02 Jul Aktiviti nelayan tidak terjejas Artikel Penuh
Diterbitkan oleh Sinar Harian • 02/07/2021
Kawasan yang luas tidak akan mengganggu aktiviti nelayan di laut.
Nelayan masih boleh teruskan aktiviti semasa kerja tambakan
Aktiviti penangkapan ikan tidak akan terhalang akibat pelaksanaan projek Penang South Islands (PSI), jelas beberapa orang nelayan veteran dari kawasan selatan Pulau Pinang.
Mereka turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini yang memberi jaminan bahawa nelayan tetap boleh meneruskan aktiviti penangkapan ikan semasa penambakan PSI berjalan.
Nelayan-nelayan juga menyuarakan sokongan terhadap projek kerana percaya pembangunan PSI akan membawa manfaat kepada generasi muda.
IDRIS
Nelayan Teluk Kumbar, Idris Ismail, 66, berkata, pelaksanaan PSI yang bermula dengan satu pulau tidak akan menghalang perjalanan bot nelayan ke laut.
“Mereka bukan hendak tambak sehingga ke Perak. Jika mereka tambak di sini (Teluk Kumbar), kami masih boleh ke kiri atau kanan untuk keluar ke laut. Kami masih boleh bekerja,” katanya yang mula menjadi nelayan sejak usia remaja.
Difahamkan, penambakan PSI akan bermula dengan Pulau B di hadapan pesisir pantai Teluk Kumbar.
Pemilik projek, iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar untuk membolehkannya memulakan kerja penambakan.
Kawasan luas
Idris yang menyokong pelaksanaan PSI kerana berharap projek itu akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak tempatan juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa nelayan tidak akan dapat menangkap ikan lagi sebaik penambakan bermula.
Menurutnya, tapak PSI bukan satu-satunya tempat menangkap ikan bagi nelayan tempatan.
“Kita biasanya pergi lebih jauh dari kawasan ini (tapak PSI),” katanya.
Kawasan tangkapan ikan bagi nelayan pesisir pantai yang dikategorikan sebagai Zon A adalah sehingga 8 batu nautika (14.8km) dari pantai. Namun, nelayan pesisir pantai dibenarkan menangkap ikan di luar kawasan Zon A.
RASHID
Seorang nelayan dari Sungai Batu, Rashid Ahmad, 68, juga bersetuju bahawa nelayan masih mempunyai kawasan yang luas untuk menangkap ikan semasa penambakan PSI.
Katanya, dakwaan nelayan bahawa mereka tidak boleh mencari makan lagi akibat projek pembinaan di kawasan laut bukan sesuatu yang baru kerana dakwaan yang sama pernah digunakan semasa pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
“Pada masa itu, ada yang mendakwa mereka tidak boleh ke laut, tidak boleh menangkap ikan lagi, tetapi itu tak benar.
“Sekarang, kawasan jambatan kedua sudah menjadi lubuk. Ramai yang ke situ untuk menangkap ikan,” katanya.
Seperti Idris, Rashid juga menyokong projek kerana percaya pelaksanaan PSI akan mendatangkan lebih banyak peluang baru untuk manfaat generasi akan datang.
Dia mengaku menghadapi kesukaran untuk menjelaskan kepada nelayan lain yang membantah projek berkenaan.
“Adakah mereka ingat penambakan ini akan sampai ke Indonesia? Mereka yang membantah ini bercakap perlu mempertahankan periuk nasi. Tapi kalau ditanya sama ada mereka mahu anak mereka juga menjadi nelayan, mereka tidak mahu pula,” katanya.
FAJINAH
Seorang lagi nelayan dari selatan Pulau Pinang, Fajinah Jaafar, 60, berkata kesan projek pembinaan terhadap persekitaran laut tidak akan kekal buat selama-lamanya.
Dia juga menceritakan pengalaman semasa pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang mengambil masa lebih lima tahun sebelum siap pada tahun 2014.
“Kesannya adalah sementara. Ikan akan kembali, bukan hilang selama-lamanya. Pada hari ini, nelayan dapat tangkap udang dengan banyak di kawasan jambatan kedua,” katanya.
Fajinah berkata, tidak ada sebab untuk membantah pelaksanaan PSI yang akan membawa kemajuan kepada negeri dan mewujudkan pekerjaan bagi golongan anak muda.
“Sudah lebih 30 tahun saya menangkap ikan. Pada saya, pekerjaan nelayan ini bukannya tidak bagus tapi ia membolehkan kita hidup sahaja, tak boleh pergi lebih jauh.
“Demi kebaikan anak-anak dan generasi akan datang, kita perlukan pembangunan,” katanya.
Beri manfaat
Ahmad Zakiyuddin beri jaminan kepentingan komuniti nelayan selatan Pulau Pinang jadi keutamaan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan menegaskan bahawa kepentingan komuniti nelayan selatan Pulau Pinang akan dijaga melalui pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan peluang-peluang ekonomi yang bakal diwujudkan daripada pembangunan tersebut.
Katanya, perancangan telah dibuat dari awal untuk memastikan nelayan boleh meneruskan pekerjaan mereka semasa dan selepas penambakan, seperti penyediaan saluran navigasi seluas 250m yang akan membolehkan nelayan ke laut bila-bila masa tanpa mengira air pasang atau surut.
“Penambakan PSI akan bermula dengan sebuah pulau yang akan mengambil masa 20 tahun. Dalam tempoh ini, laluan nelayan untuk ke laut tidak akan terhalang.
“Nelayan juga tetap ada kawasan penangkapan ikan yang lebih luas daripada tapak PSI,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang membuat persediaan membeli bot dan enjin untuk tekong dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul bagi membolehkan mereka bergerak lebih cepat dan lebih jauh.
Pemberian di bawah SIMP ini juga menawarkan pemberian sagu hati dan pembinaan sebuah jeti serba guna untuk kemudahan pelancongan di Permatang Damar Laut serta tiga jeti nelayan yang lengkap di Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Selain itu, SIMP juga menawarkan skim latihan dan pendidikan seperti biasiswa dan tuisyen percuma untuk nelayan dan anak-anak mereka, peluang pekerjaan dan pekerjaan serta skim pemilikan perumahan.
Pakej bantuan hidup dan pemerkasaan di bawah SIMP kecuali pemberian bot dan enjin juga memanfaatkan nelayan dari unit nelayan Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung.
Katanya, penanaman bakau juga akan dilaksanakan di PSI dan kawasan lain di Pulau Pinang untuk menggalakkan kepelbagaian biologi dan mewujudkan kawasan perlindungan untuk organisma kecil dan anak ikan.
Sorry, the comment form is closed at this time.