28 Feb Kerja tambak Pulau Silikon berlangsung seperti biasa – Chow
KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. FOTO Mikail Ong.
Georgetown: Kerja tambakan laut pulau buatan dikenali Pulau Silikon yang berkeluasan 930.8 hektar masih diteruskan seperti biasa buat masa ini sehingga keputusan mahkamah diperoleh.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sudah menerima dokumen saman serta semakan kehakiman terhadap Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) itu pada 13 Februari lalu.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Setakat ini kita masih meneruskan (projek) sebab perkara ini baru dimulakan, dan ia perlu melalui proses mahkamah dan kehakiman.
“Jadi sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat dan apakah perintah yang bakal dikeluarkan, maka kita pun perlu menunggu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.
Chow berkata, penasihat undang-undang kerajaan negeri sudah diarah menguruskan perkara berkenaan, malah beliau juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang dinamakan dalam tindakan saman yang difailkan itu.
Semalam, media melaporkan tujuh nelayan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi projek PSI di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 29 Disember lalu.
Permohonan semakan kehakiman itu bertujuan mencabar kebenaran merancang yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) pada 21 Ogos 2023 untuk projek tambakan laut berkenaan.
Kesemua sembilan pemohon turut menyaman Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju projek, SRS Consortium Sdn Bhd, masing-masing selaku responden pertama hingga keempat.
Disiarkan pada: February 15, 2024 @ 2:48pm
No Comments