Latest News
PTMP Map
PSI
 

Lebih 3,000 ulasan positif projek PSI

Lebih 3,000 ulasan positif projek PSI

Published by Berita Harian • 27/4/2023

Pemandangan lokasi nelayan di Jeti Sungai Batu Teluk Kumbar, Balik Pulau di sini. Baru-baru ini kerajaan negeri memperoleh kelulusan laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau South Islands (PSI) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). – Foto NSTP/MIKAIL ONG

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima lebih 3,000 ulasan positif berhubung Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dipercayai ramai dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

 

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS sudah membuat penilaian dari segi impak alam sekitar (magnitud dan tahap signifikannya) serta cadangan langkah-langkah mitigasi dan kawalan pencemaran dengan mengambil kira semua input daripada panel penilai dan orang awam.

 

Katanya, tindakan itu dilakukan supaya projek berkenaan mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat, khususnya di Pulau Pinang.

 

“Laporan EIA bertarikh 29 April 2022 dipamerkan untuk ulasan awam bermula 20 Mei hingga 18 Jun 2022 secara hibrid di empat pejabat utama iaitu Perpustakaan Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Permatang Damar Laut.

 

“Hasil pameran awam itu, 3,464 ulasan awam direkodkan dengan 93 peratus responden memberikan ulasan positif seperti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, pembangunan ekonomi dan faedah kepada nelayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata projek PSI, yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang mendapat kelulusan EIA.

 

Beliau berkata, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.

 

PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. Susulan kelulusan itu, kerja penambakan akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.

 

Wan Abdul Latiff berkata, JAS turut mengarahkan penggerak projek untuk melaksanakan pameran awam kali kedua ketika penerimaan Laporan EIA iaitu bagi tempoh 21 November 2022 sehingga 4 Januari 2023.

 

Katanya, sebanyak 799 ulasan orang awam diterima sepanjang tempoh pameran awam berkenaan dan 73.7 peratus daripada responden yang diterima memberi ulasan yang positif terhadap cadangan pembangunan projek tersebut.

 

“JAS turut mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal iaitu Technical Review Comittee (EIATRC) bagi mengkaji dan membincangkan Laporan EIA tersebut pada 28 Jun, 4 Oktober dan 15 Disember 2022 serta 21 Mac 2023 yang dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, agensi kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, pakar-pakar iaitu individu yang dilantik mengikut bidang kepakaran masing-masing dan jururunding EIA,” katanya.

 

Tambahnya, surat kelulusan Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut ditandatangani pada 11 April 2023 beserta 71 Syarat-syarat Kelulusan Laporan EIA yang perlu dipatuhi oleh Penggerak Projek.

 

“Selepas diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (agensi pelulus projek), pelaksanaan projek tidak boleh dimulakan di tapak sehingga Penggerak Projek menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan dipersetujui oleh JAS terlebih dahulu.

 

“JAS juga menarik perhatian pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan pelaksana projek memberi perhatian serius terhadap impak residual dan melaksanakan semua langkah mitigasi dan kawalan pencemaran tanpa gagal dengan nasihat teknikal jabatan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!