Latest News
PTMP Map
PSI
 

92.3% nelayan telah berdaftar untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial Silicon Island

92.3% nelayan telah berdaftar untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial Silicon Island

KENYATAAN MEDIA

16 MAC 2024

92.3% nelayan telah berdaftar untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial Silicon Island

Lanjutan daripada pengesahan Jabatan Perikanan (DOF) untuk menentukan status aktif dan tidak aktif nelayan berkelayakan yang masih belum mendaftar, adalah disahkan bahawa 80% (215) daripada baki 29% nelayan yang masih belum mendaftar untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) adalah tidak aktif atau tidak lagi layak.

 

Dengan ini, kami dengan sukacitanya ingin melaporkan bahawa pendaftaran SIMP setakat ini di kalangan nelayan yang layak telah mencapai 92.3%. Antaranya termasuk 100% pendaftaran dari unit Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul masing-masing serta 92.3% dari unit Teluk Tempoyak. Unit-unit yang lain (Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burong) juga secara amnya telah mencatatkan lebih daripada 92% pendaftaran kecuali unit Sungai Batu (54.22%). Sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP pada hujung bulan ini (31 Mac).

 

Kadar pendaftaran yang tinggi ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan komuniti nelayan terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam menepati manfaat yang dijanjikan, termasuk pembayaran ex-gratia, penyediaan bot dan enjin baharu, bantuan pendidikan, bangsal baharu, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan.

 

Dari segi kebimbangan mengenai dataran lumpur, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa garis pantai selatan dari segi sejarah adalah banyak berlumpur disebabkan oleh dataran lumpur antara pasang surut. Selain itu, sampah sarap sering dihanyutkan ke pantai selepas hujan lebat dan menghalang aktiviti nelayan semasa air surut. (Sila rujuk foto bertarikh April 2019 dan Julai 2023 sebelum kerja-kerja penambakan bermula untuk mengesahkan perkara ini). Bagi mengatasi isu yang telah kian lama wujud ini, pihak pemaju projek komited untuk menyediakan saluran navigasi selebar 250m bagi membolehkan nelayan pergi ke laut tanpa mengira air pasang surut.

 

Bertentangan dengan dakwaan pembuangan selut, aktiviti pengorekan belum dimulakan lagi dan hanya dijangka bermula pada tahun 2027 mengikut ketetapan yang digariskan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan, pemantauan kualiti air juga termasuk pemantauan masa nyata 24 jam bagi jumlah pepejal terampai (TSS) dan pemasangan tirai kelodak untuk menghalang penyebaran sedimen.

 

Pemaju projek juga menghantar laporan kualiti air kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap bulan sejak Oktober 2023. Sehingga kini, pihak kami tidak menerima sebarang pertanyaan daripada JAS mengenai laporan kualiti air yang dikemukakan. Ini menunjukkan bahawa laporan kami adalah memuaskan dan menepati syarat kelulusan.

 

Perlu diingatkan juga bahawa nelayan tempatan biasanya menangkap ikan di kawasan yang terletak di luar tapak projek. Kami menerima maklumat ini daripada nelayan tempatan yang aktif dan mengesahkannya menggunakan imej satelit daripada perunding bebas yang merakam pergerakan bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang. Penemuan itu juga konsisten dengan data Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

 

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menangani dakwaan penurunan hasil tangkapan akibat kerja-kerja penambakan sejak September 2023, pegawai kami dari Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) telah digerakkan dengan kadar segera untuk menjalankan sesi libat urus dengan nelayan secara langsung dan menjalankan tinjauan menyeluruh. Maklum balas yang dikumpul daripada nelayan aktif ini secara seragamnya menyangkal sebarang impak yang dapat dikenalpasti terhadap tangkapan mereka yang boleh dikaitkan dengan projek yang sedang berjalan.

 

Ingin ditekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri tidak menafikan hakikat bahawa penambakan boleh memberi kesan kepada ekosistem. Inilah sebabnya Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) dan SIMP disediakan untuk meminimakan dan menambah baik keadaan alam sekitar dan mata pencarian nelayan.

 

Adalah dukacita bahawa saluran media tertentu telah memilih untuk menyebarkan naratif sensasi tanpa pemahaman yang menyeluruh tentang konteks tempatan kita dan rancangan pembangunan kita. Kami menggesa kewartawanan yang bertanggungjawab berdasarkan fakta dan pemahaman halus tentang cabaran dan aspirasi komuniti kami. Sekiranya pihak rakan media masih memutuskan untuk terus melaporkan perkara ini, kami menggalakkan mereka supaya menghubungi pasukan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan melalui [email protected] untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat yang tepat.

 

Dato’ Seri Farizan bin Darus

Ketua Pegawai Eksekutif

Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd

Pantai berlumpur di sepanjang Permatang Damar Laut pada April 2019

Keadaan pantai di Teluk Tempoyak pada April 2019.

Gambar yang diambil pada Julai 2023 menunjukkan garis pantai berlumpur di Pantai Esen sebelum kerja-kerja penambakan dimulakan pada September 2023.

Foto pandangan udara tapak penambakan di mana langsir kelodak yang dipasang berfungsi dengan baik untuk menghalang penyebaran sedimen.

Ringkasan jumlah pendaftaran SIMP oleh nelayan daripada 9 unit nelayan

No Comments

Post A Comment