Latest News
PTMP Map
PSI
 

Ketua Menteri harap ‘Silicon Island’ ulangi kejayaan pelaburan selama 50 tahun FIZ Bayan Lepas

Ketua Menteri harap ‘Silicon Island’ ulangi kejayaan pelaburan selama 50 tahun FIZ Bayan Lepas

Published by Buletin Mutiara• 10/12/2023

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (kanan) dan Ketua Menteri saling menyantuni seusai acara gimik dengan penanaman anak pokok teduh sempena Majlis Jejak Langkah ‘Silicon Island’ di sini pada 10 Disember 2023.

BATU UBAN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri mengetuai majlis jejak langkah ke pulau buatan, Silicon Island yang ketika ini baru ditambak seluas lima ekar persegi pada 10 Disember 2023.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa kerjakerja penambakan laut yang mula dilaksanakan pada 1 September lepas di pulau buatan tersebut merupakan bukti awal kejayaan pelaksanaan projek berkaitan.

 

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pihaknya berharap projek Silicon Island tersebut akan mengulangi kejayaan kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas.

 

“Melalui pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, ‘Green Tech Park’ (GTP); hab perkhidmatan perniagaan global atau GBS Campus; pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau, ‘Silicon Island’ dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion, pelaburan sebanyak RM74.6 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan.

 

“Serentak itu, saya juga sangat yakin bahawa ‘Silicon Island’ akan mengulangi kejayaan FIZ Bayan Lepas yang telah membawa pembaharuan kepada ekonomi Pulau Pinang lebih 50 tahun lalu,” jelasnya dalam majlis berkaitan di Dewan Komuniti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu dekat Batu Maung di sini menjelang tengah hari tadi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 6 Disember lepas telah menyenaraikan Pulau Pinang berada pada kedudukan kedua terbaik dengan merekodkan pelaburan ketara berjumlah RM44.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, di belakang Persekutuan Kuala Lumpur (RM48.9 bilion).

 

“Oleh hal demikian, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) optimis bahawa ekosistem pelaburan negeri akan lebih berdaya saing selepas ‘Silicon Island’ berjaya direalisasikan kelak,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kerjakerja mendapatkan kelulusan berwajib bagi projek tersebut.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga ADUN Batu Maung;Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai majlis tersebut.

GAMBAR dari atas tapak projek penambakan laut di ‘Silicon Island’ di sini menjelang tengah hari tadi.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa projek pembangunan ‘Silicon Island’ akan mengambil masa kira-kira 15 tahun.

 

“Kini (kerja-kerja penambakan laut) menggunakan dua kapal, dan ianya akan ditambah pada tahun akan datang supaya tahap pemajuan dapat dipercepatkan.

 

“Kawasan paling penting di ‘Silicon Island’ ini semestinya Green Tech Park (GTP) yang mana pada tahun 2026, diharapkan kita dapat menyaksikan pembangunan industri pertama (di pulau buatan tersebut) kelak,” ulasnya lanjut.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!