Latest News
PTMP Map
PSI
 

4,413 nelayan pesisir pantai terima bantuan tunai RM400

4,413 nelayan pesisir pantai terima bantuan tunai RM400

Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 10/06/2020

SUNGAI DUA – Seramai 4,413 nelayan berlesen, awak-awak dan nelayan tanpa lesen menerima bantuan wang tunai RM400 menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Mei lalu.

 

Bantuan disampaikan oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dekat Dewan Sungai Dua dan Pusat Perkhidmatan Nelayan Setempat (PPNS) Permatang Damar Laut pada 5 Jun lalu.

 

Norlela berkata, setakat ini sebanyak RM1,765,200 telah diagihkan secara one-off kepada nelayan-nelayan yang layak melalui dua siri iaitu pada 21 hingga 22 Mei (siri 1) dan 4 hingga 5 Jun (siri 2).

 

Norlela Ariffin ketika hadir menyampaikan bantuan khas RM400 siri 2 kepada nelayan-nelayan yang layak dekat Dewan Sungai Dua baru-baru ini.

 

“Bagi siri 1, seramai 619 nelayan berlesen menerima bantuan khas secara tunai berjumlah RM247,600 manakala 3,001 lagi dikreditkan ke akaun bank mereka melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membabitkan RM1,200,400.

 

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan nelayan menerima bantuan khas ini bagi siri 1 adalah seramai 3,620 nelayan dengan jumlah agihan RM1,448,000 yang diagihkan serentak dekat Dewan Sungai Dua dan Dewan Gerakan Masyarakat, Kg. Masjid, Teluk Kumbar,” ujarnya dalam kenyataan.

 

“Agihan siri 2 pula, membabitkan seramai 793 nelayan iaitu 546 nelayan menerima bantuan secara tunai manakala 337 lagi menerusi akaun bank masing-masing membabitkan jumlah peruntukan RM317,200.

 

“Sehingga kini masih ada seramai 205 nelayan yang belum menuntut bantuan ini,” ujarnya lagi.

 

Mengulas lajut, Norlela memberitahu bahawa pihaknya juga menerima beberapa cadangan daripada nelayan bagi menyelesaikan isu di Pasar Bisik yang diarahkan tutup selama tujuh hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan adalah termasuk mengehadkan pembelian hasil laut daripada peraih yang dibenarkan masuk ke Pasar Bisik yang dianggarkan seramai 32 orang.

 

“Selain itu, LKIM juga dicadang supaya membeli ikan daripada nelayan bagi
mengelakkan lambakan hasil laut di Pasar Bisik.

 

“Terdapat juga cadangan untuk pelebaran jeti dengan menaik taraf tempat parkir bot kerana jeti akan menjadi lebih sempit sewaktu berlaku air pasang” ujarnya lagi.

 

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta membabitkan 20 inisiatif bantuan kewangan kepada golongan paling terkesan akibat pandemic COVID-19.

 

Salah satu daripada 20 inisiatif itu adalah bantuan RM400 secara one-off kepada 5,814 nelayan pesisir pantai Zon A membabitka peruntukan berjumlah RM2,256,000.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

 

Gambar : ADUN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!