Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kenyataan Media Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR)

Kenyataan Media Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR)

Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 09/06/2021

KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERTARIKH 9 JUN 2021 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

____________________________________________________

 

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak pihak yang menunjukkan ‘minat’ untuk membatalkan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini mengulangi bagaimana kita telah sampai sejauh ini dan juga ingin menjelaskan kepentingan projek tersebut.

 

Pertama, sebagai rekod, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kelulusan untuk Kajian Hidraulik, Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Laporan Penilaian Risiko Trafik Marin (MTRA), dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA). Manakala Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) termasuk Laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) juga telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

 

EIA PSR

 

Pihak Kerajaan Negeri ingin menyatakan bahawa Laporan EIA yang diluluskan oleh JAS pada 25 Jun 2019 setelah dinilai secara terperinci serta komprehensif turut melibatkan tinjauan teknikal dan dua pusingan pameran awam. Tiada projek lain yang melaksanakan dua kali pameran awam EIA sebagaimana PSR.

 

Kelulusan tersebut disertakan dengan 72 syarat, yang merupakan kebiasaan untuk projek sebesar ini. Daripada 72 syarat, sejumlah 56 adalah syarat umum yang berkaitan dengan pematuhan; reka bentuk serta konsep projek; kelulusan dan lesen; langkah pencegahan serta pengurangan pencemaran; aktiviti penambakan dan pengorekan; kawalan serta pemantauan kualiti alam sekitar dan lain lain.

 

Syarat-syarat lain pula adalah berkaitan dengan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), yang baru-baru ini telah dihantar semula untuk diluluskan; audit persekitaran; serta peranan dan tugas pegawai persekitaran untuk memastikan pematuhan EIA. Kita telah maklumkan perkara ini kepada umum pada bulan Julai 2019.

 

 

Program Pengimbangan (Offset Programme)

 

Dalam surat kelulusan EIA JAS, Kerajaan Negeri diwajibkan untuk melaksanakan program pengimbangan dengan nasihat teknikal daripada jabatan-jabatan yang relevan, terutama Jabatan Perikanan Malaysia untuk menguruskan kesan terhadap sumber perikanan serta nelayan.

 

Program Pengimbangan (Offset Programme) berkaitan termasuk terumbu buatan, Peranti Pengumpulan Ikan (FAD), penanaman pokok paya bakau, pelepasan benih ikan, membangun struktur eko-kejuruteraan, pemberian dana untuk kajian dan penyelidikan serta program-program lain yang disarankan dalam laporan EIA.

 

Inisiatif-inisiatif berkenaan bukan sahaja akan meminimumkan impak malah juga mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut di sekitar kawasan projek dan kawasan lain di Pulau Pinang serta menyumbang ke arah kelestarian sektor perikanan.

 

Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk susun atur terumbu buatan dan menanam pokok paya bakau sebagai permulaan Program Pengimbangan berkaitan.

 

Inisiatif-inisiatif berkaitan bukanlah perkara baru kerana telah banyak kali dinyatakan sebelum ini dalam kenyataan serta sidang media. Kerajaan Negeri komited dan berulang kali menyatakan komitmen untuk mematuhi Syarat Kelulusan EIA yang merangkumi EMP.

 

Semua laporan EIA akan melihat kepada potensi kesan terhadap alam sekitar, dan semua projek pembangunan memberikan impak tertentu. Namun, dengan langkah-langkah mitigasi yang tepat, pembangunan serta alam sekitar dapat dibangunkan dan dijaga dengan seiring.

 

 

Masa Depan Nelayan

 

Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi libat urus dengan komuniti nelayan setempat selama lebih daripada lima tahun melalui Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul. Kedua-dua pusat tersebut beroperasi masing-masing sejak 2016 dan 2017, serta menerima sambutan yang amat baik dalam kalangan nelayan tempatan.

 

Sejak PSR diperdebatkan pada tahun 2015 hingga 31 Mei tahun ini, seramai 6,153 nelayan terlibat dalam sesi libat urus bersama-sama pihak-pihak berkepentingan. Begitu banyak mesyuarat dan perbincangan diadakan sama ada secara formal mahupun tidak formal – untuk memahami cabaran komuniti nelayan dan bagaimana projek tersebut dapat memberikan kesan positif kepada mereka.

 

Cabaran utama yang menyelubungi komuniti nelayan adalah kekurangan bekalan ikan, seiring dengan trend semasa di seluruh dunia seperti yang dinyatakan oleh ramai pakar termasuk Jabatan Perikanan adalah hasil daripada penangkapan ikan yang berleb

Nelayan tradisional yang juga dikenali sebagai nelayan pesisir pantai biasanya beroperasi di Zon A (kurang daripada 8 batu nautika). Daripada rekod pendaratan ikan yang dicatatkan di Pulau Pinang Selatan, Zon A menyumbang sekitar 10 peratus.

 

Baki 90 peratus lagi adalah dijana daripada bot pukat lebih besar yang beroperasi di perairan dalam. Oleh demikian, nelayan tradisional berkenaan berusaha untuk mencari mata pencarian terutamanya ketika krisis pandemik ini.

 

Penting juga untuk dinyatakan bahawa pendaratan ikan unit nelayan di sekitar kawasan PSR hanya menyumbang sekitar 4 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan Pulau Pinang pada tahun 2015 berdasarkan data daripada Jabatan Perikanan. Perkara tersebut dinyatakan dalam laporan FIA. Laporan itu juga menyatakan bahawa lebihan pengeluaran ikan di Pulau Pinang sekitar 12,000 tan. Disebabkan senario itu, pelaksanaan PSR tidak mungkin menjejaskan sekuriti makanan.

 

Input-input berkaitan ditambah dengan maklum balas daripada agensi kerajaan berkaitan untuk dijadikan asas kepada Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), yang secara rasmi diumumkan oleh Pengerusi Taskforce Nelayan selaku Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Februari tahun ini.

 

Pelan tersebut menawarkan pembayaran ex-gratia kepada unit nelayan di selatan Pulau Pinang; bantuan dalam bentuk pemberian bot dan enjin; serta empat jeti nelayan baru di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

 

SIMP juga merangkumi peluang perniagaan dan pekerjaan; latihan, tuisyen percuma, biasiswa, serta peluang pendidikan untuk nelayan muda dan anak nelayan; inisiatif perumahan serta lain-lain.

 

Sehingga kini, kira-kira 530 nelayan daripada sembilan unit nelayan telah mendaftar untuk SIMP, dengan harapan mereka akan layak mendapat faedah tersebut.

 

Berdasarkan kepada rekod Jabatan Perikanan di sembilan unit nelayan di selatan Pulau Pinang, lebih daripada 900 nelayan berada paling dekat dengan lokasi yang akan dibangunkan. Jumlah nelayan terjejas bukan sebagaimana didakwa oleh para pengkritik. Ini kerana mereka telah memasukkan nelayan dari kawasan lain di Pulau Pinang dan negeri lain.

 

 

Nelayan Teruskan Aktiviti Penangkapan Ikan Tanpa Gangguan

 

Perlu ditekankan juga adalah ramai nelayan pesisir pantai berkenaan menangkap ikan di luar kawasan PSR ditetapkan. Sepanjang sesi libat urus bersama-sama nelayan tempatan selama bertahun-tahun, pegawai kami telah banyak kali mendengar serta memerhati bahawa nelayan menaiki bot ke kawasan yang lebih jauh daripada kawasan PSR.

 

Ini bermaksud kawasan tangkapan ikan adalah jauh lebih besar daripada kawasan seluas 4,500 ekar yang akan dibangunkan untuk PSR, dan nelayan tidak akan kehilangan mata pencarian mereka.

 

Oleh itu, beberapa nelayan telah memberikan maklum balas kepada Kerajaan Negeri bahawa mereka mahukan bot dan enjin lebih besar, yang telah dipersetujui oleh pihak pentadbiran untuk membolehkan para nelayan terus menangkap ikan di luar kawasan PSR. Sudah tentu para nelayan tidak akan memohon bot sekiranya menangkap ikan sudah menjadi mustahil setelah kerja tambakan bermula.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen bagi membolehkan aktiviti penangkapan ikan diteruskan, laluan selebar 250 meter akan disediakan untuk para nelayan sepanjang fasa penambakan serta pembangunan PSR. Saluran tersebut akan dikekalkan antara garis pantai semasa dan PSR untuk memastikan para nelayan dapat turun ke laut pada setiap masa.

 

Gambar di bawah menunjukkan akses yang tersedia untuk nelayan ketika pulau pertama dibangunkan, dan ini akan diteruskan ketika membangunkan pulau-pulau lain juga.

PSR di MPFN

Sebelum Laporan EIA diluluskan, projek PSR juga dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) ke-31 yang dipengerusikan bersama-sama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya ketika itu, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang kini menjadi Pengerusi Majlis Penasihat PKR, pada April 2019.

 

Selain daripada Kerajaan Negeri, jurucakap Penang Forum juga diberikan kesempatan untuk menyampaikan pandangan mereka terhadap PSR kepada MPFN, yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

 

Pada bulan Mei 2019, MPFN telah menyampaikan 18 cadangan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai pelaksanaan PSR. Antara adalah mengembangkannya sebagai bandar pintar; mengkaji kemungkinan membina taman industri serta teknologi tinggi berdasarkan Revolusi Industri Keempat di rantau ini dengan menfokuskan kepada automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik dan Internet Benda (IoT); mengkaji cadangan pembangunan industri, perumahan dan komersial yang dicadangkan; mencapai nisbah 70:30 untuk penggunaan kenderaan awam dan kenderaan persendirian; meningkatkan inisiatif bandar hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus yang disasarkan; melaksanakan rancangan pengurusan risiko bencana serta lain lain.

 

MPFN juga memberikan peringatan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mematuhi syarat-syarat dinyatakan dalam laporan penilaian impak yang diluluskan seperti EIA; dan mengambil kira kesan projek tersebut kepada keluarga nelayan tempatan dalam konteks memberi peluang ekonomi dan pekerjaan baru; serta menyediakan zon khusus untuk pembangunan perumahan mampu milik dengan kawalan harga oleh pihak berkuasa, antara lain-lain syarat yang dinyatakan.

 

Program SIMP dan Program Pengimbangan yang dinyatakan di atas sesuai dengan saranan MPFN untuk menjaga kesejahteraan nelayan dan alam sekitar. Kita juga mengikut saranan MPFN dalam bidang lain melalui rancangan pembangunan PSR yang telah disusun setelah mengadakan konsultasi dengan panduan UN Intergovernmental Panel on Climate Change’s (IPCC) 2019, Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (Low Carbon Cities Framework), dan kajian bebas oleh agensi terkenal di dunia Royal Haskoning DHV, yang beribu pejabat di Belanda.

 

Paras minimum platform Pulau A adalah 3 meter di atas purata permukaan laut sementara 20 peratus tanah PSR akan diperuntukan untuk taman hijau, pokok paya bakau, terusan air, tanah bencah/lembap, dataran banjir serta taman mini (bioswales) untuk meningkatkan biodiversiti, menyejukkan persekitaran antara satu hingga dua darjah Celsius.

 

Program Pengimbangan persekitaran PSR juga merangkumi tanah lembap bakau sejauh empat kilometer untuk memberikan perlindungan kepada garis pantai tambahan dan mempromosikan biodiversiti.

 

100 peratus pembaharuan tenaga Taman Teknologi Hijau (Green Tech Park) akan menarik minat syarikat elektrik dan elektronik (E&E) global serta dirancang untuk mencapai pengurangan karbon 50 peratus menjelang 2030.

 

Kampus pendidikan juga akan didirikan, mewujudkan pusat pendidikan untuk pelajar tempatan dan antarabangsa, menarik bakat dari seluruh dunia ke Pulau Pinang. Persekitaran gaya hidup seperti kampus akan meningkatkan kolaborasi industri dengan institusi pendidikan, yang membolehkan pengembangan serta peningkatan kemahiran terhadap tenaga kerja untuk terus memajukan industri ini.

 

Terdapat juga ruang terbuka awam luas di sepanjang pulau seperti Terusan Tengah sepanjang tujuh (7) kilometer, pantai awam tiga (3) kilometer dan esplanade lima (5) kilometer, yang dapat dijadikan sebagai tempat rekreasi, acara dan festival yang boleh mempromosikan budaya tempatan serta ekopelancongan Pulau Pinang.

 

Kawasan pelancongan bertaraf dunia akan menarik kumpulan F&B, hiburan, ruang niaga dan kedai makanan, esplanade tepi laut, dewan persembahan dan lain-lain ruang ikonik yang akan melengkapkan bandar warisan George Town.

 

Dengan mengutamakan basikal berbanding kereta, laluan basikal serta pejalan kaki sejauh 140 kilometer di seluruh pulau dan tujuh (7) kilometer jalan laluan air akan menghasilkan jaringan yang lancar dan mod pengangkutan tambahan.

 

PSR juga merancang untuk membina lebih daripada 5,000 rumah mampu milik dengan pendekatan pembangunan berorientasikan transit, menghubungkan kawasan perumahan dengan landasan kereta api, trem elektrik dan stesen teksi air. Perumahan akan dibina berhampiran terusan saluran air, taman awam, sekolah, pusat sukan komuniti dan kemudahan awam yang lain.

 

 

Pasir untuk PSR

 

Berkenaan pasir untuk penambakan, pihak kami ingin menyatakan bahawa pasir hanya akan diambil daripada sumber lapangan yang diluluskan oleh EIA. Semua syarikat konsesi pasir perlu mendapatkan kelulusan EIA sebelum mereka dibenarkan mengekstrak pasir dari laut. JAS tidak akan mengeluarkan kelulusan untuk aktiviti perlombongan pasir yang akan memberikan kesan signifikan.

 

Kegiatan perlombongan pasir hanya terhad di kawasan setempat. Kegiatan tersebut tidak akan membawa kesan besar kepada laut. Kawasan yang mana pasir akan dilombong juga tidak berada di kawasan penangkapan nelayan pesisir pantai.

 

Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, pihak kami akan mendapatkan pasir dari lokasi di perairan persekutuan di luar Perak dan Selangor. Jarak tapak tersebut sekitar 20 batu nautika (kira-kira 37 kilometer) dari garis pantai terdekat, jauh dari kawasan perikanan pantai.

 

 

Tiada Satu, Semuanya Perlu

 

Para pengkritik telah mengulangi keprihatinan mereka dalam pelbagai platform selama ini mengenai masalah alam sekitar serta nelayan. Pihak kami telah mendengar dan secara faktanya, kami bersetuju dengan mereka tentang pentingnya mempertimbangkan perubahan iklim dan melindungi kesejahteraan nelayan.

 

Oleh itu, pihak kami telah melakukan banyak langkah mitigasi, melaksanakan pelan sosioekonomi untuk nelayan, dan memperkenalkan inisiatif hijau untuk pembangunan PSR. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pelan besar dan komprehensif untuk meningkatkan komuniti nelayan tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam mana-mana projek penambakan di negara ini.

 

Kami hanya tidak bersetuju untuk membatalkan projek ini. Kita tidak perlu memilih antara PSR, dan alam sekitar serta nelayan. Kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan kita membangunkan PSR, dan pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat.

 

Kita tidak pernah menafikan bahawa projek berkaitan akan memberi kesan malah selalu berkongsi dengan masyarakat tentang rancangan untuk mengurangkan kesannya, mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut, dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk setempat lain.

 

Kita juga harus mempertimbangkan faedah-faedah sosioekonomi yang bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang. Penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dirangsang oleh pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat; sementara inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan penyediaan ruang terbuka akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup serta kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang. Manfaat tersebut juga harus diambil kira.

 

Pihak kami sangat percaya bahawa kita dapat mencapai semua perkara di atas dan juga mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan ketat yang ditetapkan oleh JAS. Justeru, tidak ada keutamaan yang harus ditetapkan oleh kerajaan yang mana kelulusan projek ditarik semula meskipun semua syarat kelulusan telah dipenuhi.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.