
13 Jun Aktiviti pengeluaran pasir berhampiran Pulau Betong terletak di luar perairan negeri, respons Ketua Menteri
Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 22/05/2025

GEORGE TOWN – Berdasarkan semakan, didapati tapak yang dikesan dengan aktiviti pengeluaran pasir berhampiran Pulau Betong adalah terletak di luar perairan negeri Pulau Pinang iaitu melebihi tiga (3) batu nautika dan termasuk di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa lesen mengeluarkan pasir bagi tapak berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
“Berdasarkan rekod terkini JKPTG, terdapat empat pelesen yang telah diluluskan lesen di bawah Akta Pelantar Benua (APB) 1966 di kawasan luar perairan Negeri Pulau Pinang, namun, pada masa ini, tiada pelesen di kawasan luar perairan Negeri Pulau Pinang yang sedang/aktif beroperasi.
“Kini, pelesen di bawah APB 1966 yang aktif/sedang beroperasi menghantar pasir ke beberapa projek penambakan di Pulau Pinang adalah tiga pelesen di kawasan luar perairan negeri Perak,’’ jelasnya bagi menjawab soalan dari Ketua Pembangkang dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa bekalan pasir untuk Pulau Silikon adalah diambil dari pelantar benua di luar perairan negeri Perak yang man tapak berkaitan telah diluluskan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) serta memiliki kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan pengeluaran pasir.
“Adalah ditegaskan bahawa projek Pulau Silikon tidak mengambil bekalan pasir daripada sumber lain selain kawasan yang diluluskan.
“Malah, bagi menjawab cabaran YB Ketua Pembangkang berkenaan sama ada saya atau wakil Kerajaan Negeri berani untuk turun padang berjumpa dengan para nelayan di Selatan pulau Pulau Pinang, saya ingin maklumkan bahawa saya bermula dengan projek Penang South Islands (PSI) yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon ini daripada zaman saya menjadi Exco Kerajaan Tempatan dan Tebatan Banjir.
“Saya telah turun padang sejak awal tahun 2016 pada permulaan projek untuk mendengar suara komuniti tempatan termasuk nelayan, dan Kerajaan Negeri dengan bantuan Rakan Pelaksana Projek (PDP) (kini melalui syarikat usaha sama Kerajaan Negeri iaitu Silicon Island Development Sdn. Bhd. yang diwakili pegangan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd.) telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di tiga lokasi sejak 2016 iaitu di Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Sungai Batu,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa dua daripada PPSN tersebut iaitu di Gertak Sanggul dan Sungai Batu telah dirasmikan olehnya sendiri bagi memberi peluang kepada komuniti setempat termasuk para nelayan dapat berjumpa serta berbicara dengan pihak-pihak berkaitan.
“Tambahan lagi, pelbagai forum awam juga telah diadakan bersama-sama dengan penduduk Pulau Pinang sebagai platform untuk mereka bersuara.
“Saya juga pernah turun untuk penyerahan bakul makanan sewaktu zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penularan wabak COVID-19 pada April 2020,’’ ulasnya lanjut.
No Comments