Latest News
PTMP Map
PSI
 

20 nelayan teruja terima bot baharu berperingkat

20 nelayan teruja terima bot baharu berperingkat

Published by Kosmo • 13/08/2022

SEBERANG PERAI – Seramai 20 nelayan di kawasan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) menerima bot baharu secara berperingkat mulai bulan ini bagi meningkatkan pendapatan sekali gus dapat merancakkan pengeluaran hasil laut.

 

Salah seorang nelayan, Fajinah Jaafar, 61, berkata, bantuan yang diberikan menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dapat memudahkan lagi rutin hariannya.

 

“Saya sudah menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu dan sejujurnya memang amat terharu ketika dapat tahu saya menjadi antara individu bertuah yang bakal menerima bot baharu disamping dapat tambah pendapatan.

 

“Bot yang sedia ada amat uzur sekali dan kerap kali rosak malah saya tidak berani nak pergi jauh-jauh kerana dikhuatiri bot akan terpatah dua,” katanya selepas ditemui pemberita pada majlis penyerahan bot fasa pertama di Padang Benggali di sini semalam.

 

Seramai empat daripada 20 nelayan dan tekong terpilih menerima bot dan enjin yang diserahkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

 

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata pemberian bot baharu dirangka khusus untuk nelayan yang berpangkalan di Pulau Pinang Selatan antaranya Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

 

“Mengikut rekod Jabatan Perikanan, seramai 315 tekong adalah layak untuk menerima bot di bawah skim SIMP dan tujuan bantuan ini bagi memastikan nelayan tidak merisikokan keselamatan diri dengan menggunakan bot usang untuk menangkap ikan,”tambahnya. – KOSMO! ONLINE

No Comments

Post A Comment