Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerja pembinaan MRT3, LRT Pulau Pinang bermula 2024

Kerja pembinaan MRT3, LRT Pulau Pinang bermula 2024

Published by BeritaHarian• 26/9/2023

Projek LRT Pulau Pinang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan -NSTP/Danial Saad

KUALA LUMPUR: Kerja pembinaan projek pengangkutan awam mega, transit aliran massa 3 (MRT3) dan transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang dijangka bermula pada 2024.

 

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong, berkata firma penyelidikan itu difahamkan bahawa Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) cuba mendapatkan persetujuan daripada pembida pakej kerja MRT3 untuk melanjutkan pengesahan tender mereka ke akhir tahun ini berbanding pada September sebelum ini.

 

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa MRT Corp dengan aktif melaksanakan projek itu, namun ia perlu melaksanakan penelitian lebih menyeluruh terhadap reka bentuk, spesifikasi, jajaran dan mekanisme pembiayaan.

 

Katanya, laluan lingkaran MRT3 dianggarkan bernilai RM45 bilion itu adalah bahagian terakhir yang penting untuk melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, menghubungkannya dengan jajaran MRT, LRT, KTM dan monorel sedia ada melalui 20 stesen pertukaran.

 

“Sebaik disiapkan, ia akan terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Sementara itu, Kian Yeong berkata MRT Corp pada 21 Ogos lalu mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) bagi LRT Pulau Pinang yang turut dikenali sebagai LRT Bayan Lepas bagi melantik perunding perkhidmatan reka bentuk (tarikh akhir permohonan pada 2 Oktober) serta perunding perkhidmatan kajian sambungan dan mobiliti (tarikh akhir permohonan pada 18 September).

 

“Kami percaya bahawa projek ini, yang kini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, berpotensi dimulakan tidak lama lagi kerana ia tidak lagi dikekang oleh ketersediaan keuntungan dan aliran tunai daripada projek tambakan.

 

“Kerajaan, menerusi Kementerian Pengangkutan, ketika ini sedang memperincikan butiran bersama rakan pelaksana projek, SRS Consortium yang diterajui oleh Gamuda, dan kerja fizikal akan bermula pada awal 2024,” katanya.

 

Kian Yeong berkata, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) baru-baru ini mengunjurkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM264.4 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025, yang diterjemahkan kepada peruntukan tahunan sebanyak RM88.1 bilion, lebih tinggi daripada RM64.3 bilion pada 2021, RM71.6 bilion pada 2022 dan purata RM49.7 bilion di bawah RMK11.

 

“Bagaimanapun, kami tidak mengambil angka itu keseluruhan pada nilai mukanya memandangkan sebahagian daripada kenaikan itu adalah bagi menangani kos inflasi, manakala sebahagian besar perbelanjaan pembangunan kasar kebiasaannya digunakan untuk penyelenggaraan dan memulihara infrastruktur awam sedia ada, selain membiayai projek luar bandar berskala kecil.

 

“Ini akan memberikan manfaat sebahagian besarnya kepada syarikat pembinaan kecil milik swasta,” katanya.

 

“Ditambah dengan pelaksanaan enam projek tembatan banjir yang dilaporkan bernilai RM13 bilion termasuk kerja tebatan banjir di Sungai Johor, pembinaan takungan dua fungsi Sungai Klang-Sungai Rasau serta Pembangunan Fasa 3 Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, kami percaya terdapat kerjakerja yang mencukupi untuk direbut oleh kontraktor senaraian awam bersaiz kecil, sederhana dan besar,” katanya.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!