
14 Okt 121 nelayan terima bot baharu bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial
Diterbitkan oleh Siti Aminah Mohd Yusof • 04/09/2025

MOHAMAD Abdul Hamid dan Farizan Darus bergambar kenangan bersama 22 nelayan menerima replika kunci bot dalam Majlis Penyampaikan Manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Pulau Silikon. FOTO Ihsan SIDSB
Bayan Lepas: Kerajaan Pulau Pinang sudah membelanjakan RM34.7 juta di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Pulau Silikon membabitkan pembelian bot baharu selain membiayai program pendidikan seperti subsidi tuisyen serta pembangunan kemahiran untuk nelayan berdaftar serta ahli keluarga mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata, jumlah itu termasuk bayaran ex-gratia sebanyak RM11.7 juta yang disalurkan secara tunai kepada 95 peratus daripada jumlah keseluruhan 877 nelayan terbabit.
“Setakat ini, kerajaan negeri sudah selesai menyerahkan sebanyak 121 bot dan enjin baharu bernilai RM90,000 setiap satu kepada nelayan berdaftar dari unit Sungai Batu dan Permatang Tepi Laut kerana kawasan mereka paling dekat serta terkesan dengan projek tambakan pulau itu.
“Manakala bagi 173 lagi nelayan aktif dan berdaftar dari unit Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul, kita akan uruskan tempahan bot dan enjin baharu dilengkapi sonar, teknologi robotik dan sistem kedudukan global (GPS) yang akan diserahkan secara berperingkat sehingga suku pertama 2027.
“Ini kerana mereka tidak terkesan dengan projek itu kerana ia hanya membabitkan satu pulau berbanding tiga pulau sebelum ini, tetapi mereka akan dapat juga bantuan secara percuma sebab itu janji kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Manfaat SIMP di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menyampaikan replika kunci bot kepada 22 nelayan selain menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Pengajian Tinggi kepada empat anak nelayan yang menunjukkan prestasi terpuji di menara gading.
Sementara itu, penerima bot, Hashimi Hamzah, 50, berkata, dia bersyukur mendapat bot baharu selepas hampir setahun bot lamanya yang berusia 24 tahun karam dalam kejadian ribut November tahun lalu.
“Sebenarnya, saya dapat bantuan bot ini sudah dua bulan, Alhamdulillah kerana dapat lebih awal sebab selepas bot karam, saya tumpang bot kawan. Walaupun tiada bot sendiri, saya tetap turun ke laut boleh dikatakan setiap hari untuk mencari rezeki.
“Saya bersyukur dan sangat bertuah, sebab saya memang tak mampu nak baiki bot yang karam itu kerana kerosakannya terlalu teruk dan menelan belanja yang tinggi,” katanya.
Seorang lagi penerima bot, Rosli Sahat, 65, berkata, selama 50 menjadi nelayan belum pernah dalam sejarah dia mendapat bot dan enjin baharu dilengkapi peralatan canggih secara percuma mencecah kos RM90,000 sekali gus membuatkannya lebih yakin turun ke laut dengan lebih selamat.
“Saya sudah jadi nelayan semasa berumur 15 tahun. Rasa macam mimpi, kalau dulu-dulu siapalah nak bagi bantuan semahal ini. Bot ini 115 kuasa kuda boleh pergi sampai 20 batu (37 kilometer) jauhnya.
“Alhamdulillah memang rasa lega sangat sebab saya memang hari-hari turun ke laut, kalau tak keluar tangkap ikan, rasa tak senang duduk,” katanya.




No Comments