Latest News
PTMP Map
PSI
 

Tambakan terbesar Pulau Pinang bermula bulan depan

Tambakan terbesar Pulau Pinang bermula bulan depan

Published by Kosmo • 11/04/2021 • 02:30pm

Ahmad Zakiyuddin (duduk kanan) ketika meninjau kawasan perairan Permatang Tepi Laut dekat Bayan Lepas hari ini.

BALIK PULAU – Pembinaan pulau pertama bagi projek tambakan laut terbesar di negeri ini, Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) membabitkan tiga pulau buatan dekat Bayan Lepas di sini dijangka bermula pada bulan depan.

 

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, selepas memulakan pembinaannya, Pulau A di perairan dekat Permatang Tepi Laut seluas 930 hektar dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira sembilan tahun.

 

“Lokasi pertama yang akan ditambak untuk membentuk tanah bagi pulau pertama iaitu Pulau A terletak kira-kira 600 meter dari Pulau Rimau dan lokasi paling hujung bagi tapak pulau itu terletak lebih kurang 4.6 kilometer.

 

“Ia terlibat dalam penambakan fasa pertama seluas 1,200 ekar (485 hektar) yang dijangka akan bermula pada Mei atau Jun tahun ini dan selesai pada 2027,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak tambakan Pulau A bersama media dan agensi kerajaan di perairan dekat Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini.

 

Sementara itu Ahmad Zakiyuddin berkata, pada lawatan itu, beliau berkesempatan menguji sebuah bot nelayan 90 kuasa kuda yang akan diberikan kepada tekong-tekong dari Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar yang terjejas dengan pelaksanaan projek itu.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kerja penambakan akan dijalankan dengan mematuhi syarat-syarat Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang telah diluluskan pada Jun 2019.

 

“Langkah-langkah kawalan alam sekitar akan dilaksanakan untuk meminimakan kesan pelaksanaan projek.

 

“Projek itu kini dalam tahap kerja awalan dan menanti kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar untuk memulakan kerja penambakan,” katanya.

 

PSR yang dianggarkan menelan belanja RM11 bilion itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang turut merangkumi depoh dan stesen transit aliran ringan (LRT), kawasan industri dan perumahan seluas kira-kira 1,821 hektar.

 

Tiga buah pulau dicadang dibangunkan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar, Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap kira-kira 25 tahun. – K! ONLINE

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!