Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kelulusan EIA hadiah hari raya bagi nelayan pro-PSI

Kelulusan EIA hadiah hari raya bagi nelayan pro-PSI

Published by Utusan Malaysia • 4/5/2023

GEORGE TOWN: Nelayan yang menyokong projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI), yang baru-baru ini mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), gembira dengan keputusan itu yang mereka sifatkan sebagai ‘hadiah Hari Raya’.

 

Fajinah Jaafar, 62, penyokong tegar PSI berkata, berita itu menggembirakan mereka kerana sudah bertahun-tahun menunggu projek itu bermula dan berharap dengan kelulusan EIA itu ia akan menjadi kenyataan.

 

“Kami amat berbesar hati dan bersyukur kepada Allah kerana telah merealisasikan hasrat ini. Alhamdulillah.

FAJINAH JAAFAR

“Dengan kehendak Tuhan, Laporan EIA projek itu diluluskan. Tanpa kehendak-Nya kelulusan itu belum tentu dapat,” kata nelayan dari Permatang Tepi Laut itu.

 

Seorang lagi nelayan di Permatang Tepi Laut, Zazali Sirun, 55, juga berkata ia adalah berita yang amat dinanti-nantikan.

 

“Apabila projek itu siap, pelabur dan pelancong akan datang dari seluruh dunia. Ekonomi kita akan menjadi lebih kukuh.

ZAZALI SIRUN

“Akan ada banyak faedah dan peluang. Projek ini untuk anak dan cucu kita, bukan kita. Kita mesti memikirkan masa depan mereka,” kata bapa kepada enam anak itu.

 

Zazali berkata, semua anak-anaknya menyokong PSI dan berharap dapat mencari peluang dalam pembangunan itu supaya mereka juga boleh kembali bekerja di Pulau Pinang.

 

PSI adalah projek mega di luar pantai selatan Pulau Pinang yang melibatkan penambakan dan pembangunan tiga pulau seluas 1,820 hektar terdiri daripada Pulau A (930 hektar), Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (324 hektar).

 

Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Penang Infrastructure Corporation (PIC), syarikat tujuan khas milik kerajaan negeri untuk melaksanakan projek PSI berkata, Taman Teknologi Hijau seluas 700 ekar baharu di Pulau A untuk industri teknologi tinggi masa depan akan mewujudkan lebih 460,000 pekerjaan dan diramal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion menjelang 2050.

 

PIC berkata, negeri itu akan terus melaksanakan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), yang memberi manfaat kepada nelayan daripada sembilan unit nelayan di selatan Pulau Pinang.

 

SIMP termasuk bantuan kewangan, bot yang lebih besar dengan enjin yang lebih berkuasa dan peralatan moden untuk pemilik bot, jeti baharu, latihan, peluang pekerjaan dan perniagaan, dan sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan.

 

Projek itu juga akan menyediakan saluran navigasi selebar 250 meter yang memastikan nelayan akses 24 jam ke laut. Pada masa ini, nelayan mesti menunggu air pasang untuk pergi ke laut.

 

Nelayan yang menyokong projek itu semua bersetuju bahawa Pulau Pinang mesti terus maju untuk generasi akan datang.

 

“Mari kita buang minda yang berfikiran mundur ini.

 

“Sesetengah kumpulan anti-PSI bercakap tentang kehilangan tempat menangkap ikan, tetapi tapak PSI bukanlah tempat nelayan mendapatkan 20 hingga 40kg udang mereka.

 

“Mereka mendapatkannya berhampiran Jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua. Tiang-tiang jambatan telah menjadi tukun tiruan. Itulah sebabnya nelayan telah melukis nombor di jeti untuk menandakan wilayah nelayan mereka,” kata Fajinah.

 

Fajinah turut menolak komen bahawa projek penambakan itu akan membawa bencana.

 

“Tidak semua pembangunan membawa kepada bencana. Orang yang berkata demikian mesti menyangka mereka adalah tuhan,” katanya.

 

Nelayan Sungai Batu, Haris Abdullah, 62, berkata, penangkapan ikan akan diteruskan dan nelayan tidak akan ‘dihapuskan’ oleh projek itu.

 

“Laut bukanlah kolam renang yang kering apabila dipenuhi pasir. Nelayan boleh pergi lebih jauh ke selatan, timur atau barat tapak penambakan untuk menangkap ikan. Zon menangkap ikan adalah besar,” katanya.

 

Nelayan Teluk Kumbar, Lye Phaik Soon, 56, juga tidak ragu-ragu bahawa nelayan boleh terus mencari rezeki semasa dan selepas penambakan.

LYE PHAIK SOON

Laut akan pulih, katanya, sambil menambah bahawa nelayan boleh pergi lebih jauh untuk menangkap ikan.

 

“Ancaman terbesar kepada nelayan pantai bukan PSI tetapi pukat tunda yang menceroboh zon perikanan pantai kita, merosakkan dasar laut dan kawasan pembiakan marin.

 

“Ia adalah masalah serius yang memerlukan perhatian segera kerajaan. Pukat tunda adalah yang sebenar-benarnya menjejaskan mata pencarian kami, bukannya projek penambakan,” katanya.

 

Rabu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa laporan EIA projek itu telah diluluskan dengan 71 syarat. Kerja-kerja penambakan disasarkan bermula pada suku ketiga tahun ini selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) projek itu diluluskan.

 

DIHUKUM KERANA MENYOKONG PSI

 

Penyokong PSI seperti Fajinah dan Haris antara yang menerima berita mengenai kelulusan EIA itu dengan tangan yang terbuka.

 

Ini kerana mereka dan individu lain seperti mereka telah dipulaukan oleh persatuan nelayan mereka sendiri kerana menyokong PSI.

 

Kepemimpinan Pen Mutiara dan unit nelayan tempatan di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul menentang PSI, dan nelayan yang menyokong projek itu telah hilang keahlian dan menghadapi kesukaran memperbaharui insurans, lesen bot serta bantuan persekutuan seperti subsidi bahan api dan elaun kos sara hidup (Elaun Sara Hidup Nelayan atau ESHN).

 

Fajinah dan Haris, yang sudah sekian lama penyokong PSI kehilangan keahlian persatuan nelayan di unit itu.

 

Haris berkata, mereka dilayan seperti penjenayah dan berdepan dengan pelbagai masalah.

 

“Kami tidak dapat memperbaharui lesen kapal, dinafikan bantuan persekutuan yang berhak kami terima, dan diarah membuat laporan polis untuk menarik balik sokongan kami.

 

“Ia tidak adil kerana sebagai individu, kita mempunyai hak untuk menyokong sebarang pembangunan yang membawa manfaat ekonomi jangka panjang kepada Pulau Pinang dan Malaysia. Tiada seorang pun daripada kami melakukan sebarang jenayah,” katanya.

 

Dia kehilangan keahlian unitnya; dan apabila lesennya tamat pada 22 April dan diberitahu oleh unit itu bahawa lesennya tidak boleh diperbaharui kerana ia telah disenaraihitamkan.

 

Beliau berkata, selain tiada penjelasan rasmi dia juga diminta membuat laporan polis untuk menarik balik sokongannya kepada PSI.

 

Katanya, beliau pergi ke Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), yang ditubuhkan kerajaan negeri di perkampungan nelayan di Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Gertak Sanggul, untuk mendapatkan bantuan.

 

Zazali berkata, selama ini nelayan terpaksa mengikut ketua unit masing-masing kerana insurans yang menjadi prasyarat lesen bot mereka dikendalikan oleh unit berkenaan.

 

Beliau menasihatkan rakan-rakan nelayan supaya tidak mendengar cakap orang lain sebaliknya berfikir dan memutuskan sendiri perkembangan PSI untuk masa depan anak dan cucu mereka. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!