26 Nov Kebanyakan penduduk Pulau Pinang terima projek PSR
Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 26/11/2021
GEORGE TOWN – Sebahagian besar penduduk Pulau Pinang menerima pelaksanaan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSR) sekiranya projek itu tidak mendatangkan impak negatif besar kepada alam sekitar dan komuniti nelayan.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa hasil dapatan itu diperoleh melalui pelbagai sesi libat urus termasuk dialog awam serta sesi taklimat khususnya dengan komuniti nelayan dan penduduk setempat di Pulau Pinang Selatan.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka dengan mengadakan sesi pendengaran awam untuk mendapatkan maklum balas rakyat termasuk perancangan dalam melaksanakan projek penting seperti PSR.
“Sejak 2016, Kerajaan Negeri dengan kerjsama rakan pelaksana projek telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dan mengadakan pelbagai program sesi libat urus bersama orang awam.
“Ini termasuk dialog awam dan sesi taklimat khususnya kepada komuniti nelayan serta penduduk setempat di Pulau Pinang Selatan untuk menerangkan projek PSR dan mendapatkan maklum balas mereka.
“Sehingga 31 Oktober 2021, seramai 13,957 orang telah ditemui melalui pelbagai program libat urus yang dijalankan, dan sesi-sesi pendengaran ini masih berterusan mengikut keperluan.
“Dari situ, mereka sedar akan kepentingan projek ini dan kebaikan yang akan diperolehi dari segi pertumbuhan ekonomi serta pembangunan masa depan,” katanya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.
Zairil menyatakan perkara itu sebagai mejawab soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Bagi menangani kesan alam sekitar yang menjadi kebimbangan utama kebanyakan pihak, Zairil menjelaskan bahawa projek PSR akan melaksanakan dengan langkah kawalan alam sekitar sebelum dan semasa penambakan dijalankan.
“Langkah yang diambil adalah seperti pemantauan kualiti air (secara langsung), kualiti udara, bunyi dan getaran; pengurusan sisa dan bahan pencemar serta pembuangan bahan pengorekan.
“Pemasangan tirai kelodak juga akan membantu mengurangkan pencemaran air terutamanya sewaktu kerja-kerja penambakan dan pengerukan,” ujarnya yang juga ADUN Tanjong Bungah.
Tambah beliau, langkah-langkah ‘offset’ ekologi turut dirangka bagi meminimumkan kesan terhadap ekologi laut di samping mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut.
“Ini termasuk program menanam pokok bakau, melepaskan benih ikan dan udang, melabuh tukun tiruan, membina garis pantai mesra alam yang menggalakkan pertumbuhan habitat mikro, serta menyediakan dana untuk penyelidikan ekologi laut, perikanan, penyu, tukun dan lain-lain.
“Secara keseluruhannya, langkah-langkah pengimbangan (offset) ekologi ini juga akan menggalakkan kelestarian sektor perikanan untuk manfaat komuniti nelayan.
“Kerajaan Negeri yakin langkah-langkah ini dapat menangani isu-isu yang telah menjadi tumpuan orang ramai dalam pembangunan PSR kelak,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zairil menyatakan bahawa pembangunan PSR juga akan mengambil kira nasihat dan cadangan Laporan Khas mengenai Lautan serta Kriosfera, Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kerajaan negeri sedar betapa pentingnya isu perubahan iklim dalam kehidupan kita hari ini dan masa depan jadi reka bentuk pulau-pulau PSR juga mengambil kira ciri-ciri yang boleh diubah suai untuk menghadapi perubahan iklim.
“Malah, Kerajaan Negeri juga akan memastikan pembangunan di PSR akan bersifat hijau dan mesra alam,” ulasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Sorry, the comment form is closed at this time.