Latest News
PTMP Map
PSI
 

‘Larang tambak laut Pulau Pinang tapi benarkan tambakan di Melaka, Johor’ – Zairil

‘Larang tambak laut Pulau Pinang tapi benarkan tambakan di Melaka, Johor’ – Zairil

Diterbitkan oleh BHarian • 01/12/2021 • 01:48 pm

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari

GEORGETOWN: Projek tambak laut perairan selatan (PSR) di negeri ini, didakwa bukan projek besar jika dibandingkan dengan tambakan mega seperti dilakukan di Johor dan Melaka.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, hairan mengapa PSR yang dirancang di negeri ini tidak mendapat kebenaran, sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz tambakan lebih besar boleh diluluskan.

 

“Kerajaan negeri juga tidak boleh menerima alasan diberikan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika mengetepikan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) PSR memandangkan projek itu telah diluluskan dan memenuhi kehendak-kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling.

 

“Dalam hal ini, kita tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Rayuan JAS, malah yakin dengan proses perundangan negara, namun hairan perkara itu sering terjadi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

 

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, ketika menjawab soalan tambahan Jason H’ng Mooi Lye (DAP-Jawi), sama ada kerajaan negeri meminta penjelasan lanjut JAS mengapa EIA PSR dibatalkan, sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz lebih besar boleh diluluskan.

 

Sementara itu, menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) yang meminta penjelasan berhubung keputusan Lembaga Rayuan JAS mengetepikan EIA PSR, Zairil berkata, kerajaan negeri yakin semakan kehakiman kelak akan memihak negeri ini.

 

Katanya, keputusan JAS ketika mengetepikan EIA bukan atas dasar kesan kepada kualiti atau persekitaran ekoran projek terbabit, sebaliknya lebih kepada isu teknikal.

 

“JAS berpandangan kelulusan EIA PSR terdahulu diberikan ketika projek itu belum lagi digazetkan di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030, sedangkan projek PSR sudah pun diluluskan Jawatankuasa Perancangan Negeri iaitu pihak berkuasa perancangan yang paling tinggi di Pulau Pinang.

 

“Malah, jika kita lihat peruntukan di dalam akta yang mana apabila sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa perancangan negeri dan apabila dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), maka ia sebenarnya sudah memadai.

 

“Disebabkan itu kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS dan kita yakin apabila semakan kehakiman dibuat di Mahkamah Tinggi kelak, kita akan mendapat keputusan positif sekali gus meneruskan pelaksanaan projek ini,” katanya.

 

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan akan membuat permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan susulan pembatalan kelulusan bagi laporan EIA PSR.

 

Pertimbangan itu dibuat sementara menunggu mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis.

 

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!