Latest News
PTMP Map
PSI
 

Draf akhir RSNPP 2030 akan dibawa ke mesyuarat MPFN April ini sebelum diwartakan – Ketua Menteri

Draf akhir RSNPP 2030 akan dibawa ke mesyuarat MPFN April ini sebelum diwartakan – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Draf akhir bagi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 akan dibawa ke mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bagi mendapatkan arahan dan nasihat sebagaimana peruntukan perenggan 10(4)(a), Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) sebelum boleh diwartakan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) Pulau Pinang pada 14 Mac 2019 telah bersetuju menerima dan meluluskan pindaan draf RSNPP 2030 serta mengesyorkan agar draf berkaitan dibawa ke mesyuarat MPFN, April ini.

 

“Penyediaan RSNPP 2030 merupakan cerminan kesungguhan Kerajaan Negeri ke arah memastikan hala tuju pembangunan yang lebih jelas bagi tempoh perancangan negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030.

 

“Ia (RSNPP 2030) juga selaras dengan visi Penang2030 : “A Family-focused, Green and Smart State that Inspires the Nation“, dan memandangkan dokumen RSNPP ini adalah dokumen milik bersama, justeru Kerajaan Negeri berharap ia akan dijadikan sebagai panduan serta rujukan utama kepada seluruh jentera pentadbiran dalam memastikan segala dasar dan polisi yang digubal dapat dilaksanakan.

 

“(Dan) segala projek-projek khasnya yang berimpak tinggi yang telah dicadangkan dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang telah ditetapkan bagi manfaat seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

KETUA Menteri (tengah) ketika mengadakan sidang media di Komtar, tengah hari ini

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, TPr. Idris Abdul Rahim; Timbalan Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Pulau Pinang, Mursidin Ismail dan TImbalan Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman.

 

Menurut Kon Yeow, SPC turut mengesyorkan agar mengekalkan cadangan Penang Transport Master Plan (PTMP), cadangan Zon Tebus Guna Tanah (reclamation) termasuk Penang South Reclamation (PSR) dan Unjuran Penduduk dalam draf RSNPP 2030.

 

“Ia juga perlu mengambil kira penyelarasan dengan intipati Agenda Penang2030 serta Rancangan-rancangan Tempatan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

“Setelah dibawa ke mesyuarat MPFN, draf RSNPP 2030 ini perlu disampaikan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri selaras dengan subseksyen 10(6), Akta 172 sebelum diwartakan,” katanya.

CHOW Kon Yeow (kanan) bersama-sama Jagdeep Singh Deo.

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan seramai 69 orang hadir pada Sesi Pendengaran Awam yang diadakan sebanyak lima kali iaitu pada 13, 14, 15 dan 22 Februari 2019 serta 6 Mac 2019 lalu.

 

“Selaras peruntukan Seksyen 10(3), Akta 172, Sesi Pendengaran Awam diadakan dengan kehadiran para pembantah bagi menjelaskan rasional dan justifikasi sesuatu cadangan, pandangan atau bantahan yang dikemukakan ke atas kandungan draf RSNPP 2030.

 

“Mereka (pembantah) ini terdiri daripada 54 awam, sembilan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta (3) dan jabatan atau institusi awam (3) berbanding yang setuju hadir 228 daripada 533 borang bantahan yang diterima.

 

“Antara maklum balas borang bantahan yang diterima mengikut isu adalah Penang Transport Master Plan sebanyak 20.08 peratus, Tebus Guna Tanah (24.95%), Unjuran Penduduk (7.32%), Pembangunan Tanah Tinggi (3.94%), Hutan atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (5.07%), Tanah Pertanian (17.44%) dan Lain lain (21.20%),” jelasnya.

 

Difahamkan, melalui mesyuarat SPC pada 16 Ogos 2018, tempoh dua bulan diberikan bagi mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam berbanding keperluan dalam Akta 172 yang hanya memperuntukkan minimum satu bulan.

 

Program Publisiti dan Penyertaan Awam telah diadakan pada 18 September sehingga 19 November 2018 lalu dengan membabitkan orang awam, pihak berkuasa tempatan, jabatan atau agensi kerajaan persekutuan, negeri dan badan berkanun serta badan-badan bukan kerajaan dan pimpinan masyarakat.

 

Draf RSNPP 2030 adalah dokumen perancangan berbentuk penyataan bertulis yang mengandungi polisi dan dasar-dasar perancangan negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030. Apabila diwartakan kelak, ia akan menggantikan RSNPP 2020 yang akan tamat tempoh perancangannya menjelang tahun 2020.

 

Penyediaan draf RSNPP 2030 berkaitan adalah selaras dengan keperluan Seksyen 11(1), Akta 172 iaitu – “Sesuatu Rancangan Struktur yang telah mula berkuat kuasa adalah tertakluk kepada kajian semula setiap lima tahun seiring dengan penyediaan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri. Kajian semula itu hendaklah berkaitan dengan seluruh negeri itu.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!