28 Feb Laluan LRT akan berakhir di Penang Sentral – Chow Kon Yeow
Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Laluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang sebelum itu dilaporkan akan berakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) akan dihubungkan sehingga Penang Sentral yang menjadi hab pengangkutan di bahagian Seberang Perai.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jajaran baharu itu didedahkan pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam satu perbincangan diadakan baru-baru ini.
“Cadangan asal jajaran adalah berhenti pada stesen KOMTAR, namun MRT Corp mahu ia dibawa hingga ke Penang Sentral di bahagian Seberang Perai.
“Ia (projek ini) sekali gus akan merentasi laut dan kita akan memperhalusi serta mengambil kira isu teknikal bagi memastikan pembinaannya berjalan lancar,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan berhubung projek LRT di negeri itu.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang hadir Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran parti berkenaan di Dewan Ng Yam Huat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pihak MRT Corp sudah membentangkan usaha dalam merealisasikan projek LRT yang sudah lama dirancang.
“Mereka ada maklumkan untuk tindakan selanjutnya memerlukan pembentangan kertas Kabinet untuk mendapat lampu hijau daripada Jemaah Menteri, seterusnya membolehkan langkah lanjut diambil ,” katanya
Sementara itu, Kon Yeow berkata, MRT Corp sebelum itu melantik perunding bagi membuat kajian berhubung jajaran projek LRT yang disempurnakan SRS Consortium Sdn Bhd.
“Rakan pelaksana projek (PDP) kerajaan negeri ketika itu memberi kata putus dan reaksi terhadap jajaran yang kita sudah cadangkan.
“Semua perincian ini termasuk lokasi depoh dan sebagainya akan dimasukkan dalam kertas kerja bagi membolehkan kita memperoleh hala tuju seterusnya,” katanya.
Pada Mei lalu, media melaporkan pelaksanaan fasa pertama projek LRT di Pulau Pinang merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer (km).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, berdasarkan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri dan juga MRT Corp, satu persetujuan dicapai mengenai jajaran baharu LRT iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas ke Tanjong Bungah berbanding jadual asal stesen terakhir di KOMTAR.
Dalam pembentangan bajet 2024, sebanyak RM10 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek LRT Pulau Pinang melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).
No Comments