Latest News
PTMP Map
PSI
 

Belanjawan 2021: P.Pinang mohon pertimbang projek- projek sosioekonomi

Belanjawan 2021: P.Pinang mohon pertimbang projek- projek sosioekonomi

GEORGE TOWN, 4 Nov — Kerajaan Pulau Pinang memohon agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan projek-projek sosioekonomi di negeri ini yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus menjana semula ekonomi susulan pandemik COVID-19.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara projek pembangunan yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah pengangkutan, pembangunan Sistem Aliran Ringan Berasaskan Rel ataupun LRT (laluan Komtar ke Bayan Lepas) dengan anggaran kos RM10 bilion, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta projek perumahan rakyat.

 

“Ini kerana projek berkenaan adalah untuk kesejahteraan dan pembangunan bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi juga kepada negara. Projek ini boleh menyumbang kepada perkembangan dan pemulihan ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

 

Selain projek berkenaan, katanya adalah menjadi impian dan hasrat Pulau Pinang dalam belanjawan kali ini agar kerajaan persekutuan menerima cadangan negeri untuk pembesaran PIA sehingga 12 mppa (juta penumpang setahun) atau 16 mppa diteruskan. Beliau berkata selain lapangan terbang, prasarana feri Pulau Pinang juga perlu dititikberatkan bagi merujuk kepada satu bentuk pengangkutan ‘ikonik’ negeri.

 

Menurutnya kementerian pengangkutan diharap dapat menyediakan pelan perancangan keseluruhan dan melaksanakan kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri baharu yang dapat memenuhi keperluan sama seperti perkhidmatan feri sedia ada, yang bukan sahaja dapat menampung penumpang pejalan kaki malah pengguna basikal, motosikal, dan kenderaan persendirian yang lain.

 

“Bagi projek perumahan rakyat (PPR), kerajaan negeri telah mengenal pasti dan telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan lima kawasan untuk pembangunan PPR iaitu di Jelutong (Daerah Timur Laut), Jalan Mayang Pasir, Bukit Gedung (Daerah Barat Daya), Ujung Batu (Seberang Perai Utara), Kampung Tongkang (Seberang Perai Tengah) dan Batu Kawan (Seberang Perai Selatan).

 

Katanya kerajaan persekutuan dimohon untuk mempertimbangkan PPR di Pulau Pinang setelah pembinaan 11 PPR diluluskan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dengan jumlah keseluruhan RM890 juta di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah.
Dalam pada itu Chow berkata Pulau Pinang telah menyumbang RM94.7 bilion atau 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019 dan pencapaian itu meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri keempat tertinggi yang menyumbang kepada KDNK negara.

 

“Kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas beberapa pemberian di bawah Pemberian Mengikut Bilangan Kepala, Pemberian Pelancongan, Pemberian MARRIS dan lain-
lain yang diterima setakat September 2020, yang berjumlah RM241.56 juta,” katanya dan menambah kerajaan persekutuan wajar dan harus menilai semula pemberian itu agar setimpal dengan sumbangan negeri Pulau Pinang.

 

“Justeru, kerajaan negeri ingin memohon sekurang-kurangnya RM1 bilion dapat disalurkan setiap tahun kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas prestasi yang cemerlang ini,” katanya.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

 

— BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!