Latest News
PTMP Map
PSI
 

Exco jangka draf pertama garis panduan baharu, TOD siap suku pertama tahun 2020

Exco jangka draf pertama garis panduan baharu, TOD siap suku pertama tahun 2020

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mewujudkan satu garis panduan baharu, Transit Oriented Development atau lebih dikenali sebagai TOD dalam usahanya melengkap serta menggalakkan pembangunan perumahan berhampiran kawasan perkhidmatan Light Rapid Transit (LRT) dan stesen bas awam.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, selaras dengan matlamat tersebut, beliau telah mengarahkan Plan Malaysia dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri untuk merangka draf dan menyediakan panduan TOD untuk Pulau Pinang.

 

“Saya telah arahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk segera sediakan draf ini dengan mengambil kira aspek-aspek dan bidang kuasa negara lain yang telah mempraktikkannya.

 

“Saya menjangkakan kedua-dua PBT dapat menyediakan draf pertama seawal suku pertama tahun hadapan (2020), jadi pemaju mempunyai masa untuk merancang pembinaan projek perumahan mereka di kawasan terlibat,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

 

Berdasarkan projek pembangunan LRT di sepanjang jajaran Komtar ke Bayan Lepas, terdapat 27 stesen utama iaitu Fasa 1 membabitkan pembinaan 20 stesen dari Komtar ke Pulau A (projek tambak laut di perairan selatan, PSR) dan Fasa 2 (tujuh stesen menghubungkan Pulau A, B dan C).

 

Mengulas lanjut mengenai garis panduan baharu yang akan diperkenalkan tersebut, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan keutamaan dan insentif kepada pemaju yang membangunkan skim perumahan menggunakan kaedah TOD di sepanjang jajaran berkenaan.

 

“Seperti semua telah sedia maklum, sejumlah 102, 335 unit rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik (RMM) telah berjaya dicapai setakat ini membabitkan pelbagai peringkat penyediaan.

 

“Bagi menjayakan Visi Penang2030, saya telah menetapkan sasaran baharu iaitu 180,000 KR, KSR, RMM di mana baki ini kira-kira 78,000 unit lagi perlu dibina menjelang tahun 2030.

 

“Pembangunan 78,000 unit ini akan mengikut kaedah bersandarkan garis panduan (TOD) ini… kita juga akan melakukan pelarasan major terhadap jumlah tempat letak kereta yang dibenarkan selepas ini dalam menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam sekaligus mengurangkan kenderaan dan jejak karbon, tuntas menjadikan Pulau Pinang lebih hijau, selamat dan mampan,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Datuk Keramat.

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut mensasarkan pengguna bas awam menjelang tahun 2030 akan meningkat kepada 30 peratus di bahagian pulau dan 40 peratus (Seberang).

 

“Berdasarkan ratio kini, penggunaan bas awam hanya empat peratus di bahagian pulau dan lapan peratus (Seberang).

 

“Untuk itu, kita akan cuba kenal pasti lebih banyak lokasi strategik membangunkan stesen bas,” ujarnya sambil menambah terdapat 1, 711 stesen bas di seluruh Pulau Pinang dengan 404 buah perkhidmatan bas rapid di 71 laluan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!