Latest News
PTMP Map
PSI
 

LKIM akan siasat jika ada nelayan dipaksa bantah PSR – Muhammad Faiz

LKIM akan siasat jika ada nelayan dipaksa bantah PSR – Muhammad Faiz

Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 08/11/2019

GEORGE TOWN – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan kumpulan nelayan yang dipaksa untuk menentang pelaksaaan Projek Tambak Laut Perairan Selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, persatuan nelayan terbabit akan dipanggil oleh LKIM untuk memberi penjelasan lanjut sekiranya dakwaan yang diterimanya itu berasas.

 

MUHAMMAD Faiz Fadzil.

 

“Berdasarkan maklumat ini, saya akan meminta pegawai LKIM untuk menyiasat dakwaan tersebut.

 

“Sekiranya benar, tindakan yang sewajarnya akan diambil dan pihak persatuan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan,” jelasnya ketika dihubungi.

 

Pada 5 November lalu, Mihammad Faiz diminta mengulas berhubung dakwaan terdapat anggota unit nelayan dekat Batu Maung dipaksa membantah PSR yang sedang dilaksana oleh Kerajaan Negeri untuk membiayai kos pemajuan dan belanja operasi beberapa projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 

Tegasnya, paksaan sebegitu, jika benar-benar wujud patut tidak berlaku memandangkan pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah memberi ruang kebebasan bersuara begitu luas, termasuk menerima memorandum bantahan daripada kumpulan nelayan yang tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan bagi projek PSR dan PTMP.

 

Tegasnya lagi, wakil Kerajaan Negeri pada 4 November lalu turut menerima memorandum bantahan PSR dekat perkarangan luar Dewan Sri Pinang.

 

“Pihak LKIM tidak mahu berlaku perkara salah tadbir urus dalam persatuan-persatuan yang sepatutnya menjaga kebajikan dan membantu mengubah taraf hidup ahli-ahli mereka.

 

“Kita seharusnya menerima dan menghormati hak dan kebebasan bersuara.

 

“Mereka yang membantah projek PSR juga perlu menghormati pandangan orang lain yang menyokong projek tersebut,” jelasnya.

 

Selain itu, Muhammad Faiz berkata beliau percaya pihak Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan komuniti nelayan.

 

“Pada masa ini, saya percaya masih ada ruang perbincangan bagi mencapai penyelesaian ‘menang-menang’ bagi kedua-dua pihak,” jelasnya lagi.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!