Latest News
PTMP Map
PSI
 

Fokus enam keutamaan perkasakan lagi Pulau Pinang untuk lima tahun akan datang

Fokus enam keutamaan perkasakan lagi Pulau Pinang untuk lima tahun akan datang

Published by Buletin Mutiara • 26/5/2023

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersedia memperkasakan lagi pembangunan serta pencapaian negeri Pulau Pinang kini menerusi enam keutamaan yang bakal diberikan perhatian untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

Menurut beliau, antaranya adalah peluang pekerjaan, jaringan pengangkutan, menambah baik aliran trafik, inisiatif dalam mengatasi isu perubahan iklim, krisis bekalan air dan pembangunan komuniti termasuk belia, wanita serta warga emas.

 

“Sekiranya diberi mandat dan peluang untuk memerintah Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun akan datang, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada menjana ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baru.

 

“Kedua, pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana projek keutamaan adalah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan juga merealisasikan projek ‘Silicon Island’, Penang South Island (PSI); Ketiga, menambah baik aliran trafik serta penyelesaian mobiliti pengangkutan awam dan menuntut peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan lebuh raya bertingkat atau Juru – Sungai Dua Expressway.

 

“Selanjutnya adalah pendekatan mengatasi isu perubahan iklim dengan projek-projek tebatan banjir, bandar rendah karbon dan kemudahan kenderaan elektrik (EV); Kelima adalah melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang di Pulau Pinang dan teakhir adalah memperkasakan rakyat dan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita serta warga emas,” ujarnya pada Majlis Anugerah Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Tahun 2023 di sini pagi tadi.

Hadir sama, barisan kepimpinan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran, ketua-ketua jabatan negeri dan juga Persekutuan.

 

Pada majlis sama, Kon Yeow turut mengumumkan nama baharu bagi projek tambakan laut berhampiran persiaran Gurney iaitu Gurney Bay.

 

“Projek Gurney Bay Fasa 1 yang melibatkan beberapa komponen seperti taman permainan kanak-kanak dan kawasan hijau promenade juga bakal disiapkan pada Julai 2023 yang akan ia bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini.

 

“Kini, projek tersebut juga semakin hampir siap, dan terdapat pandangan bahawa di lokasi berkaitan memang tidak ada wharf iaitu tempat pelabuhan bot-bot untuk naik. Maka hasil daripada soal selidik atas talian yang dibuat memutuskan penggunaan nama Gurney Bay,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

 

Pada majlis berkaitan juga, Kon Yeow turut menghuraikan pencapaian-pencapaian serta kepelbagaian inisiatid yang sama ada dilaksanakan serta dicadangkan menerusi gagasan Visi Penang2023.

 

Mengambil kesempatan berkaitan juga, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh barisan penjawat awam negeri ini.

 

“Saya percaya dengan komitmen serta semangat tinggi yang ditunjukkan oleh penjawat awam, cabaran hebat menguruskan negeri tercinta ini dapat dilaksanakan dengan baik dan dasar-dasar yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan.

 

“Di kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh rakyat negeri ini ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ke atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh saudari dan saudari dalam melaksanakan tugas.

 

“Sesunggahnya, setiap pencapaian di negeri ini adalah hasil perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar oleh penjawat awam yang tidak jemu mencurah bakti,’’ ulasnya lanjut.

No Comments

Post A Comment