Latest News
PTMP Map
PSI
 

Jalan Raya & Lebuh Raya

Nota: Penjajaran transit adalah tertakluk kepada semakan sebelum pelaksanaan. Lukisan ini tidak mengikut skala.

Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) merupakan satu-satunya “jalan tulang belakang” utara-selatan di Pulau Pinang yang menangani kesesakan lalu lintas dari Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan pembangunan lain di pantai timur.

LCE telah melebihi kapasitinya dan mengalami kesesakan lalu lintas ketika waktu sibuk dan musim cuti. Keadaan ini akan bertambah buruk tanpa langkah penambahbaikan jangka panjang. Kesannya adalah Pulau Pinang akan menghadapi kekangan pertumbuhan dan kemerosotan tahap kebolehhidupan (liveability) rakyat.

SRS Consortium Sdh Bhd dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyempurnakan projek lebuh raya dan jalan raya baru di bawah PTMP demi menyediakan rangkaian jalan raya dan perhubungan yang lebih cekap, di samping sistem pengangkutan awam yang cekap.

Pelan induk lebuh raya oleh kerajaan negeri menggariskan beberapa pintasan trafik yang strategik bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah akibat kepesatan pembangunan yang dijangka akan berlaku pada masa hadapan, dan menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan lalu lintas.

Pelan induk tersebut mencadangkan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL1) sebagai jalan tulang belakang kedua untuk mengurangkan kesesakan di LCE. PIL 1 merangkumi sistem sambungan lalu lintas yang menghubungkan Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR), Lebuh Raya Gurney, LCE, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Terdapat juga stesen pertukaran di beberapa strategik lokasi untuk mengalihkan trafik, iaitu Gurney, Persiaran Kuari, LCE, Tun Dr Awang dan Paya Terubong.

Pelan pembinaan lebuh raya dan jalan raya yang dirangka untuk bahagian pulau adalah:

Komponen cadangan Panjang (km) Bilangan Persimpangan (IC)
1 PIL 1 20 6 (termasuk Relau IC)
2 PIL 2A 5.3 2
3  Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (Pakej 1) 9.6 4
4 Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 2) 6 3
5 Jalan Pintasan Persiaran Gurney – Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu bypass (Pakej 3) 3.95 3
Jumlah 44.85 18

Bagi Seberang Perai, projek-projek yang dicadangkan merangkumi:

Komponen dalam Rancangan / Cadangan Panjang (km) Bil. Persimpangan
1 Penambahbaikan Persimpangan BKE 1
2 Penambahbaikan Persimpangan Juru 1
3 Pembinaan Jalan Sambungan (jaringan tempatan): Permatang Pasir–Perda 7
4 Pembinaan Jalan Sambungan (jaringan tempatan): Kawasan Bukit Minyak 2
JUMLAH 9 2
JUMLAH KESELURUHAN 61.85 22

Selain PIL 1 yang telah diberi kelulusan Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), komponen lain masih dalam peringkat cadangan dan tertakluk kepada kelulusan dan semakan di masa hadapan.

Pan Island Link 1 (PIL 1)

Lebuh Raya PIL 1 yang bebas tol dan berjarak 20km akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) dan jalan-jalan utama yang berdekatan.

Sebagai alternatif kepada LCE, PIL 1 merupakan jalan tulang belakang utara-selatan kedua yang mempunyai akses terhad untuk memastikan kelancaran perjalanan di atas lebuh raya tersebut.

PIL 1 akan membolehkan pengguna jalan raya yang berulang-alik di antara bahagian utara dan timur Pulau Pinang mengelakkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi seperti Jalan Scotland, Jalan Masjid Negeri, Jalan Ayer Itam, Jalan Paya Terubong dan Jalan Bukit Gambir yang beraliran trafik tinggi.

PIL 1 juga akan dihubungkan secara strategik dengan lebuh raya cadangan khususnya Lebuh Raya Gurney, Laluan Ketiga (Third Link) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (jalan pintasan), Lebuh Raya Thean Teik, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah melalui enam persimpangan.

PIL 1 yang mempunyai enam lorong juga akan mempunyai reka bentuk mesra alam sekitar seperti terowong dan jambatan kabel-penahan bagi meminimumkan impak sosial dan alam sekitar.

PIL 1 akan membolehkan:

Mengurangkan kesesakan aliran trafik di LCE dan melancarkan aliran trafik di Jalan Tun Dr Awang, Jalan Sultan Azlan Shah dan jalan-jalan yang berhampiran

Memberi orang ramai lebih banyak masa untuk pekara yang lebih berfaedah

Mengurangkan waktu perjalanan di antara bahagian utara (Persiaran Gurney) dan selatan pulau (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang) dari 45 minit menjadi 15 minit.

Meningkatkan produktiviti

Pan Island Link 2A (PIL 2A)

Lebuh Raya PIL 2A akan menyokong perkembangan ekonomi di Penang South Island pada masa depan.

PIL 2A yang berjarak 5.3km akan menjadi jalan utama yang menghubungkan Pulau Pinang dengan PSI. Lebuh raya ini akan bermula di Silicon Island dan berakhir di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Bahagian jajaran PIL 2A yang selari dengan Jalan Batu Maung dan bahagian dari Jambatan JKR ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah adalah dalam bentuk jejambat (3km). Bahagian jajaran yang selebihnya melibatkan pelebaran Jambatan JKR (900m) dan atas jalan atau at-grade (1.4km).

Komponen ini masih dalam cadangan dan tertakluk kepada kajian dan semakan di masa hadapan serta kelulusan agensi yang berkaitan.

Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Butterworth – Kulim (BKE Interchange)

Nota: Cadangan ini adalah tertakluk kepada semakan sebelum pelaksanaan. Lukisan ini tidak mengikut skala.

Pertukaran Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE IC) merupakan salah satu persimpangan yang paling sesak di Seberang Perai dengan jumlah trafik di bulatan berlampu isyarat mencecah sehingga 10,000 unit kenderaan penumpang sejam (ukp/jam) ketika waktu puncak.

Bilangan trafik tertinggi adalah kenderaan yang menuju ke arah utara yang membelok ke kanan dari Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE) ke BKE.

Untuk mengurangkan trafik di persimpangan ini sebanyak 20%, meningkatkan operasi bulatan dan memendekkan masa menunggu bagi pengguna jalan raya, sebuah jejambat sehala tiga tingkat telah dicadangkan.

Komponen ini masih dalam cadangan dan tertakluk kepada kajian and semakan di masa hadapan dan kelulusan agensi yang berkaitan.

Persimpangan Bertingkat Juru (Pertukaran Juru)

Nota: Cadangan ini adalah tertakluk kepada semakan sebelum pelaksanaan. Lukisan ini tidak mengikut skala.

Persimpangan bertingkat Juru (Juru IC) dicadangkan untuk dinaikkan taraf bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan persimpangan “T” Jalan Kebun Nenas-Jalan Perusahaan.

Salah satu masalah utama yang menyebabkan kesesakan di persimpangan bertingkat lampu isyarat (diamond interchange) sedia ada adalah masa kitaran panjang dengan pecahan empat fasa pada waktu puncak.

Jumlah kenderaan yang banyak yang menuju ke NSE pada waktu puncak menyebabkan percanggahan penukaran lorong (weaving) yang sekaligus mengurangkan kecekapan penyuraian trafik di persimpangan tersebut.

Cadangan skim penambahbaikan Juru IC ini dapat mengurangkan kesesakan melalui:

  1. Pelebaran jalan;
  2. Penukaran Juru IC kepada sistem “Diverging Diamond Interchange”, dan
  3. Penyelarasan masa lampu isyarat bagi persimpangan Jalan Kebun Nenas–Jalan Perusahaan

Komponen ini masih dalam cadangan dan tertakluk kepada semakan di masa depan dan kelulusan agensi yang berkaitan.

Jalan Sambungan

Sebagai langkah untuk menambah baik rangkaian jalan raya di Seberang Perai, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina jalan-jalan sambungan, khususnya di kawasan Permatang Pasir-Perda dan Bukit Minyak.

Jalan-jalan sambungan ini akan mengurangkan masa perjalanan di antara kawasan bandar dan kawasan sekitarnya, dan menjadikan perjalanan lebih selesa untuk pengguna jalan raya.

Komponen jalan sambungan masih dalam peringkat cadangan dan adalah tertakluk kepada kelulusan dan semakan di masa depan.

Peta A: Jalan Sambungan di Permatang Pasir – Perda

Nota: Cadangan ini adalah tertakluk kepada semakan sebelum pelaksanaan. Lukisan ini tidak mengikut skala.

Peta B: Jalan Sambungan di Bukit Minyak

Missing-Links-Bukit-Minyak

Nota: Cadangan ini adalah tertakluk kepada semakan sebelum pelaksanaan. Lukisan ini tidak mengikut skala.