10 Mac Koperasi nelayan sasar 5,000 ahli dalam kalangan nelayan, penduduk setempat
Published by Utusan Malaysia • 10/03/2022 • 1:17 pm
GEORGETOWN: Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) yang ditubuhkan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) menyasarkan sehingga 5,000 keahlian terdiri daripada nelayan dan penduduk setempat yang tinggal atau bekerja di kawasan selatan Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan modal sebanyak RM5 juta untuk KKPPSB yang secara rasminya mengadakan mesyuarat agung hari ini bagi memulakan aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan manfaat kepada ahli.
“Keahlian akan dibuka secara berperingkat mengikut perkembangan perniagaan koperasi yang akan aktif untuk berpuluh- tahun dan yuran untuk menjadi ahli adalah RM10 manakala perolehan hak dan syer minima adalah RM100.
“Keahlian untuk KKPPSB dibuka untuk tiga kategori iaitu kategori satu terdiri daripada nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan yang beroperasi di koridor Pulau Pinang Selatan, manakala kategori dua adalah mereka yang tinggal atau bekerja di Pulau Pinang Selatan serta kategori tiga adalah pegawai kerajaan negeri dan agensi pelaksana projek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan seminar dan mesyuarat agung pertama KKPSB yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus.
Menurut Ahmad Zakiyuddin, KKPPSB menyasarkan 2,500 ahli untuk kumpulan kategori satu dan untuk memastikan nelayan menjadi majoriti dalam keahlian, mereka akan diberi 500 syer tambahan.
“Bagi kategori dua pula, jumlah ahli yang disasarkan adalah 1,500 orang dan 1,000 ahli untuk kategori tiga,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, sebagai permulaan KKPPSB akan menceburi bidang pemasaran hasil laut di bawah inisiatif Samudra yang akan menjamin pendapatan setara dan mampan bagi para nelayan.
“Melalui KKPPSB, kerajaan negeri membantu nelayan meningkatkan hasil pendapatan mengikut konsep ‘fair trade’ iaitu pendapatan setara dan KKPPSB menyasarkan memulakan pemasaran hasil tangkapan laut bulan depan.
“Nelayan akan membentuk kumpulan, memilih peraih dari kalangan mereka untuk menjual hasil tangkapan kepada koperasi,” katanya.
Tambahnya, KKPPSB akan membeli dengan harga lebih tinggi dan membayar gaji pokok serta komisyen 10 peratus daripada hasil jualan kepada peraih yang dipilih nelayan serta koperasi akan memasarkan hasil tangkapan mengikut harga pasaran.
Selain itu, katanya, KKPPSB juga akan menawarkan perkhidmatan pengangkutan bot dan akan menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti melabuh unjam dan tukun tiruan, mengusahakan pusat pembiakan benih ikan dan udang serta banyak lagi pada masa depan. – UTUSAN
Sorry, the comment form is closed at this time.