Latest News
PTMP Map
PSI
 

Rugi berbilion jika projek tambakan laut dibatalkan, kata kerajaan P Pinang

Rugi berbilion jika projek tambakan laut dibatalkan, kata kerajaan P Pinang

Published by Free Malaysia Today • 26/11/2021 • 01:05 pm

Menurut Zairil Khir Johari, projek PSR disasarkan menjadi hab bagi industri berteknologi tinggi dan batu loncatan untuk pelaburan masa depan di Pulau Pinang. (Gambar SRS Consortium)

GEORGE TOWN: “Puluhan bilion” ringgit dalam bentuk pelaburan akan hilang jika projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dibatalkan, kata kerajaan negeri.

 

Exco Zairil Khir Johari hari ini memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun negeri itu tidak akan begitu terjejas dari segi kewangan jika projek melibatkan tiga pulau buatan itu dibatalkan, namun prospek pertumbuhan Pulau Pinang akan menjadi suram.

 

Projek PSR itu katanya, disasarkan menjadi hab bagi industri berteknologi tinggi dan batu loncatan untuk pelaburan masa depan di negeri ini.

 

Di samping itu Zairil berkata, reka bentuk pulau-pulau itu juga mengambil kira ciri-ciri yang boleh diubah suai untuk menghadapi perubahan iklim.

Zairil Khir Johari.

“Platform perimeter pulau-pulau itu akan mempunyai ketinggian minimum 3m di atas paras laut untuk melindungi pulau daripada kenaikan paras air laut.

 

“Untuk bahagian lain, ketinggian platform akan melebihi 3m untuk membolehkan sistem saliran menangani peningkatan intensiti hujan sebanyak 30%,” katanya.

 

Katanya lagi, 100% tenaga boleh diperbaharui akan digunakan di Pulau A, yang terletak di bawah landasan lapangan terbang Pulau Pinang bagi mengurangkan jejak karbon.

 

Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) bertanya sama ada projek PSR akan memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mendapatkan pembiayaan.

 

Zairil berkata, memandangkan tiga pulau itu dicadangkan untuk dibina dari awal, nilai ESG boleh diterapkan.

 

Ketua Menteri akan mempengerusikan bengkel pembiayaan ESG pada 4 Dis, katanya.

 

Ketua Pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) berkata, rakyat telah meluahkan kekhuatiran mengenai alam sekitar, dan walaupun terdapat jaminan ESG dipatuhi, timbul kebimbangan mengenai pelaksanaannya.Beliau berkata, nelayan turut prihatin dengan kesan penambakan ke atas mata pencarian mereka.

 

Zairil berkata, kerajaan telah bertemu pihak-pihak yang menyokong dan membantah projek itu, dan langkah mitigasi akan dipatuhi dengan tegas bagi mengurangkan kesan kepada nelayan.

 

Tinjauan membabitkan individu yang terjejas secara langsung oleh projek itu mendapati 1,521 menyokong pelaksanaannya, tambah Zairil.

 

Pada Mac, kerajaan negeri mengumumkan bahawa Konsortium SRS akan menjalankan kerja penambakan bagi salah satu daripada tiga pulau yang dicadangkan.

 

SRS dijangka membelanjakan RM3.8 bilion untuk kerja penambakan membabitkan separuh daripada Pulau A sebagai sebahagian daripada usaha sama 30:70 dengan syarikat milik kerajaan negeri, dengan SRS menjadi pemegang saham majoriti.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!