Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kumpulan nelayan PSI pertama menerima bot dan enjin baru

Kumpulan nelayan PSI pertama menerima bot dan enjin baru

Siaran Media

12 OGOS 2022

Kumpulan nelayan PSI pertama menerima bot dan enjin baru

BUTTERWORTH: Janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi bantuan bot lengkap dengan engin kepada nelayan kawasan projek Penang South Islands (PSI) mula ditunai pada hari ini.

 

Sebagai permulaan, empat orang nelayan telah menerima bot dan enjin yang baharu di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dalam sebuah majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan.

 

Bot baharu tersebut adalah lebih besar dengan ukuran panjang 27 kaki dan kelebaran 7.4 kaki, serta boleh membawa muatan hingga satu tan.

 

Bot tersebut juga mempunyai ciri-ciri keselamatan yang berkeupayaan untuk mencegah bot daripada tenggelam apabila dimasuki air, dan dilengkapi GPS, sonar, robot (net hauler) serta enjin berkuasa tinggi berjenama Mercury (90HP) atau Yamaha (100HP) mengikut pilihan nelayan.

 

Nelayan Permatang Tepi Laut, Mat Isa Mat Noor, 64, dan Ahmad Khamis, 76, yang merupakan salah dua orang penerima bantuan bot dan enjin, berkata mereka berpuas hati dengan reka bentuk bot baharu mereka.

 

“Saya amat berpuas hati dengan pembinaan bot ini kerana saya sendiri telah melihat pembuatannya.

 

“Bot ini juga lebih besar, selamat dan ada ruang yang lebih luas dan selesa untuk saya bekerja. Bot lama saya lebih kecil dan sempit,” kata Mat Isa.

 

Kali terakhir dia membeli bot baharu adalah pada tahun 2004 dengan kos RM12,000. Ahmad yang telah menjadi nelayan lebih daripada 50 tahun juga memuji reka bentuk dan saiz bot baharu tersebut.

 

“Bot lama saya hanya 17 kaki. Saya tidak mampu membeli bot baharu. Saya berasa sangat bagus Kerajaan Negeri memberi bantuan bot dan enjin,” katanya.

 

Dato’ Zakiyuddin berkata majlis penyerahan bot nelayan tersebut adalah detik yang amat bermakna kepada nelayan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Ini bererti manfaat projek PSI yang telah dijanjikan sedang ditunaikan secara berfasa,” katanya.

 

Selain pemberian bot, pelaksanaan skim SIMP ini juga melibatkan peranan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan (KKPPSB) yang telah ditubuhkan awal tahun ini untuk manfaat nelayan dan penduduk setempat, katanya.

 

KKPPSB telah dilantik oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk menguruskan kerja-kerja mereka bentuk bot oleh perunding dan seterusnya melantik pembuat bot untuk membina bot nelayan serta pembekalan enjin bot.

 

“Melalui program bantuan bot dan aktiviti perniagaan lain yang akan diceburi, KKPPSB akan menjana pendapatan dan keuntungan yang memanfaatkan ahliahlinya yang terdiri daripada nelayan dan penduduk setempat.

 

“Selain itu, syarikat tempatan seperti Fibra Marine Manufacturing and Trading telah dilantik untuk membina bot nelayan di bawah skim SIMP,” katanya.

 

Dato’ Zakiyuddin berkata ini adalah contoh yang baik untuk menunjukkan bagaimana projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri boleh memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dan perniagaan tempatan dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan.

 

Mengikut rekod Jabatan Perikanan Pulau Pinang, seramai 315 tekong dari unit Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Teluk Kumbar (Tahap 1) adalah layak untuk menerima bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP.

 

Sebanyak 16 bot lagi akan disiapkan pada penghujung bulan Ogos dan September ini untuk kumpulan penerima fasa pertama yang telah dikenal pasti melalui pendaftaran SIMP dan pengauditan bot yang telah dijalankan sejak tahun lalu.

 

Dato’ Zakiyuddin berkata Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyampaikan 20 bot dan enjin terlebih dahulu kerana keadaan bot sedia ada mereka telah disahkan oleh perunding tidak selamat dan tidak ekonomik untuk baiki untuk membantu mereka yang memerlukan bot baharu untuk bekerja dengan lebih selamat.

 

Bagi 295 bot yang selebihnya, pembinaan akan bermula selepas projek mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Bin Darus berkata PIC juga akan melantik lebih banyak syarikat pembinaan bot untuk menyiapkan bot yang selebihnya untuk memastikan tempahan bot yang besar itu dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas proses penambakan dibenarkan bermula.

 

Katanya, nelayan tetap dapat menangkap ikan semasa dan selepas penambakan PSI tamat kerana laluan ke laut tidak akan terhalang.

 

“Nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan biasanya menangkap ikan di luar tapak cadangan PSI.

 

“Di bawah skim SIMP juga, alur navigasi yang disediakan akan membolehkan nelayan ke laut 24 jam sehari tidak kira air pasang atau surut,” katanya.

 

Skim SIMP juga termasuk bantuan kewangan (ex-gratia), peluang pekerjaan dan perniagaan, program latihan dan kemahiran, sokongan pendidikan untuk anak nelayan, dan skim pemilikan perumahan.

 

“Selepas projek diluluskan, komuniti nelayan akan dapat menikmati lebih banyak manfaat SIMP,” kata Dato’ Farizan.

 

Turut hadir dalam majlis adalah Adun Teluk Air Tawar, YB Dato’ Mustafa Kamal Bin Ahmad; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, En Zulkifli Bin Rashid; dan Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng.

 

Hadirin lain termasuk wakil-wakil kerajaan negeri dan agensi, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, KKPPSB, Fibra Marine, syarikat pembekal enjin MercurySupratechnic Sdn Bhd, Hong Bee Motors dan HLY Marine, serta rakan pelaksana projek SRS Consortium.

No Comments

Post A Comment