Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerajaan Pulau Pinang tetap tunai janji manfaat PSI

Kerajaan Pulau Pinang tetap tunai janji manfaat PSI

Published by Sinar Harian • 26/7/2023

Kerajaan Pulau Pinang meneruskan pemberian pakej SIMP berkaitan projek PSI kepada nelayan di negeri itu.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meneruskan pemberian pakej Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) berkaitan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) kepada nelayan di negeri itu.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, pakej yang dijanjikan kepada nelayan berkelayakan itu diteruskan walaupun skop PSI telah dikurangkan kepada Pulau Silikon sahaja.

 

“Kerajaan negeri selaku pemilik projek itu telah membuat keputusan tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 21 Jun lepas untuk mengekalkan pakej SIMP seperti yang telah diumumkan kepada nelayan dahulu.

 

“Keputusan ini bermakna pakej SIMP yang telah dijanjikan kepada nelayan tahap 1 dan 2 tidak berubah iaitu tekong dan awak-awak dari unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul tetap layak menerima manfaat untuk nelayan iaitu bantuan bot dan enjin serta jeti. Jumlah bantuan sagu hati juga tidak berubah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

 

Katanya, kerajaan negeri hari ini telah menyerahkan tujuh bot dan enjin baharu bernilai RM560,000 kepada kumpulan kedua nelayan dari unit Permatang Tepi Laut dan Teluk Kumbar yang terlibat dalam projek tambakan PSI.

 

Mohd Sayuthi berkata, program bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP, dirangka khas untuk nelayan dari kawasan PSI, tetap dilaksanakan secara berfasa walaupun kerja penambakan belum bermula.

 

Beliau berkata, pemberian bot dan enjin baharu serta peralatan lain seperti robot, sonar dan sistem kedudukan global (GPS) di bawah skim SIMP bertujuan memperkasa nelayan selatan Pulau Pinang yang bergantung kepada bot dan enjin untuk mencari pendapatan.

 

“Kerajaan negeri juga mengambil kira keadaan nelayan yang memerlukan bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa untuk bergerak dengan lebih pantas serta bekerja dengan lebih selamat di kawasan penangkapan ikan yang terletak jauh dari tapak PSI,” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil kira bahawa nelayan berdepan kos yang amat besar sekiranya mereka perlu membaiki bot lama atau membeli bot baharu. Bernama

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!