Latest News
PTMP Map
PSI
 

100 peratus nelayan Teluk Kumbar daftar SIMP projek tambak laut

100 peratus nelayan Teluk Kumbar daftar SIMP projek tambak laut

Pemandangan bot nelayan di Jeti Sungai Batu Teluk Kumbar di Balik Pulau. – NSTP/MIKAIL ONG

GEORGETOWN: Skim Pelan Induk Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) mendapat sambutan dengan 100 peratus nelayan Teluk Kumbar sudah mendaftar di bawahnya.

 

Skim itu yang dirangka khusus kerajaan Pulau Pinang bertujuan memastikan semua yang terbabit dalam pembangunan Silicon Island berkenaan menerima manfaat sewajarnya.

 

SIMP turut menyediakan bantuan ex-gratia kepada nelayan yang layak, dengan 680 nelayan sudah menerima bayaran penuh mereka, termasuk 133 nelayan yang pada awalnya tidak disenaraikan dalam senarai asal Jabatan Perikanan.

 

Ahli Jawatankuasa Petugas Nelayan yang menyelia pelaksanaan skim SIMP, Datuk Azrul Mahathir Aziz mengesahkan penyertaan 100 peratus nelayan Teluk Kumbar dalam skim berkenaan.

 

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang turut meminta nelayan yang belum menyertai Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) segera berbuat demikian.

 

“KKPPSB menawarkan pelbagai peluang termasuk pekerjaan dan perniagaan…. saya berharap untuk melihat koperasi ini berkembang dalam pelbagai bidang, seperti hartanah,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), hari ini.

 

Azrul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas berkata, melalui SIMP juga kerajaan negeri menyerahkan 87 bot dan enjin baharu kepada tekong yang layak, dengan keutamaan diberikan kepada unit Permatang Tepi Laut yang terbabit secara langsung dalam projek Silicon Island.

 

“Setelah unit Permatang Tepi Laut selesai pada September, pengagihan bot dan enjin akan diperluaskan ke unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul,” katanya.

 

Sejak penubuhan KKPPSB pada 2022 di bawah SIMP, koperasi itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan pemberian dividen lima peratus.

 

Terdahulu, PPSN meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama nelayan Teluk Kumbar yang mana ia kolaborasi pertama antara PPSN dan unit nelayan Teluk Kumbar, dalam usaha bersama memelihara kepentingan negara serta mata pencarian golongan nelayan.

 

PPSN yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk memberikan maklumat tepat tentang projek itu, terus memainkan peranan penting dalam mengadakan program sosial yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, serta membantu pelaksanaan manfaat di bawah SIMP.

No Comments

Post A Comment