Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kajian Pelan Induk Pengangkutan PP diumum 6 bulan lagi

Kajian Pelan Induk Pengangkutan PP diumum 6 bulan lagi

Diterbitkan oleh Berita Harian • 07/12/2015 • 02:57 pm

PENGARAH Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling pada sidang media
selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Gamuda. – Foto Shazreen Zamzuri

HASIL kajian daya maju berhubung impak cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion akan diketahui umum dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Pengarah Urusan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling.

 

Beliau berkata, kajian daya maju yang dijalankan perunding bebas dilantik Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu menyeluruh merangkumi pelbagai aspek termasuk analisis ke atas alam sekitar, impak, kewajaran dan sebagainya, yang mana hasil kajian akan didedahkan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklum balas.

 

“Sekiranya maklum balas tidak memberangsangkan daripada orang awam, kita tidak akan teruskan.

 

“Biar kajian itu dijalankan terlebih dulu yang akan memberikan gambaran lebih jelas terhadap keadaan sebenar,” katanya menjawab pertanyaan pemberita berhubung kebimbangan orang awam berhubung impak pembangunan itu kepada alam sekitar berikutan ia turut membabitkan kerja penambakan laut.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) syarikat itu di Shah Alam, tengah hari tadi.

 

Mengikut cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, sebahagian besar kawasan laut di bahagian selatan pulau itu akan ditambak bagi membiayai pelan induk bernilai RM27 bilion itu, sebagaimana dijelaskan SRS Consortium sebelum ini.

 

SRS Consortium diberi tender bagi membangunkan projek infrastruktur mega itu.

 

Di bawah skim menambak laut itu, dua pulau buatan manusia akan dibangunkan yang akan memiliki sistem pembersihan sendiri bagi menghalang pengelodakan.

 

Dua pulau buatan manusia, masing-masing seluas sekitar 800 hektar dan 520 hektar, dengan cadangan tambahan kawasan yang akan ditambak seluas 320 hektar di kawasan bersebelahan.

 

Bahagian pesisir pantau selatan pulau itu dipilih sebagai lokasi paling sesuai oleh pakar persekitaran air antarabangsa, Danish Hydraulic Institute, kerana benteng semula jadinya, mengehadkan sensitiviti ala sekitar, air cetek dan terlindung daripada kesan tsunami.

 

Cadangan penambakan laut itu akan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan ia akan dilelong untuk membiayai pelan induk itu.

 

Dalam perkembangan lain, Yun Ling berkata secara industri pembinaan secara keseluruhannya dijangka positif pada 2016.

 

Ini katanya, disandarkan kepada pelbagai projek kereta api yang akan dilaksanakan kerajaan.

 

“Ia masa yang baik untuk memenuhi pelaburan modal dalam infrastruktur, bagi membantu mengurangkan kelembapan (ekonomi),” katanya sambil menambah projek infrastruktur memberikan kesan berganda kepada ekonomi negara.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!