Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang syor kekal Pelan Induk Pengangkutan, tambakan laut

Pulau Pinang syor kekal Pelan Induk Pengangkutan, tambakan laut

Ketua Menteri Pulau Pinang. Chow Kon Yeow (kanan) bersama Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo

menujukkan gambarajah Draf RSNPP semasa sidang media berhubung Draf RSNPP di pejabatnya Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR),

Georgetown, Pulau Pinang. – Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) Pulau Pinang hari ini menerima dan meluluskan dengan pindaan Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang (RSNPP) 2030 yang tertakluk kepada beberapa syor.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata syor berkenaan ialah mengekalkan Pelan Induk Pengangkutan (PIP), cadangan zon tebus guna tanah, termasuk kerja tambakan laut di selatan perairan Pulau Pinang (PSR) dan unjuran penduduk.

 

Selain itu, katanya, ia turut mengambil kira penyelarasan intipati Agenda Penang 2030 serta Rancangan Tempatan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

“Antara syor lain adalah untuk berunding dengan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bagi mendapat arahan dan nasihat terhadap Draf RSNPP 2030 seperti dalam peruntukan perenggan 10(4)(a) Akta 172, April depan.

 

“Selain itu, menyampaikan Draf RSNPP 2030 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapat persetujuan kerajaan negeri, selaras keperluan subseksyen 10(6) Akta 172,” katanya pada sidang media di sini.

 

Projek tambakan laut dirangka kerajaan negeri untuk membiayai kos PIP yang dianggar menelan kos RM49 bilion bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas, namun ia meresahkan golongan nelayan di selatan perairan Pulau Pinang.

 

Kontroversi projek membangunkan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar yang berlarutan sejak 2015 itu, mendapat bantahan nelayan kerana bimbang menjejaskan punca pendapatan mereka yang bergantung kepada hasil laut.

 

Sebelum ini, Ketua Perunding Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) projek terbabit, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, ketika berucap pada sesi pendengaran awam projek itu, mendedahkan kerja tambakan laut berkenaan bakal memusnahkan sepenuhnya lokasi pendaratan penyu dan habitat hidupan laut yang menjadi sumber rezeki nelayan tempatan.

 

Malah, ia didakwa turut menjejaskan beberapa kawasan terumbu karang dan sungai di selatan Pulau Pinang, kesan daripada parameter hidraulik ketika pelaksanaan pembinaan tiga pulau buatan berkenaan.

 

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersetuju mengadakan perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) dalam tempoh terdekat.

 

“Perjumpaan ini bagi membincangkan tuntutan dan Pelan Transformasi Pemodenan Nelayan yang ingin dikemukakan PEN Mutiara untuk pertimbangan kerajaan negeri, sekiranya cadangan PSR dijalankan.

 

“Kita akan mengaturkan perbincangan dengan wakil nelayan sekiranya perlu dan kita ada menerima permintaan (daripada PEN Mutiara) antara satu hingga dua minggu dari sekarang.

 

“Saya percaya kalau berkaitan PSR dan bagi memenuhi pembentangan kepada MPFN, memang laporan impak perikanan diwajibkan. Kita juga sudah berinteraksi dengan nelayan serta Jabatan Perikanan negeri dan Persekutuan sebelum laporan ini jadi sebahagian daripada permohonan,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo pada sidang media sama, menafikan terdapat pengusiran fasa kedua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, di sini.

 

“Tiada pengusiran fasa kedua penyewa di PPR Taman Manggis. Semua penyewa yang diusir sebelum ini dibenarkan mendiami unit masing-masing sehingga dapat penyelesaian,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!