Latest News
PTMP Map
PSI
 

SURAT | Pulau Pinang Perlukan LRT

SURAT | Pulau Pinang Perlukan LRT

Pulau Pinang merupakan negeri kedua terkecil dan tidak memiliki apa-apa sumber semula jadi yang dapat dijadikan sumber pendapatan.

 

Namun begitu, negeri bertuah ini begitu sibuk dengan orang ramai tanpa insfrastruktur pengangkutan awam yang cekap.

 

Kesibukan itu adalah disebabkan oleh aktiviti perindustrian yang begitu agresif. Berdasarkan laporan MIDA, Pulau Pinang telah memperoleh 47% pelaburan langsung asing pada separuh pertama tahun ini walaupun dunia sedang menghadapi krisis ekonomi akibat COVID-19.

 

Berdasarkan pola pengerakan orang awam pasca pandemik, dengan jaminan vaksin akan dihantar pada tahun 2021, kemungkinan besar pola itu akan kembali kepada waktu pra-pandemik. Maka, pada masa kehadapan jalan-jalan di Pulau Pinang akan dipenuhi semula dengan pelbagai kenderaan – pekerja, pelajar dan sesiapa sahaja terutamanya pada waktu kemuncak.

 

Berdasarkan Laporan Cadangan Strategi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang disediakan pada 2013, pergerakan jumlah perjalanan adalah antara 225,000 orang yang melakukan perjalanan semasa waktu kemuncak dengan populasi seramai 1.56 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 89% menaiki kenderaan persendirian dan 11% menggunakan perkhidmatan kongsi kenderaan (termasuk bas kilang dan bas sekolah). Pengangkutan awam yang utama pada ketika itu adalah bas.

 

Apabila populasi meningkat kepada 2 juta daripada jumlah semasa iaitu 1.8 juta, perjalanan orang ramai dijangkakan akan lebih daripada 300,000 walaupun jumlah penggunaan pengangkutan awam tetap sama.

 

Dalam kata lain, sekiranya Pulau Pinang kekal dengan status quo atau keadaan sedia ada iaitu hanya bas sahaja disediakan untuk orang awam, peningkatan penggunaan jalan raya akan bertambah sesak. Maka dengan itu, Pulau Pinang memerlukan sistem yang boleh dipercayai, selamat dan cekap iaitu Light Rail Transit (LRT) yang akan menjadi tulang belakang kepada infrastruktur pengangkutan awam orang Pulau Pinang.

 

LRT adalah sistem rel yang boleh menjimatkan masa dan telah teruji bahawa tahap keselamatan dan kebolehpercayaannya berada pada tahap yang amat menyakinkan.  Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) iaitu salah satu autoriti utama yang telah melaksanakan pengangkutan awam lestari di seluruh dunia, trend global pada masa ini adalah membina dan mengembangkan sistem LRT berbanding daripada sistem metro atau bas.

 

LRT bukanlah asing di Malaysia, sistem ini mula diusulkan pada tahun 1980an apabila Kajian Pengangutan Pelan Induk Kuala Lumpur telah dibentangkan. Pada masa ini, terdapat pelbagai pengangkutan awam lain seperti monorel, bas rapid transit, LRT baru, dan MRT. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan projek MRT 3 pula.

 

Pulau Pinang tidak harus ketinggalan dan perlu membina LRT bagi mengurangkan kesesakan jalan dan meningkatkan keselesaan kehidupan orang tempatan dan perantau yang mencari rezeki di sana.

 

Hazizi Padzil, Pengerusi Persatuan Kemajuan NUSA Pulau Pinang

Foto hiasan ihsan Lim Huey Teng, sumber Malaysiakini

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!