Latest News
PTMP Map
PSI
 

Delegasi Selangor kagum dengan pelan mitigasi PSR

Delegasi Selangor kagum dengan pelan mitigasi PSR

SIARAN MEDIA

26 MAC 2022

Delegasi Selangor kagum dengan pelan mitigasi PSR

BAYAN LEPAS, 26 Mac 2022 – Agensi kerajaan dan pemaju dari Selangor yang mengadakan lawatan tenikal ke Pulau Pinang baru-baru ini menyuarakan rasa kagum dengan pelan mitigasi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

 

Delegasi dari Selangor masing-masing memuji pendekatan yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan komuniti nelayan.

 

Pengarah divisyen pelaburan dan perkhidmatan sokongan Invest Selangor, Shahrul Azamin Bin Abdullah berkata pendekatan untuk menambah baik kehidupan komuniti nelayan melalui pelaksanaan PSR adalah amat baik.

 

Katanya, penyelesaian isu-isu yang melibatkan masyarakat setempat adalah amat penting kerana Pulau Pinang memerlukan pembangunan PSR untuk menjamin masa depannya.

 

“Pendekatan yang diambil oleh Kerjaan Negeri Pulau Pinang adalah sesuatu yang boleh dicontohi oleh mana-mana pihak yang berhasrat untuk melaksanakan pembangunan seumpamanya,” katanya.

 

Shahrul adalah antara ahli delegasi dari Selangor yang telah mendengar taklimat daripada Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan rakan pelaksana projek SRS Consortium mengenai pembangunan PSR and pelan mitigasinya, termasuk Program Pengimbangan Ekologi (PEOM) dan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

 

PEOM yang bertujuan meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar dan mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut melibatkan penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pembinaan pantai mesra alam dan langkah-langkah pengimbangan ekologi lain.

 

SIMP menggariskan usaha-usaha yang menjaga kebajikan nelayan yang terlibat dalam projek dan menaik taraf kehidupan keluarga mereka. Antaranya adalah bantuan kewangan dalam bentuk ex-gratia, pemberian bot lebih besar dan enjin berkuasa tinggi, program latihan dan kemahiran, peluang perniagaan dan pekerjaan, penubuhan koperasi baru yang mengutamakan komuniti nelayan, skim pemilikan rumah, dan sokongan pendidikan seperti kelas tuisyen untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah.

 

Delegasi tersebut juga telah melawat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan di
Permatang Damar Laut dan Sungai Batu untuk mendengar taklimat bagaimana usaha-usaha SIMP dilaksanakan di bawah penyelarasan PPSN yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Ketua Pegawai Kewangan Sepang GoldCoast Sdn Bhd, Wong Mun Chong berkata projek PSR sedang merealisasikan slogan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang kini menjadi sebutan di seluruh dunia.

 

“Kita boleh terus menslogankan ESG tetapi dalam projek PSR, kami dapat melihat ESG dilaksanakan dan sambutan daripada pihak berkepentingan seperti nelayan dan masyarakat setempat.

 

“Sepanjang lawatan satu hari setengah ini, saya berasa kami bertuah kerana
berpeluang belajar daripada PIC dan SRS.”

 

Wong juga memuji kejelasan dan fokus PIC dalam pelaksanaan pelan mitigasi projek PSR untuk kebaikan masyarakat setempat.

 

“Pembentangan yang disediakan untuk delegasi kami bukan sahaja telah menyentuh isu-isu pokok malah telah memberi impak kepada semua yang hadir.

 

“Apabila kami pulang ke Selangor, kami juga boleh merangka pelan mitigasi seperti yang ada dalam projek PSR,” katanya.

 

Sepang GoldCoast Sdn Bhd yang merupakan syarikat usaha sama yang dibentuk oleh syarikat berkaitan kerajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Sepang Bay Sdn Bhd dipertanggungjawabkan untuk membangunkan Sepang Gold Coast sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa utama Malaysia. Difahamkan, projeknya di Sepang juga melibatkan sekumpulan nelayan.

 

Selain Invest Selangor dan Sepang GoldCoast Sdn Bhd, delegasi dari Selangor juga terdiri daripada pegawai-pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, PLAN Malaysia Selangor, dan PNSB.

 

Turut hadir adalah wakil-wakil firma perunding SAM Planners Sdn Bhd, YZD Planning and Consult, dan Europasia Engineering Services Sdn Bhd.

 

Lawatan teknikal tersebut adalah hasil cadangan YZD yang telah memaklumkan kepada Sepang GoldCoast Sdn Bhd bahawa pelan mitigasi projek PSR di Pulau Pinang telah dirangka dengan baik untuk menjaga kepentingan komuniti nelayan.

 

Pegawai daerah Sepang, Khairi Azali Bin Ibrahim berkata pihaknya menghargai kesudian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PIC untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang pelaksanaan projek PSR.

 

Katanya, usaha kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan komuniti nelayan setempat adalah jelas, iaitu tidak lain dan tidak bukan untuk membolehkan nelayan terus bekerja dan tidak terjejas pendapatan.

 

Khairi juga menghargai adanya usaha untuk membantu anak-anak nelayan agar mereka dapat mencari pekerjaan dan mempunyai masa depan yang lebih baik.

 

“Kami dapat melihat kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam
menyempurnakan PSR. Segala usaha yang dilaksanakan adalah luar biasa bagi kami.

 

“Dalam memenuhi keperluan negeri untuk terus membangun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengabaikan rakyat, khasnya nelayan. Sebenarnya, inilah yang kita katakan sebagai kemajuan.

 

“Semua ini tidak mudah untuk dilakukan, terutamanya dalam projek penambakan laut. Sepastinya, cabarannya amat besar bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata Khairi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Bin Darus berkata perjalanan Pulau Pinang untuk merealisasikan PSR tidak mudah selama ini.

 

“Kami berbesar hati usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini telah mula
mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada agensi kerajaan dan organisasi lain yang berminat untuk belajar daripada PSR,” katanya.

 

Farizan berkata banyak usaha telah dibuat sejak 2015 untuk memastikan PSR dapat membangunkan negeri dan rakyat Pulau Pinang.

 

“Walaupun pembinaan masih belum boleh bermula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mula melaksanakan program-program yang memanfaatkan komuniti setempat. Usaha ini akan diteruskan sepanjang pelaksanaan projek setelah segala kelulusan diperolehi.

 

“Kami percaya penduduk yang tinggal paling berdekatan dengan tapak projek adalah golongan yang paling wajar mendapat manfaat pembangunan sebelum rakyat lain.”

 

Malah katanya, banyak lagi program-program komuniti sedang dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, seperti program tuisyen untuk pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sesi 2022, termasuk anak nelayan.

 

“Sekiranya pelajar-pelajar ini mendapat keputusan SPM yang cemerlang, kita
berharap mereka akan dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi malah mendapat kelayakan professional untuk berkhidmat dalam pembangunan PSR,” kata Farizan.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang membuat persediaan untuk mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang dikemaskini kepada Jabatan Alam Sekitar pada bulan depan untuk mendapatkan kelulusan untuk memulakan kerja penambakan dalam separuh kedua tahun ini.

 

Tamat

Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Permatang Damar Laut (gambar pertama) dan Sungai Batu menerima lawatan daripada delegasi Selangor yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi berkaitan kerajaan yang ingin memahami pelaksanaan PSR dan pelan mitigasinya.

(Dari kiri) Pengarah divisyen pelaburan dan perkhidmatan sokongan Invest Selangor, Shahrul Azamin Bin Abdullah; ketua pegawai kewangan Sepang GoldCoast Sdn Bhd, Wong Mun Chong; dan pegawai daerah Sepang, Khairi Azali Bin Ibrahim berkata lawatan teknikal ke Pulau Pinang telah banyak memberikan mereka peluang untuk belajar dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam pelaksanaan pelan mitigasi projek penambakan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!