28 Dis Belanjawan 2024 cakupi semua segmen masyarakat, tidak ketepi pembangunan negeri
Published by Bernama• 14/10/2023
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 13 Okt 2023. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai amat komprehensif dengan semua segmen masyarakat diambil kira, tidak terkecuali pembangunan ekonomi dan infrastruktur di negeri.
Di PULAU PINANG, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif dan perancangan diumumkan Perdana Menteri yang menyaksikan negeri berkenaan turut diberi keutamaan dalam radar pembangunan negara.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara yang menjadi perhatian adalah cadangan pemberian galakan cukai pelaburan semula secara ‘tiering’ dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 atau 100 peratus dengan dasar ‘trickle-down economics’ itu berpotensi mendorong pelabur meningkatkan pelaburan modal masing-masing.
“Selain peningkatan terhadap produktiviti komoditi, pengenalan dasar itu juga secara tidak langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan lagi kitaran ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem ‘tiering’ dalam pemberian insentif.
Katanya pendekatan itu antara lain akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baharu, memperluaskan rangkaian domestik serta mengimbangi kelestarian ekonomi dan alam sekitar.
Dalam pada itu, Chow berharap projek pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) yang diumumkan Perdana Menteri akan dilaksanakan di Pulau Pinang, dapat direalisasikan dan disegerakan seiring hasrat kerajaan negeri dalam memperkasakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Mutiara itu.
Beliau yakin pembinaan LRT yang dianggarkan bernilai RM10 bilion itu bukan sahaja berupaya menyumbang kepada peningkatan pembentukan modal tetap kasar, malah ia juga mampu meningkatkan lagi kualiti hidup termasuk mengurangkan kepadatan aliran trafik pada waktu puncak.
Projek LRT menghubungkan pulau dengan Seberang Perai itu akan dilaksanakan mengikut kaedah kerjasama awam swasta (PPP).
Januari lepas, Chow dilaporkan berkata kerajaan negeri sedang menunggu untuk membincangkan cadangan hubungan LRT George Town-Butterworth dengan Anwar dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
No Comments