Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerajaan P Pinang rayu hidup semula projek tambak laut

Kerajaan P Pinang rayu hidup semula projek tambak laut

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today • 20/12/2022

Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang melibatkan pembangunan tiga pulau buatan manusia di

perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

PUTRAJAYA: Kerajaan Pulau Pinang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bertujuan menghidupkan semula Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang.

 

Dalam notis rayuannya, penasihat undang-undang negeri Norazmi Mohd Nawawi berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 29 Ogos.

 

Pihak kerajaan negeri mendakwa hakim terkhilaf dari segi undang-undang apabila enggan membenarkan lanjutan masa bagi membolehkannya memulakan prosiding semakan.

 

Katanya, kerajaan persekutuan – yang dinamakan sebagai responden bersama – menyatakan mereka tiada bantahan terhadap kedua-dua permohonan kebenaran dan untuk melanjutkan masa.

 

Kerajaan negeri turut menamakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan nelayan Zakaria Ismail sebagai responden dalam rayuan itu.

 

Kerajaan Pulau Pinang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan dibuat tribunal rayuan JAS pada 8 Sept tahun lepas yang membatalkan kelulusan projek itu.

 

Tribunal itu memihak kepada Zakaria dan nelayan lain atas alasan projek berkenaan akan menjejaskan mata pencarian mereka.

 

Menurut permohonan kebenaran oleh kerajaan negeri, keputusan tribunal itu buruk di sisi undang-undang kerana ia dibuat atas “asas fakta yang tidak betul”.

 

Projek tambakan laut itu, yang merangkumi keluasan 17km persegi, melibatkan pembangunan tiga pulau buatan manusia di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

 

Projek itu dicadangkan sebagai modul pembiayaan bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

 

Pada Mac tahun lepas, kerajaan negeri mengumumkan bahawa SRS Consortium akan menambak salah satu daripada tiga pulau yang dicadangkan itu.

 

SRS Consortium bersetuju membayar RM3.8 bilion untuk menambak separuh daripada Pulau A sebagai sebahagian daripada usaha sama 30:70 dengan sebuah syarikat milik negeri, dengan SRS Consortium memegang bahagian yang lebih besar.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!