Latest News
PTMP Map
PSI
 

Koperasi baharu perkasa ekonomi nelayan PSR

Koperasi baharu perkasa ekonomi nelayan PSR

Published by Bharian • 08/06/2022 • 11:29am

Kajian tanah di tebing Sungai Bayan Lepas untuk projek menaik taraf kemudahan nelayan.

BAYAN LEPAS: Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) bakal memperkasakan nelayan dan komuniti setempat di sekitar Pulau Pinang Selatan.

 

KKPPSB yang didaftar secara rasmi April lalu akan dilantik sebagai kontraktor utama untuk melaksanakan projek menaik taraf kemudahan nelayan di Sungai Bayan Lepas.

 

Kemudahan yang akan disediakan adalah jeti dan stor sementara untuk kegunaan nelayan Permatang Tepi Laut serta Kampung Binjai di Sungai Bayan Lepas.

 

Sebelum ini, nelayan terpaksa mendirikan kemudahan sendiri yang tidak teratur dan terurus.

 

Pengerusi KKPPSB, Dr Muhammad Fadzly Zakaria, berkata penyediaan kemudahan sementara itu adalah sebahagian daripada manfaat skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk nelayan di kawasan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan.

Pengerusi KKPPSB, Dr Muhammad Fadzly Zakaria

“Pembinaan dijangka mula Julai ini dan mengambil masa kira-kira 15 bulan untuk selesai.

 

“Kontrak kerja pembinaan akan diberi kepada subkontraktor dan pembekal daripada komuniti Pulau Pinang Selatan.

 

“Melalui cara ini, KKPPSB dapat mewujudkan peluang perniagaan kepada peniaga dan orang tempatan di kawasan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), selain menjana pendapatan untuk koperasi dan ahli,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KKPPSB yang pertama, baru-baru ini.

 

Nelayan kawasan PSR adalah ahli majoriti KKPPSB. Ahli lain, termasuk penduduk dan peniaga setempat serta kontraktor dari kawasan Pulau Pinang Selatan.

 

Fadzly berkata, lantikan KKPPSB sebagai kontraktor utama projek menaik taraf kemudahan nelayan di Permatang Tepi Laut, Sungai Bayan Lepas juga selaras peranan koperasi berkenaan dalam melindungi kepentingan nelayan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan untuk komuniti setempat.

 

Pembekalan pakej bot

 

Selain itu, koperasi berharap kerajaan negeri dapat memberi pertimbangan kepada KKPPSB untuk menguruskan perolehan bot di bawah skim SIMP kepada nelayan yang terbabit.

 

Skim bantuan bot ini akan memanfaatkan 315 tekong atau pemilik yang berpengkalan di unit nelayan Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Teluk Kumbar yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

 

“Kami difahamkan kerajaan negeri menyasar untuk menyampaikan 20 bot kepada kumpulan nelayan pertama tahun ini. Enam bot pertama dijangka dapat disiapkan bulan depan.

 

“Pembuat bot sudah dikenal pasti dan akan membina 20 bot ini secara berfasa,” kata Fadzly.

 

Difahamkan, kumpulan penerima bot yang seterusnya perlu menunggu kelulusan PSR. Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling bagi projek PSR sedang menjalani proses pameran awam dari 20 Mei hingga 18 Jun tahun ini untuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

Pameran itu diadakan di pejabat JAS Putrajaya dan Kepala Batas, Seberang Perai, KOMTAR dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan di Permatang Damat Laut.

 

Inisiatif SAMUDRA

 

Fadzly berkata, KKPPSB juga akan menceburi perniagaan pemasaran hasil laut di bawah inisiatif SAMUDRA bertujuan menjamin pendapatan setara dan mampan untuk nelayan agar mereka tidak diambil kesempatan oleh orang tengah.

 

Inisiatif ini tercetus kerana harga ditawarkan peraih persendirian (tauke) lebih rendah berbanding harga pasaran. Nelayan yang terikat dengan pinjaman daripada peraih juga tiada peluang untuk mendapat harga lebih baik daripada peraih.

 

Selain itu, nelayan terikat dalam sistem ‘panggu’ yang mana tekong dan awak-awak dibayar upah harian yang sudah ditolak kos operasi, termasuk minyak, ais dan makanan.

 

“Di bawah inisiatif SAMUDRA, nelayan membentuk kumpulan, memilih seorang peraih dalam kalangan mereka untuk menjual hasil tangkapan kepada KKPPSB dengan harga lebih berpatutan,” kata Fadzly.

Persiapan menyediakan bot baharu untuk nelayan yang berdaftar untuk menerima skim Pelan Pengurusan Impak Sosial.

Jurumudi baharu

 

KKPPSB akan membeli hasil laut nelayan lebih tinggi, membayar gaji pokok dan komisen 10 peratus daripada hasil jualan kepada peraih dipilih nelayan.

 

Koperasi akan menjual hasil tangkapan mengikut harga pasaran. Keuntungan hasil tangkapan 70 peratus akan dinikmati nelayan setiap tahun dalam bentuk bonus, manakala selebihnya diambil koperasi untuk memberi dividen kepada ahlinya.

 

“Kerajaan negeri akan menyalurkan RM350,000 sebagai dana permulaan untuk inisiatif ini. KKPPSB juga mengenal pasti kawasan Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar sebagai lokasi perintis untuk laksana inisiatif ini.

 

“Langkah seterusnya adalah mengenal pasti nelayan yang berminat mengambil bahagian dan memilih peraih antara mereka serta melantik perunding dalam kalangan kontraktor tempatan untuk mereka bentuk bilik sejuk bagi menyimpan hasil laut dan menyediakan kemudahan logistik,” katanya.

 

Fadzly berkata, inisiatif SAMUDRA yang membabitkan kerjasama dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia disasar bermula penghujung tahun ini.

 

KKPPSB juga sedang merancang membeli bot penumpang bagi memberi perkhidmatan pengangkutan air.

 

“Koperasi merancang menjadi ejen untuk nelayan yang memiliki lesen jurumudi yang boleh memberi khidmat pengangkutan kepada orang awam.

 

“Nelayan yang berminat menceburi perniagaan sport fishing perlu mendapatkan lesen jurumudi untuk membawa penumpang. Pada April tahun ini, sembilan nelayan PSR lulus ujian Jabatan Laut untuk mendapat lesen tersebut di bawah skim SIMP. Lebih ramai akan diberi peluang mengambil kursus jurumudi,” kata Fadzly.

 

Mereka yang mendapat sijil perakuan kekompetenan untuk menjadi jurumudi atau pelaut boleh memberi perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan dan pelancong pada masa depan sebagai satu sumber pendapatan tambahan.

 

Salah seorang daripada mereka, Haris Abdullah, 62, berkata impiannya untuk menjadi jurumudi akhirnya tercapai selepas 20 tahun.

 

“Saya sudah lama ingin mengambil ujian ini tetapi tidak berani kerana ramai kawan telah gagal dahulu. Disebabkan peluang yang diberi melalui skim SIMP, saya akhirnya berjaya.

 

“Saya berharap boleh mendapat pendapatan tambahan dengan pekerjaan sebagai jurumudi,” katanya.

 

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga penasihat KKPPSB berkata, penubuhan koperasi itu memperkuatkan keyakinan nelayan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam melaksana skim SIMP.

 

“Dengan sokongan kerajaan negeri, kami yakin KKPPSB boleh memainkan peranannya dengan baik untuk melaksanakan skim SIMP secara telus ikut perundangan koperasi dan undang-undang kecil,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.