Latest News
PTMP Map
PSI
 

Belanjawan 2026 Pulau Pinang catat defisit terendah dalam sejarah

Belanjawan 2026 Pulau Pinang catat defisit terendah dalam sejarah

Diterbitkan oleh Malinda Abdul Malik • 14/11/2025

Chow Kon Yeow menunjukkan dokumen Belanjawan 2026 Pulau Pinang sebelum ia dibentangkan pada Sidang DUN negeri hari ini. – Gambar ihsan Buletin Mutiara.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM1.088 bilion bagi Belanjawan 2026 dengan catatan defisit RM19.92 juta, yang disifatkan sebagai terendah dalam sejarah negeri ini.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, belanjawan tahun depan dirangka bagi memastikan pengurusan fiskal negeri kekal berhemah dan mampan, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.

 

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, RM1.051 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan bekalan manakala RM37.07 juta bagi perbelanjaan tanggungan.

 

“Sebanyak RM265 juta disalurkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) bagi menampung komitmen pembangunan berjumlah RM318.62 juta.

 

“Dengan anggaran hasil negeri RM1.068 bilion berbanding perbelanjaan RM1.088 bilion, belanjawan 2026 mencatat defisit RM19.92 juta berbanding RM33.63 juta pada 2025.

 

“Perbelanjaan mengurus melibatkan emolumen (RM226.73 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM200.51 juta), aset (RM3.59 juta), pemberian dan bayaran tetap (RM645.73 juta) serta perbelanjaan lain (RM11.38 juta),” katanya.

 

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

 

Tambah Kon Yeow, peningkatan emolumen sebanyak RM19.9 juta atau 9.25 peratus berikutan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelarasan gaji tiga hingga tujuh peratus dan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.

 

“Dalam pembangunan, 122 projek sambungan akan diteruskan termasuk projek berimpak tinggi seperti LRT Laluan Mutiara, Gurney Bay Fasa 2, Pulau Silikon, serta projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 

“Projek lain termasuk pembesaran Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, pembangunan Bukit Bendera, pembinaan asrama Majlis Sukan Negeri, bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut, dan dewan komuniti seperti Dewan Batu Maung, Dewan Kampung Baru Alma, dan Dewan Taman Senangin.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 10 projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM283 juta.

 

Daripada jumlah tersebut, jelas beliau, sebanyak RM54.5 juta adalah untuk pelaksanaan projek infrastruktur strategik seperti kajian Pan Island Link (PIL), kerja awalan projek naik taraf jalan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, projek menaik taraf muka sauk di Titi Kerawang dan Teluk Awak, pembinaan klinik kesihatan baharu di Kubang Semang serta pembinaan blok bertingkat Hospital Kepala Batas.

 

“Selain itu, ia turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Bertam, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Juru, kerja awalan jalan bawah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, kajian kemungkinan pembangunan pelabuhan tuna dan pemerkasaan pasar nelayan.

 

“Kelulusan serta komitmen ini jelas mencerminkan keprihatinan serta sokongan padu Kerajaan Persekutuan terhadap Pulau Pinang dalam memastikan pembangunan negeri terus seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah kerangka Malaysia Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

No Comments

Post A Comment