Latest News
PTMP Map
PSI
 

Gambar satelit dedah kurang aktiviti nelayan di tapak PSI

Gambar satelit dedah kurang aktiviti nelayan di tapak PSI

Published by Buletin Mutiara • 04/08/2022

GEORGE TOWN – Ratusan gambar satelit yang telah diambil selama tiga tahun setengah mendedahkan bahawa aktiviti perikanan di perairan selatan Pulau Pinang kebanyakannya berlaku di luar tapak cadangan projek Penang South Islands (PSI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, lebih 200 imej satelit telah dikaji oleh firma juruukur Enviro Land Services
(Enviro) untuk mengenal pasti lokasi biasa nelayan menangkap ikan di perairan selatan Pulau Pinang.

 

Pada tahun 2016 apabila cadangan PSI masih pada peringkat awal, Kerajaan Negeri telahmenjalankan pengiraan bot nelayan secara manual selama tiga bulan di tapak projek.

 

“Daripada hasil pengiraan tersebut, kami (PIC) mendapati kawasan tersebut bukan lokasi penangkapan ikan yang popular dalam kalangan nelayan setempat,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

Namun, selepas kerja-kerja untuk melaksanakan PSI mula menunjukkan kemajuan,sesetengah pihak telah mendakwa bahawa tapak projek yang dicadangkan tersebuta dalah tempat nelayan setempat menangkap ikan.

 

“Bagi mendapat kepastian, kami telah melantik jururunding untuk mendapatkan imej satelit yang menunjukkan pandangan udara kawasan perairan selatan Pulau Pinang dan menjalankan kajian untuk mengenal pasti di mana sebenarnya nelayan menangkap ikan.

 

“Hasil kajian tersebut telah mengesahkan penemuan yang terdahulu,” ulas Farizan lanjut.

Penggunaan teknologi imej satelit

 

PIC telah melantik Enviro yang berkepakaran geospatial dan mendapatkan imej satelit dari arkib
PlanetScope untuk mengenal pasti lokasi nelayan tempatan menangkap ikan.

 

Imej yang dikaji telah diambil oleh ratusan satelit PlanetScope yang mengorbit bumi dan mengambil gambar setiap hari.

 

Pengarah Urusan Enviro, Yip Kit Meng berkata, imej-imej yang digunakan dalam kajian tersebut meliputi 80% kawasan di sekitar tapak PSI dan mempunyai liputan awan yang kurang daripada 15% untuk memastikan pemandangan perairan selatan Pulau Pinang adalah jelas.

 

Berdasarkan imej-imej itu, kita dapat melihat kedudukan bot-bot nelayan dengan jelas.

GAMBAR satelit yang dikaji Enviro Land Services mendedahkan lokasipenangkapan ikan berdasarkan lokasi bot nelayan (titik kuning).

“Enviro kemudian mengumpul dan menyatukan data harian yang diperolehi dari imej-imej tersebut dalam satu gambar untuk menunjukkan lokasi penangkapan ikan yang popular dalam kalangan nelayan di perairan selatan Pulau Pinang,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Farizan berkata imej satelit dan hasil kajian Enviro telah dapat mengesahkan maklumat nelayan kepada Kerajaan Negeri dan Pusat Khidmat Setempat Nelayan (PPSN) bahawa mereka biasanya menangkap ikan di luar tapak PSI.

 

Hasil kajian tersebut juga selaras dengan data Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang menggunakan imej satelit untuk mengenal pasti lokasi bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang pada April 2021, Januari dan Mac 2022.

 

“Kami kerap mendengar nelayan menangkap ikan di sekitar ‘kapal simen’ dan Pulau Kendi. Perkara ini dapat dilihat dalam imej satelit yang diperolehi.

 

“Daripada penemuan ini, kami dapat membuat kesimpulan bahawa bot yang dikesan ditapak PSI, di mana airnya cetek, adalah kira-kira 12%. Majoriti nelayan pergi lebih jauh (dari tapak PSI),” tegas Farizan.

Beliau juga berkata dengan penyediaan bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa oleh Kerajaan Negeri di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP),nelayan akan dapat pergi lebih jauh untuk menangkap ikan.

 

“Inilah sebabnya mengapa ramai nelayan dari kawasan PSI menyambut baik tawaran Kerajaan Negeri untuk memberi bot dan enjin baru, serta saluran navigasi di bawah skim SIMP.

Pendek kata, aktiviti menangkap ikan akan diteruskan walaupun selepas kerja penambakan bermula.

 

“Kawasan laut adalah luas dan tempat di mana nelayan biasanya menangkap ikan dijangka tidak akan mengalami kesan yang besar,” ujarnya.

 

Gambaran keadaan yang sebenar

 

Kit Meng dan Farizan mengakui bahawa imej satelit tidak dapat merakamkan kesemua aktiviti penangkapan ikan atau pergerakan bot.

 

Namun, mereka menekankan bahawa imej yang diperolehi telah dapat memberi gambaran tentang lokasi penangkapan ikan bagi nelayan Pulau Pinang Selatan.

 

Farizan menjelaskan, walaupun terdapat kekurangan, mereka percaya imej satelit itu mencerminkan keadaan sebenar.

 

“Imej satelit itu tidak dapat menunjukkan pergerakan bot pada waktu malam. Tetapi bilangan nelayan yang menangkap ikan pada waktu malam adalah lebih kecil. Mereka juga biasanya mencari ikan di kawasan yang lebih dalam di luar tapak PSI.

 

“Kebanyakan nelayan pesisir pantai yang terlibat dalam penambakan menangkap udang.Oleh itu, mereka turun ke laut pada waktu siang. Pergerakan mereka sememangnya telah dirakamkan dalam imej-imej satelit ini,” katanya.

GAMBAR satelit daripada MYSA juga menunjukkan bahawa aktivitipenangkapan ikan berlaku di luar tapak PSI mengikut lokasi botnelayan (titik hijau).

Tambah Farizan lagi, imej satelit telah terbukti berguna untuk pelaksanaan projek itu dan Kerajaan Negeri bercadang untuk menggunakan teknologi imej satelit dalam pemantauan kerja penambakan pada masa akan datang.

 

Dengan adanya imej satelit, kami telah memperolehi maklumat yang berguna untuk membolehkan kontraktor merancang operasinya dengan lebih baik untuk mengawal pergerakan kapal dan mencegah pencemaran.

 

“Teknologi imej satelit ini berguna dalam pelaksanaan langkah-langkah kawalan alam sekitar PSI,” katanya sambil menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan semua langkah diambil untuk meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar.

Isu lama dibangkitkan lagi

Penambakan PSI kini tertakluk kepada kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar(EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP). Sesi pameran awam laporan EIA yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi maklum balas baru sahaja selesai pada awal bulan Julai.

 

Kebelakangan ini, pengkritik projek PSI juga telah muncul semula untuk membantah projek tersebut dengan dakwaan projek akan menjejaskan alam sekitar dan jaminan makanan.

 

Jaringan Pengeluar Makanan yang terdiri daripada kumpulan nelayan dan petani yang disokong oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri pada minggu lalu untuk menuntut Kerajaan Persekutuan membatalkan projek PSI antara lain.

 

Farizan berkata isu jaminan makanan yang digunakan untuk menyerang PSI bukanlah perkara baru dan penjelasan telah dibuat sebelum ini bahawa projek tersebut tidak akan menyebabkan nelayan kehilangan mata pencarian atau kawasan penangkapan ikan.

 

Katanya, data Jabatan Perikanan pada tahun 2018 menunjukkan bahawa hasil pengeluaran ikan marin oleh nelayan pesisir pantai di kawasan yang paling dekat dengan projek PSI hanya menyumbang 1.5% (1,317 tan) daripada jumlah hasil perikanan laut dan akuakultur Pulau Pinang yang sebanyak 83,881 tan.

 

Penyumbang terbesar pendaratan ikan di Pulau Pinang Selatan adalah nelayan bot pukat tunda dengan sumbangan melebihi 90%, dan bukan nelayan pesisir pantai.

Farizan berkata data Jabatan Perikanan juga tidak menunjukkan penurunan pendaratan ikan di Pulau Pinang selepas penambakan Seri Tanjung Pinang 2 di utara Pulau Pinang bermula pada 2016.

 

Dari 2016 hingga 2020 apabila penambakan STP2 berlangsung, pendaratan ikan meningkat sebanyak 8,125 tan berbanding empat tahun sebelumnya apabila aktiviti penambakan belum bermula.

 

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pakar-pakar untuk menjalankan kajian untuk laporan EIA yang juga merangkumi laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) untuk memastikan pembangunan PSI mematuhi prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dan mendatangkan kesan yang minimum terhadap alam sekitar.

 

“Daripada mengungkitkan isu-isu lama, kita sepatutnya memikirkan cara untuk menjadikan sektor perikanan kita lebih mampan untuk menghadapi perubahan iklim dan permintaan makanan laut yang semakin meningkat di dalam dan di luar Malaysia.

 

“Di bawah skim SIMP, kami juga berhasrat menggalakkan nelayan tempatan untuk menceburi bidang akuakultur,” katanya.

Program mesra nelayan

Farizan juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengabaikan nelayan, sebaliknya telah menjadikan mereka kumpulan penerima manfaat yang pertama dalam pembangunan itu.

 

“Ada pihak tertentu yang sering cuba menggambarkan Kerajaan Negeri sebagai musuh utama nelayan. Tetapi kami berharap orang ramai tidak akan terpedaya.

 

“Inisiatif positif yang dilaksanakan untuk menjadikan kehidupan nelayan lebih baik menerusi skim SIMP dan program pengimbangan ekologi (PEOM) tidak harus dinafikan,” katanya.

 

Skim SIMP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk ex-gratia, bot dan enjin, empat jeti baru, saluran navigasi yang menyediakan akses 24 jam ke laut, peluang pekerjaan dan perniagaan, program latihan dan peningkatan kemahiran, skim pemilikan rumah, serta sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan.

 

PEOM pula melaksanakan penanaman bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam,pembinaan garis pantai mesra alam, pelepasan benih ikan dan udang, peruntukan dana untuk penyelidikan berkaitan marin dan perikanan, dan lain-lain.

 

“Kerajaan Negeri telah menghantar sembilan orang nelayan untuk mengikuti latihan jurumudi dan mereka telah memperoleh sijil yang akan membolehkan mereka membawa bot penumpang untuk mendapat pendapatan tambahan.

 

“Bot nelayan dan enjin baru sedang disiapkan secara berfasa untuk kumpulan penerimayang pertama. Bayaran ex-gratia juga akan bermula setelah projek diluluskan,” Farizan berkata.

 

Inisiatif-inisiatif di bawah PEOM yang juga membawa kebaikan untuk nelayan akan mewujudkan habitat baru untuk ikan dan hidupan laut lain. Kerajaan Negeri sudah pun memulakan program penanaman bakau.

 

“Adalah tidak adil bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak diakui sesetengah pihak,” katanya.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!