Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerajaan Pulau Pinang pertimbang mohon semakan kehakiman

Kerajaan Pulau Pinang pertimbang mohon semakan kehakiman

Diterbitkan oleh BHarian • 08/09/2021 • 05:30 pm

(Gambar fail) Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari. – NSTP/MIKAIL ONG

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbang tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS), berikutan pembatalan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata pertimbangan itu akan dibuat sementara mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbang tindakan lain, termasuk kemungkinan mengemukakan satu laporan EIA dikemas kini semula berdasarkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan itu.

 

“Kerajaan negeri mengambil maklum laporan berita berhubung keputusan Lembaga Rayuan yang dibuat dengan kuasanya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, membatalkan kelulusan bagi laporan EIA untuk PSR yang telah diberikan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas alasan teknikal tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) akta itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Lembaga Rayuan JAS membuat keputusan untuk mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tambakan laut itu yang membentuk tiga pulau buatan di perairan selatan, hari ini.

 

Keputusan itu menjadikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan adalah terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

 

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR membabitkan keluasan lebih 2,600 hektar.

 

Ia bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP), yang dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

 

PSR dikatakan bakal menjadi pemangkin bagi pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, selain menghalang penghijrahan keluar modal insan serta menarik bakat terbaik ke negeri ini.

 

Projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh 30 tahun.

 

Namun, projek mega itu mendapat tentangan pelbagai pihak, dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang dikatakan paling teruk terjejas, selain ia didakwa boleh mengubah sempadan laut negara dan berkemungkinan menimbulkan masalah dengan negara jiran.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!