Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerajaan negeri akan mohon semakan kehakiman susulan pembatalan kelulusan EIA PSR

Kerajaan negeri akan mohon semakan kehakiman susulan pembatalan kelulusan EIA PSR

Diterbitkan oleh HMetro • 08/09/2021 • 05:33 pm

LOKASI pembangunan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) di kawasan Permatang Damar Laut. FOTO Arkib NSTP

Georgetown: Kerajaan negeri akan membuat permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan susulan pembatalan kelulusan bagi laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata, pertimbangan itu dibuat sementara menunggu mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis.

 

Katanya, kerajaan negeri juga akan mempertimbang tindakan lain, antaranya kemungkinan mengemukakan satu laporan EIA yang dikemaskini berdasarkan kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

 

“Kerajaan Negeri mengambil maklum laporan berita berhubung keputusan Lembaga Rayuan yang dibuat dengan kuasa-kuasanya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membatalkan kelulusan laporan EIA bagi PSR itu.

 

“Ia sudah diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas alasan teknikal iaitu tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

 

Zairil berkata demikian susulan mengenai keputusan Lembaga Rayuan JAS bagi mengetepikan kelulusan EIA bagi PSR hari ini.

 

Keputusan itu menjadikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

 

Terdahulu, kerajaan negeri bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggarkan bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

 

PSR dikatakan bakal menjadi pemangkin bagi pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menghalang penghijrahan keluar modal insan dan menarik bakat terbaik ke negeri itu.

 

Projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh 30 tahun.

 

Namun, projek mega itu mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang yang dikatakan paling teruk terjejas selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!