14 Nov Sambutan Deepavali bersama murid sekolah kawasan Penang South Islands (PSI)
SIARAN MEDIA
1 NOVEMBER 2022
Sambutan Deepavali bersama murid sekolah kawasan Penang South Islands (PSI)
1 November 2022 – Sempena perayaan Deepavali tahun ini, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya telah menyampaikan hamper perayaan kepada 27 orang murid di kawasan Penang South Islands (PSI).
Murid-murid tersebut adalah dari Sekolah Kebangsaan Sungai Batu (sembilan orang), Sekolah Kebangsaan Batu Maung (10 orang), dan Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut (lapan orang).
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Datuk Seri Farizan Bin Darus berkata, sudah menjadi tradisi tahunan bagi PPSN untuk memberi sumbangan kepada keluarga yang memerlukan bantuan pada musim perayaan, selain memupuk hubungan yang mesra dalam komuniti pelbagai kaum.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada anak-anak ini dan keluarga mereka. Kami juga berharap Pesta Cahaya ini akan membawa kejayaan kepada pembelajaran mereka,” katanya.
PIC kini menyelia operasi PPSN yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pusat maklumat sehenti bagi komuniti tempatan mendapatkan maklumat yang sahih mengenai projek PSI. PPSN mempunyai tiga pejabat di Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Gertak Sanggul.
Farizan berkata pembangunan PSI bakal membawa kebaikan kepada generasi muda dari segi peluang pekerjaan.
Tambahnya, program sokongan pendidikan di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) juga sedang dilaksanakan untuk anak nelayan dan anak anak dari keluarga B40 lain.
“Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan pihak PPD Barat Daya dan pusat- pusat tuisyen untuk mengadakan kelas pemulihan bagi murid Darjah 1 hingga 3 yang perlu meningkatkan kemahiran membaca dan menulis, serta menaja kelas tuisyen yang diambil oleh anak nelayan yang kini di sekolah rendah dan menengah menerusi Program Jaya Didik.
“Bagi yang akan menghadapi SPM tahun depan pula, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan USAINS Holdings untuk mengadakan program pendidikan hibrid untuk menyediakan anak-anak tersebut untuk menduduki peperiksaan.
“Kami berharap kelas tambahan dan program yang dilaksanakan akan membantu anak-anak ini menjadi lebih bermotivasi untuk mendapat keputusan akademi yang lebih baik agar boleh mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan,” katanya.
Wakil PPSN bergambar dengan guru besar dan guru-guru dari Sekolah Permatang Damar Laut
selepas menyampaikan hamper perayaan kepada murid-murid sempena perayaan Deepavali.
No Comments