) dianjakkan sekali lagi antara hujung Mei atau awal Jun ini selepas kerajaan negeri memaklumkan boleh memulakannya hujung bulan lalu atau awal bulan ini.

 

Perkara itu berikutan Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sudah diserahkan awal tahun ini dan sepatutnya diterima dalam tempoh 90 hari.

 

EMP adalah sebahagian daripada syarat kelulusan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu yang mensyaratkan kontraktor dilantik perlu mematuhi langkah-langkah kawalan dan program alam sekitar ditetapkan.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya ketika ini hanya menunggu kelulusan EMP itu daripada JAS supaya kerja tambak laut berkenaan dapat dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

 

“Kita tidak bimbang berhubung kelewatan EMP itu kerana JAS sudah semestinya mempunyai prosedur standard operasi (SOP) sendiri dalam meluluskannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan Pulau Pinang mengetuai sekumpulan pemberita dan pegawai daripada beberapa agensi berkaitan menaiki bot bagi meninjau lokasi pertama tambak laut di Permatang Damar Laut, di sini.

 

Lokasi seluas kira-kira 930 hektar itu akan ditambak bagi membentuk Pulau A dengan tambakan fasa pertama melibatkan keluasan kira-kira 486 hektar dijangka selesai pada 2027.

 

Pulau A itu ditambak sejauh 4.6 kilometer dari daratan Permatang Damar Laut serta berjarak kira-kira 600 meter dari Pulau Rimau.

 

Dalam sesi itu juga, peserta ditunjukkan dengan dua pelantar yang sedang menjalankan kerja-kerja pengukuran kedalaman laut dan siasatan tanah untuk mengumpulkan sampel tanah di dasar laut.

 

Turut diterangkan adalah mengenai penggunaan tirai kelodak bagi mengawal serakan sedimen halus semasa kerja-kerja penambakan sekali gus mengelakkan pencemaran laut.

 

Ditanya mengenai bantahan berterusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan sekumpulan nelayan berhubung projek tersebut, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada cadangan atau pandangan mana-mana pihak berhubung projek berkenaan.

 

Di pihak kerajaan negeri, jelasnya, beliau telah berulang kali menyatakan komitmen untuk memastikan semua pihak terlibat mendapat manfaat daripada projek itu menerusi Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang digariskan.

 

“Kita juga sentiasa mengalu-alukan sekiranya terdapat cadangan dan sedia berbincang berkenaan aspek-aspek yang mungkin boleh ditambah baik dalam SIMP ini.

 

“Malah, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut ini juga masih dibuka untuk sesi libat urus berkenaan projek tambakan ini termasuk kepada wakil NGO atau nelayan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!