Latest News
PTMP Map
PSI
 

KENYATAAN BALAS BERHUBUNG ISU SUMBER PERIKANAN DI TAPAK PROJEK TAMBAKAN SELATAN PULAU PINANG (PSR)

KENYATAAN BALAS BERHUBUNG ISU SUMBER PERIKANAN DI TAPAK PROJEK TAMBAKAN SELATAN PULAU PINANG (PSR)

Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 13/06/2021

KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERTARIKH 13 JUN 2021 DI KOMTAR,
GEORGE TOWN
____________________________________

 

KENYATAAN BALAS BERHUBUNG ISU SUMBER PERIKANAN DI TAPAK PROJEK TAMBAKAN SELATAN PULAU PINANG (PSR)

 

  1. Saya merujuk kepada kenyataan media Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi bertarikh 10 Jun 2021 yang bertajuk ‘Penerusan Projek PSR di Pulau Pinang: Sikap ego DAP yang mengancam sumber perikanan dan alam sekitar’. Kenyataan beliau memetik berita yang telah melaporkan kenyataan saya sehari sebelum itu iaitu pada 9 Jun 2021 mengenai pendirian Kerajaan Negeri dalam meneruskan pelaksanaan PSR.
  2. Dalam laporan berkaitan, YB Timbalan Menteri telah menyifatkan bahawa projek PSR sebagai ‘malapetaka’ kepada nelayan Pulau Pinang, dan mendakwa ia akan menjejaskan sektor perikanan negara. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin membuat penjelasan berkaitan dakwaan berkaitan bagi membolehkan serta membantu orang ramai lebih memahami keadaan sektor perikanan di kawasan yang akan terbabit dalam projek PSR.
  3. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa kita tidak perlu membuat satu pilihan iaitu antara membangunkan PSR, dan membela nasib nelayan demi keselamatan makanan. Sebaliknya, kita boleh melakukan kedua-duanya kerana nelayan masih boleh meneruskan pekerjaan mereka apabila proses penambakan bermula.
  4. Pembinaan PSR akan bermula untuk satu pulau dan pembangunan akan mengambil masa kira-kira 20 tahun. Dalam tempoh itu, laluan untuk ke laut masih sangat luas untuk kegunaan nelayan. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan pandangan YB Timbalan Menteri bahawa projek PSR akan membawa ‘malapetaka’ kepada nelayan.
  5. Salah satu inisiatif dalam memastikan nelayan tidak terhalang untuk ke laut adalah alur navigasi seluas 250 meter (m) di antara PSR dan pulau utama. Alur navigasi tersebut akan memastikan nelayan mempunyai akses ke laut sepanjang tempoh tambakan dan pembangunan pulau-pulau PSR. Kini, nelayan perlu menunggu air pasang untuk ke laut.
  6. Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan memastikan langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan mengikut 72 syarat-syarat dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Program pengimbangan (offset) ekologi yang disyorkan dalam laporan EIA termasuk penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun dan unjam, pelepasan benih ikan dan udang serta penyediaan dana untuk kaji selidik juga akan dilaksanakan.
  7. Langkah-langkah berkenaan akan memastikan kerja penambakan berjalan secara terkawal dan tidak menyebabkan pencemaran. Program offset khususnya akan membantu mewujudkan habitat baru hidupan laut dan meningkatkan stok ikan untuk menggalakkan kelestarian sektor perikanan.
  8. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pendaratan ikan di kawasan selatan pulau Pulau Pinang hanya menyumbang 4 peratus kepada jumlah pengeluaran ikan bagi seluruh negeri pada tahun 2015 berdasarkan data daripada Jabatan Perikanan. Dalam konteks jumlah pengeluaran ikan seluruh negara, jumlah pendaratan yang disumbangkan dari kawasan selatan pulau Pulau Pinang adalah berjumlah 0.2 peratus.
  9. Di sini, perlu ditegaskan juga bahawa kawasan yang menyumbangkan 4 peratus jumlah pengeluaran ikan adalah tidak terhad di tapak PSR sahaja. Kawasan penangkapan ikan nelayan pesisir pantai selatan Pulau Pinang adalah jauh lebih luas dan jauh dari tapak penambakan. Ini bermakna nelayan masih ada tempat yang luas untuk aktiviti penangkapan ikan.
  10. Kerajaan Negeri tidak berniat untuk meremehkan sumbangan nelayan pesisir pantai dari unit-unit nelayan selatan pulau Pulau Pinang kerana golongan berkaitan masing-masing turut menyumbang jasa kepada sektor perikanan, pembekalan makanan dan ekonomi negeri.
  11. Oleh kerana Kerajaan Negeri menghargai komuniti nelayan di selatan pulau Pulau Pinang dan mahukan nelayan di kawasan tersebut turut maju bersama PSR, Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) sedang dilaksanakan bagi memastikan nelayan daripada unit-unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Batu Maung, Sri Jerjak, Teluk Tempoyak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung menerima manfaat daripada pembangunan tersebut.
  12. Kami sudah banyak kali memaklumkan bahawa SIMP akan melibatkan pemberian sagu hati; bantuan bot dan enjin; empat jeti baru di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul; peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan; peluang pendidikan, dan tuisyen percuma untuk anak-anak mereka; skim pemilikan rumah dan lain-lain.
  13. Dengan adanya inisiatif-inisiatif berkenaan, Kerajaan Negeri boleh memastikan pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar, selain manfaat untuk nelayan boleh dicapai bersama. Kita tidak harus dipaksa untuk membuat pilihan.
  14. Melalui PSR, Pulau Pinang akan dapat mewujudkan tanah baru untuk pembangunan industri, komersial dan perumahan serta mewujudkan ribuan pekerjaan. Komuniti nelayan juga akan mendapat manfaat SIMP yang boleh memperbaiki keadaan sosioekonomi mereka, termasuk memberi peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan kepada anak-anak mereka.
  15. Tanpa PSR, komuniti nelayan akan kekal dengan keadaan mereka yang sedia ada tanpa menikmati apa-apa perubahan. Pulau Pinang pula akan kehilangan peluang untuk membangun serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang. Kerajaan Negeri berharap orang ramai termasuk YB Timbalan Menteri boleh memahami kepentingan PSR bagi negeri ini dalam konteks yang lebih menyeluruh.
No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!